Permainan Bahasa dalam Pembelajaran Tatabahasa Bahasa Melayu

Pengenalan 

Tatabahasa merupakan aspek fundamental dalam penguasaan sesuatu bahasa. Namun, proses  pembelajaran tatabahasa sering dianggap membosankan oleh murid kerana melibatkan pemahaman  terhadap pelbagai peraturan linguistik yang abstrak. Oleh itu, pendekatan inovatif seperti permainan  bahasa dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran tatabahasa dengan cara yang  lebih interaktif dan menyeronokkan.  

Permainan bahasa merangkumi pelbagai aktiviti yang mengintegrasikan unsur permainan dalam  pengajaran, seperti permainan papan, permainan digital, teka-teki, dan aktiviti interaktif yang  menggalakkan penggunaan bahasa secara kreatif. Menurut Yusri, Zuhair dan Mahazir (2024),  pembelajaran berasaskan permainan merupakan salah satu kaedah yang selaras dengan pendidikan abad  ke-21 kerana mampu meningkatkan keupayaan guru dalam merancang strategi pengajaran yang lebih  kreatif serta menarik minat murid dalam bilik darjah. Permainan bahasa bukan sahaja berperanan sebagai  alat bantu mengajar, malah sebagai satu mekanisme untuk memperkukuh kefahaman tatabahasa secara  holistik. 

Dalam pembelajaran tatabahasa murid sekolah menengah, permainan bahasa boleh digunakan  untuk mengukuhkan pemahaman terhadap aspek morfologi dan sintaksis. Sebagai contoh, permainan  Roda Morfologi dapat membantu murid mengenal pasti dan mengkategorikan jenis perkataan seperti kata  nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas dengan lebih berkesan. Selain itu, permainan Dadu Bahasa  pula berupaya membantu murid memahami dan menguasai sistem bahasa dengan lebih baik. Permainan  ini bukan sahaja membolehkan murid mempelajari jenis frasa, pola ayat dan aspek lain dalam ayat, malah  murid juga dapat memadankan peribahasa dengan maknanya dalam suasana yang menyeronokkan dan  interaktif. Jelaslah bahawa melalui aktiviti permainan ini, murid dapat memperkukuh pemahaman mereka  terhadap tatabahasa serta meningkatkan kecekapan mengaplikasikannya dalam situasi sebenar. 

Kepentingan Permainan Bahasa Dalam Pembelajaran Tatabahasa 

Permainan bahasa berupaya meningkatkan motivasi murid dengan menjadikan proses pembelajaran lebih  menyeronokkan dan bermakna. Kaedah pengajaran yang bersifat konvensional sering kali menimbulkan  kebosanan dalam kalangan murid, manakala integrasi elemen permainan dalam pembelajaran dapat  menarik perhatian murid serta menggalakkan mereka untuk lebih aktif dalam bilik darjah. Kajian oleh Yusri,  Zuhair dan Mahazir (2024), mendapati bahawa penggunaan permainan bahasa dalam pengajaran  tatabahasa bukan sahaja dapat merangsang pemikiran kritis dan kreatif, malah membantu murid 

memahami konsep tatabahasa secara lebih mendalam. Dalam konteks ini, permainan bahasa bukan  sekadar berfungsi sebagai medium hiburan, tetapi juga sebagai strategi pedagogi yang berkesan dalam  meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai tatabahasa dengan lebih cekap. 

Selain itu, permainan bahasa membantu murid dalam mengingat dan memahami peraturan  tatabahasa dengan lebih berkesan. Aktiviti seperti Roda Morfologi membolehkan murid menggunakan  pengetahuan mereka tentang tatabahasa secara praktikal dan relevan dalam kehidupan seharian. Kajian  oleh Chung dan Nordin (2021), menunjukkan bahawa integrasi pembelajaran berasaskan permainan  dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dapat memperkaya amalan pedagogi guru serta menyokong  penerapan elemen didik hibur dalam pengajaran tatabahasa. Melalui pendekatan ini, murid dapat  mengaitkan teori dengan amalan secara lebih efektif, sekali gus memperkukuh daya ingatan dan  kecekapan mereka dalam mengaplikasikan peraturan tatabahasa. 

Permainan bahasa turut berperanan sebagai pemangkin pembelajaran kolaboratif yang dapat  memperkukuh kemahiran sosial murid. Sebilangan besar aktiviti permainan memerlukan interaksi dan

kerjasama antara rakan sebaya, sekali gus membantu mereka meningkatkan kecekapan berkomunikasi  dalam bahasa Melayu. Kaedah ini mampu menggalakkan interaksi aktif dalam bilik darjah, seterusnya  memperkasa keupayaan murid untuk bertukar idea dan menyelesaikan tugasan secara bersama. Sebagai  contoh, permainan Dadu Bahasa yang dimainkan secara berkumpulan memerlukan murid bekerjasama  dalam menyelesaikan soalan yang diberikan. Melalui perbincangan dan refleksi yang berlaku sepanjang  permainan, pemahaman mereka terhadap tatabahasa dapat diperkukuh secara lebih berkesan.  Persekitaran pembelajaran yang dinamik dan interaktif ini bukan sahaja menjadikan pengajaran lebih  menarik, malah melatih murid berfikir secara kritis serta mengaplikasikan konsep bahasa dalam situasi  yang lebih bermakna. 

Seterusnya, permainan bahasa turut berperanan dalam merangsang kreativiti dan pemikiran kritis  murid. Permainan seperti teka silang kata dan cabaran teka-teki dalam pembelajaran tatabahasa  mendorong murid untuk berfikir di luar kebiasaan serta meneroka pelbagai kemungkinan dalam memahami  dan menggunakan bahasa. Kajian oleh Yusri, Zuhair dan Mahazir (2024) menunjukkan bahawa  penggunaan permainan bahasa dalam pengajaran tatabahasa mampu meningkatkan tahap pemikiran aras  tinggi dalam kalangan murid serta membantu mereka memahami konsep tatabahasa dengan lebih  mendalam melalui penerokaan dan penyelesaian masalah. 

Selain itu, permainan bahasa menyokong konsep pembelajaran berpusatkan murid dengan  memberi ruang kepada mereka untuk mengambil peranan aktif dalam proses pembelajaran. Dalam  paradigma pendidikan moden, pembelajaran tidak lagi bersifat pasif, sebaliknya menekankan pelibatan  aktif murid dalam meneroka dan membina pengetahuan mereka sendiri. Menurut kajian oleh Chung dan  Nordin (2021), pendekatan didik hibur yang melibatkan permainan bahasa membolehkan murid belajar  dalam persekitaran yang lebih santai dan kondusif tanpa mengabaikan keberkesanan untuk mencapai  objektif pembelajaran yang ditetapkan. 

Kesimpulan 

Secara keseluruhannya, permainan bahasa merupakan strategi pedagogi yang berkesan dalam  pembelajaran tatabahasa Bahasa Melayu di sekolah menengah. Pendekatan ini bukan sahaja berupaya  meningkatkan motivasi dan minat murid, malah memperkukuh penguasaan tatabahasa, memupuk  pembelajaran kolaboratif, merangsang kreativiti serta pemikiran kritis, dan menyokong pembelajaran  berpusatkan murid. Oleh itu, guru wajar mengintegrasikan elemen permainan bahasa dalam pengajaran  tatabahasa agar pembelajaran menjadi lebih efektif, interaktif, dan menyeronokkan. Dalam usaha  meningkatkan kualiti pengajaran Bahasa Melayu, penyelidikan lanjut perlu dijalankan untuk meneroka lebih  banyak kaedah permainan yang sesuai dengan konteks pembelajaran di sekolah-sekolah di Malaysia serta  memastikan keberkesanannya dalam jangka panjang. 

Murid bermain permainan Dadu Bahasa.

Murid bermain permainan Roda Ronaldo.

Murid bermain permainan Dam Ular Kokarisme.

Rujukan 

Chung, M.H.C., & Nordin, N.M. (2021). Penilaian terhadap permainan interaktif didik hibur dalam  pembelajaran tatabahasa Bahasa Melayu sekolah rendah. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia  Pasifik, 9(2), 18-25. 

Yusri, A., Zuhair, M., & Mahazir, I. (2024). Pembelajaran berasaskan permainan dalam pengajaran dan  pembelajaran Bahasa Melayu: Suatu tinjauan literatur. International Journal of the Malay World and  Civilisation, 12(1), 15-26. 

Cikgu Lina BM. (23 Ogos 2023). Dadu Bahasa [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=A7LPQ9BFbgw&t=1s 

Cikgu Lina BM. (11 Oktober 2024). Roda Morfologi [Video]. YouTube.  https://youtu.be/HpXkbe6CiRw?si=JsAM_tHBb1-ya4x4

Ditulis oleh Linawati binti Socradji

Linawati binti Socradji mula berkhidmat sebagai guru sejak tahun 2008. Kini bertugas sebagai Guru  Cemerlang Bahasa Melayu di SMK Penrissen, Kuching. Aktif dalam inovasi pendidikan dan telah meraih  pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Beliau kerap berkongsi amalan terbaik  dalam pengajaran Bahasa Melayu serta inovasi pendidikan melalui pelbagai platform akademik dan  profesional.

Leave a comment