Politeknik Sandakan Sabah (PSS) terus komited dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui penawaran program Diploma Teknologi Akuakultur, yang telah menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan modal insan dalam sektor keterjaminan makanan negara. Program ini direka khusus untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berpandangan hadapan dan mampu memenuhi keperluan industri akuakultur.
Diploma Teknologi Akuakultur di Politeknik Sandakan Sabah menekankan pendekatan pembelajaran berkonsepkan teori dan praktikal dan merangkumi topik-topik penting seperti pengenalan kepada akuakultur, biologi ikan, pembenihan ikan, sistem ternakan haiwan akuatik, kemampanan makanan hidup, pengurusan kualiti air dan tanah, pengurusan penyakit ikan, penternakan ikan hiasan, penternakan invertebrata serta perladangan akuakultur. Selain pembelajaran di dalam kelas, pelajar turut dilibatkan secara langsung dalam projek akahir akuakultur melalui penyelidikan dan inovasi yang berkaitan dengan keperluan komuniti dan industri tempatan dalam meningkatkan pengetahuan dan kualiti pelajar.
Melalui penglibatan kolaborasi bersama rakan industri seperti agensi kerajaan, pengusaha akuakultur dan institusi penyelidikan, pelajar berpeluang mendapat pendedahan sebenar terhadap cabaran dan keperluan semasa menjalani program praktikal atau Latihan Industri. Mereka bukan sahaja dilatih untuk menjadi teknologis, malah berpotensi menjadi usahawan akuakultur yang berdaya saing dan inovatif.
Sebagai salah sebuah institusi TVET negara, Politeknik Sandakan Sabah menitikberatkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Ini termasuklah pengenalan kepada sistem bioflok, aplikasi sensor berasaskan Internet of Things (IoT) bagi pemantauan kualiti air, aplikasi canggih digital mikroskop, serta penggunaan perisian pemantauan data akuakultur. Pelajar juga didedahkan kepada kemahiran digital seperti analisis data, dokumentasi penyelidikan, pemasaran digital dan penggunaan platform atas talian dalam rujukan akademik. Inisiatif ini bertujuan untuk membina kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar agar mereka lebih bersedia memasuki pasaran kerja dan menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti industri keterjaminan maknan.
Diploma Teknologi Akuakultur juga memberi ruang kepada pelajar untuk terlibat dalam program khidmat komuniti, penyelidikan gunaan dan inovasi. Antara inisiatif yang telah dijalankan termasuklah kursus pembenihan ikan, kursus pembinaan kolam konkrit berskala kecil dan kursus teknologi bioflok berskala komuniti. Kejayaan pelajar dalam pertandingan inovasi dan penerbitan penyelidikan turut mencerminkan kekuatan pendekatan pengajaran berasaskan projek (project-based learning) yang diterapkan dalam kurikulum.
Sektor akuakultur merupakan salah satu komponen penting dalam agenda sekuriti makanan negara. Maka itu, pendidikan TVET dalam bidang ini bukan sahaja bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran, tetapi juga memainkan peranan dalam memastikan sumber makanan beraskan hidupan akuatik dapat dihasilkan secara mampan dan bertanggungjawab.
Politeknik Sandakan Sabah, melalui penawaran program Diploma Teknologi Akuakultur, sentiasa memastikan kurikulumnya relevan, inklusif dan selaras dengan perubahan landskap global – sejajar dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Penampilan para pensyarah berkelulusan tinggi dalam bidang akuakultur, termasuk mereka yang berpengalaman luas dalam industri dan penyelidikan, turut merancakkan pembangunan bidang TVET akuakultur. Kepakaran akademik dan praktikal yang dibawa oleh barisan tenaga pengajar ini membantu meningkatkan kualiti penyampaian ilmu serta membentuk pelajar yang bersedia menghadapi cabaran sebenar dalam sektor perikanan. Malah, hubungan erat antara pensyarah dan komuniti industri turut membuka peluang kolaborasi yang lebih luas dalam bidang latihan, penyelidikan dan pemindahan teknologi.
Diploma Teknologi Akuakultur di Politeknik Sandakan Sabah merupakan contoh terbaik bagaimana pendidikan TVET boleh menjadi platform yang dinamik, inklusif dan berorientasikan pasaran semasa. Dengan menggabungkan elemen teknikal, inovasi, teknologi digital dan keusahawanan, program ini telah menjadi pemacu utama dalam memperkukuh sektor akuakultur negara serta memperkasakan golongan belia untuk menceburi bidang perikanan secara profesional dan berdaya saing.
Ditulis oleh:

Hazza Roshada Binti Ramli
Pensyarah Diploma Teknologi Akuakultur
Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri
Politeknik Sandakan Sabah

Azlinawati Binti Alidin
Pegawai Hal Ehwal Pelajar
Jabatan Hal Ehwal Pelajar
Politeknik Sandakan Sabah