Pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di peringkat sekolah merupakan salah satu usaha yang sistematik bagi memberi pendedahan, pengetahuan, maklumat serta strategi mendepani isu yang berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang seperti rokok, dadah dan alkohol. Program ini sangat penting bagi memberi psikopendidikan kepada murid, ibu bapa, serta komuniti setempat mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menjauhi bahan terlarang.
Terdapat empat pendekatan utama dalam pelaksanaan Program PPDa iaitu:
- Pengurusan dan Kepimpinan: Pengurusan dan kepimpinan PPDa yang mantap termasuklah penubuhan Jawatankuasa PPDa di semua peringkat sekolah, pelaksanaan Latihan Personel, Minggu Anti Dadah peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, Saringan Ujian Urin, Kajian tindakan serta Seminar Guru.
- Kurikulum: Penyampaian mesej PPDa melalui Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) melalui mata pelajaran merentas kurikulum, Ceramah serta Pameran PPDa.
- Kokurikulum: Menggalakkan aktiviti Sukan dan Permainan, Kelab Persatuan Badan Beruniform dan aktiviti ko-akademik yang menekankan elemen PPDa seperti penubuhan Kelab Skim Lencana Anti Dadah (SLAD), Karnival PPDa, Program PINTAR (Program Intelek Asuhan Rohani), Kajian Lapangan serta lawatan ke PPDa.
- Pembangunan Sahsiah Murid: Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling erta program intervensi PPDa (dikawal selia oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah), Program pembangunan karakter, jati diri, kepimpinan serta kolaborasi dengan NGO seperti PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) dan sebagainya.
Program pendidikan PPDa terbahagi kepada dua iaitu Pendidikan Pencegahan dan Pendidikan Intervensi:
- Pendidikan Pencegahan: Dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti PPDa yang dilaksanakan di sekolah secara IMPLISIT dalam kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah. Aktiviti PPDa secara EKSPLISIT pula dilaksanakan menerusi perancangan Jawatankuasa PPDa dan melalui penerapan dalam semua mata pelajaran. Terdapat beberapa elemen yang diterapkan dalam program pencegahan iaitu Penubuhan Jawatankuasa PPDa, Pengurusan Sudut / Laluan PPDa, Latihan dalam Perkhidmatan, Mesej 5 minit anti Dadah, Skim Lencana Anti Dadah dan Sambutan Bulan/Minggu PPDa/Karnival PPDa/Pertandingan/Amalan Terbaik/PPSDM/Aktiviti.
- Pendidikan Intervensi: Strategi yang dirangka KHUSUS untuk murid-murid yang telah dikenal pasti terlibat dengan dadah, substan/bahan terlarang dan pelencongan sosial) melalui Ujian Urin / Program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK), Intervensi Anak Negara (INTAN) dan Kaunseling Berfokus, Kaunseling Individu ataupun Kaunseling Kelompok)
Pihak Sub Unit Pendidikan Pencegahan Dadah, Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah membina jaringan kolaboratif bersama pihak PEMADAM Negeri Sarawak, Jawatankuasa OSC MIDS, MYSED, SEBERKAS, persatuan serta Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai usaha membanteras isu penyalahgunaan substan di Sarawak. Hasil Kerjasama tersebut menunjukkan penurunan yang signifikan dalam kes positif urin murid di sekolah.
Pada tahun 2023, seramai 48 orang murid positif ujian saringan urin berbanding 116 orang murid positif pada tahun 2022. Pada tahun 2024 pula, hanya 35 orang murid yang dilaporkan positif saringan urin. Ini menunjukkan penurunan peratusan murid yang disaring positif urin iaitu hampir 70% pada tahun 2024 berbanding jumlah pada tahun 2022.

Walaupun usaha menunjukkan hasil yang memberansangkan, namun pihak JPN Sarawak tidak pernah leka dengan ancaman baharu setiap masa. Pelbagai program di peringkat sekolah bersama Unit Hal Ehwal Murid dan Unit Bimbingan dan Kaunseling dijalankan setiap hari sehingga ke hari ini. Pada 31 Oktober 2024, sebanyak 3324 program telah dijalankan di sekolah melibatkan 652,460 murid. Ini adalah data kutipan program PPDa di sekolah Sarawak melalui Dashboard PPDa Sarawak.

Sejajar dengan Visi PPDa iaitu “Sekolah Bebas Dadah” dan Misi PPDa iaitu “Melaksanakan aktiviti-aktiviti PPDa yang bersepadu & menyeluruhdaripada aspek pengurusan & kepimpinan, kurikulum, kokurikulum & pembangunan sahsiah bagi memastikan semua murid bebas daripada pengaruh dadah”, Program PPDa wajar diberi perhatian bagi mendepani isu dan cabaran dalam penyalahgunaan bahan dan pembangunan sahsiah murid.
Pemerkasaan Program PPDa mula menunjukkan impak yang positif dengan adanya kerjasama semua pihak dalam usaha meningkatkan kesedaran murid untuk mengamalkan gaya hidup bebas tanpa dadah. Hal ini diakui oleh penulis sendiri sepanjang menjalankan tugas sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa yang pernah berdepan untuk mengendalikan kes murid yang didapati mengambil bahan terlarang setelah menerima keputusan ujian saringan urin oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Murid yang pernah terjebak dalam penyalahgunaan substan atau bahan berpotensi untuk berubah sekiranya diberi perhatian khusus melalui kerjasama bersama ibu bapa dan waris, sokongan moral daripada pihak pengurusan tertinggi di sekolah serta guru-guru dan komuniti setempat, pengendalian sesi kaunseling bagi membantu klien mendepani isu dan menentukan hala tuju kerjaya dan peluang melanjutkan pendidikan serta memberi peluang kepada murid untuk menghadiri program psikopendidikan yang bersesuaian.
Ironinya, terdapat sebilangan murid yang berjaya melakukan perubahan dan membina kerjaya dalam bidang ketenteraan, Polis, Mekanik dan juga pelajar lulusan Seni Kulinari daripada Kolej Swasta Tempatan. Ini membuktikan bahawa intervensi yang berkesan mampu memberi bimbingan serta panduan kepada murid untuk membina masa depan yang lebih baik.
Rujukan:
SPI Bil.3/2004: Memperkasakan PPDa di Sekolah. Kementerian Pendidikan Malaysia. Jawatankuasa One Stop Committee (OSC) MIDS
Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak.
Ditulis Oleh Cikgu Dayang Rafidah Binti Awang Osman Bersama Encik Munawwar Bin Ismail

CIKGU DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN
Seorang guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa yang bertugas di SMK Padawan, Sarawak

ENCIK MUNAWWAR BIN ISMAIL
Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak merangkap Setiausaha Eksekutif Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Negeri Sarawak.