Puisi adalah seni berbahasa yang dinukilkan oleh penyair bagi menyuarakan satu gagasan dalam bentuk susunan kata yang indah dan bermakna. Biasanya penulis akan menulis puisi sama ada dalam bentuk tradisional atau moden dengan mengangkat tema khusus yang disulami luahan rasa, nasihat, sindiran dan direncahkan dengan emosi yang sesuai bagi memberi impak kepada pembaca. Penggunaan kata-kata puitis dalam penulisan puisi ini bertujuan untuk memberi nilai terhadap ekspresi dan membangkitkan citra kepada masyarakat.
Umum mengetahui kebanyakan puisi dikarang untuk mengajak orang ramai menghayati alam, menterjemahkan rasa cinta, nilai adab, mengkritik dunia politik dan sebagainya. Namun pokok persoalan yang turut boleh ditanam subur dalam perkebunan puisi itu begitu luas dan mendalam termasuklah perkara berkaitan insan istimewa dan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). Hal ini seperti simptom penyakit, cabaran yang ditempuhi dan kebangkitan golongan tersebut. Secara tidak langsung, usaha ini dapat membuka mata sekaligus melahirkan masyarakat yang cakna terhadap mereka.
Gagasan murni ini diterjemah indah dalam beberapa buah karya eceran nukilan Saifullah Abd Rahim yang pernah disiarkan di akhbar, laman sosial, majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), buku antologi puisi serta koleksi peribadi beliau. Hasrat untuk membudayakan masyarakat cakna terhadap golongan Istimewa dan MBPK diserlahkan dalam kupasan beberapa karya berikut:
Puisi 1 : Gurindam Kasih Insan Istimewa
Senyuman melirik insan istimewa,
Titipkan semangat belailah jiwa.
Kehidupan indah aneka warna,
Hadirnya mereka perlulah cakna.
Nampak tipikal pada zahirnya,
Spektrum berbeza itu takdir-Nya.
Durja dan tawa belenggu emosi,
Atma merintih tak tagih ditangisi.
Kekurangan diri bukan dipinta,
Mengharap bahagia jauhi derita.
Sesama insan saling mengerti,
Taburlah budi selamilah hati.
Berbaik sangka sesama kita,
Tidak mengira cela sengketa.
Usah dipinggir usah disisih,
Santuni mereka penuh kasih.
Berbunga harapan cita menjelma,
Impian mereka raikan bersama.
Doa insani makbul dan suci,
Tanamkan sayang hindari benci.
Warga budiman jalinkan sepakat,
Suburkan kasih beroleh berkat.
Daya terbatas bukanlah lemah,
Perancangan Allah pasti berhikmah.
Saifullah Abd Rahim (Mei 2024), Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Persoalan utama yang disampaikan dalam gurindam ini ialah pengharapan golongan istimewa terhadap penerimaan masyarakat terhadap mereka. Bukanlah simpati yang ditagih tetapi pemahaman masyarakat tanpa rasa prejudis dan tidak sesekali meminggirkan golongan tersebut hanya kerana kekurangan atau perbezaan dari aspek fizikal atau mental. Kelainan upaya dan keterbatasan pada diri mereka sewajarnya difahami dan disantuni tanpa sedikitpun ada prasangka negatif.
Tambahan pula, warga Istimewa sangat memerlukan sokongan dan kekuatan daripada kita yang secara zahirnya berdaya dan sempurna sifat serta pancaindera. Impian mereka pasti bersinar apabila diberi perhatian yang sama rata daripada semua. Sesungguhnya kasih sesama manusia itu tidak terbatas dan besar ganjarannya di sisi Tuhan.
Puisi 2 : Sepotong Kek Doa (anak sindrom down)
sepuluh jemari pendekmu
mengadun bait-bait pujian
dari segumpal hati yang polos
patah bicaramu mengusung gula
larut dalam sepotong kek doa
lipatan palmar di telapakmu
sarat timbangan mahmudah
keanak-anakan pada fikirmu
mengaromakan kesucian
pada tiap omongan
santapan kemanisan makna
meraup ke wajah rata yang poles
memikat malaikat mencatat amal —
sajian di pintu Firdausi
permaidani kerahmatan
Saifullah Abd Rahim
Merujuk karya yang berbeza, puisi juga dapat menjadi medium informasi kepada pembaca tentang simptom sesuatu penyakit seperti sindrom down. Penulis cuba menyampaikan maklumat berupa ciri-ciri fizikal anak sindrom down di samping menyelitkan hikmah tersirat pada diri golongan istimewa ini.
Antara ciri yang dinyatakan ialah jari yang pendek, tapak tangan dengan satu garisan di atasnya (lipatan palmar), wajah yang rata dan fikiran bersifat keanak-anakan. Kaedah penulisan kreatif ini secara tidak langsung mendidik masyarakat tentang ilmu baharu berkaitan MBPK.
Puisi 3 : Syair Sekuntum Kasih (Dedekasi buat anak istimewa)
Aduhai taulan dengarlah pesan,
Berbuat baik tingkah dan lisan,
Walau berbeza dugaan insan,
Jangan dibiar gugur tangisan.
Lahir ke dunia cacat abadi,
Pilu segenap nafas dan nadi,
Mengharap sayang pada yang sudi,
Kelak sentosa disanjung budi.
Ke sana sini tongkat di tangan,
menapak langkah mancari haluan,
Gelita pandang tak nampak jalan,
Rezeki kerjaya caknanya majikan.
Kata dan tutur terhad bicara,
Dipanggil lembam sanak saudara,
Tak celik membaca juga mengira,
Percaya diri maju dan mara.
Hidup berpayung mendung berarak,
Tidak sempurna terbatas gerak,
Syukur dikasih ayah dan emak,
Amanah disantun terdidik akhlak.
Anak istimewa hiasan syurga,
Tiada dipinta tiada terduga,
Menguji tabah seluruh raga,
santunan kasih seisi keluarga.
Kurniaan Tuhan suatu amanah,
Hindarkan dari sumpah seranah,
Fitrah dunia idamkan sakinah,
Akhirat kelak dikurnia Jannah.
Saifullah Abd Rahim (Januari 2024), www.riausastra.com
Selain itu, melalui karya ‘Syair Sekuntum Kasih’ pula para pembaca diajak untuk tidak membeza-bezakan hak dan saling berkasih-sayang sesama anak istimewa. Mereka juga mengharapkan ihsan pada sesiapa sahaja yang sudi. Walaupun golongan tersebut rata-rata lemah dari segi tutur kata, sosial dan penguasaan membaca, menulis serta mengira (3M) namun peluang mereka menceburi sektor kerjaya perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
Peluang dan kepercayaan terutama pihak majikan atas khidmat mereka akan memberi harapan serta keyakinan untuk mencuba memajukan diri sedaya mungkin. Dalam masa yang sama, syair ini turut menitipkan pesan supaya kita sentiasa sedar dan tidak angkuh dengan kesempurnaan diri kerana kurniaan Tuhan itu suatu anugerah yang perlu disyukuri jua disantuni sebaiknya demi pembalasan syurga di akhirat kelak.
Puisi 4 : Menjahit Carik Di Layar Mata
mata segugus bintang
menangisi ceritera;
sebatang tongkat lipat
meraba haluan
dalam gelita bisu
meja ke meja
sebungkus tisu disua
menadah secupak harapan
aib yang mencarik baju
dilempar jauh
kecanduan bunga ihsan
meski sinis pandang
sang agam tanpa peduli
dengan saku berkunci rapi
“biar!
akan dijahit lembar-lembar tohmah
yang membelenggu lusuh
di layar pandang nan hiba
untuk melarik sekelumit kasih
sebelum dijemput batas masa”
betapa Tuhan mengatur
kehendak-Nya
bersulam hikmah.
Saifullah Abd Rahim (Ogos 2023), Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Memetik ulasan Zaen Kasturi dalam majalah Tunas Cipta terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada Ogos 2023, beliau menyatakan sajak “Menjahit Carik di Layar Mata” di atas berupaya meninggalkan kesan emotif terhadap insan tunanetra (cacat penglihatan) yang berusaha melangsungkan kehidupan. Ketentuan dan takdir dilayari dengan tabah tanpa mengharap simpati dan belas kasihan walau dipandang serong oleh kebanyakan masyarakat.
Menurut beliau lagi, penggunaan diksi atau pilihan kata yang tepat dalam sajak tersebut berupaya membangkit dan memperdalamkan rasa kepada pembaca. Penggunaan ungkapan yang segar dan harmonis menunjangi nada dan suasana yang hendak dizahirkan. Contohnya, “sebatang tongkat lipat/ meraba haluan/ dalam gelita bisu” dan “betapa Tuhan mengatur/ kehendak-Nya/ bersulam hikmah”.
Berdasarkan beberapa rujukan puisi yang diberikan, jelas memperlihatkan penulisan kreatif berupaya menjadi wadah membudayakan masyarakat agar cakna dan prihatin terhadap golongan istimewa serta MBPK. Ia bukan hanya berfokus kepada pencinta sastera semata-mata malah lebih menyeluruh tanpa mengira batas usia dan bangsa. Tambahan pula, maklumat masa kini boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk sama ada bersifat ilmiah, grafik atau bahan santai yang tidak merumitkan fikiran untuk difahami.
Justeru, puisi dapat digunakan untuk membuka mata masyarakat dalam mendalami hal berkaitan golongan Istimewa dan MBPK. Sekaligus menjadikan mereka lebih selesa untuk menerima dan mendekati kelompok yang disifatkan ‘anak syurga’ ini. Oleh itu, kita sewajarnya saling memberi dukungan agar mereka tidak berasa terpinggir dalam kelompok komuniti dan masyarakat.
Rujukan
Puisi : Memahkotakan Kebangkitan_riausastra.com
Puisi : Izinkan Kupeluk Lara Kalbumu_ riausastra.com
Puisi : Ketidakupayaan Tersembunyi I dan II_ Serumpun 2024.5
Ditulis oleh Mohd Saifullah Bin Abd Rahim

Mohd Saifullah bin Abd Rahim seorang Guru Pendidikan Khas berasal dari Hulu Kinta, Perak. Mendapat pendidikan ijazah sarjana muda dalam bidang sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian menyambung pengajian ikhtisas Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang Pendidikan Khas (Pembelajaran) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Berpengalaman mengajar murid berkeperluan pendidikan khas selama 15 tahun. Beliau juga terlibat dalam penulisan buku latihan tambahan bahasa Melayu sekolah rendah, Antologi puisi dan anekdot serta sumbangan bahan sastera di akhbar tempatan.