Modul Pecutan Kognitif Morfologi: Strategi Meningkatkan Minat Tatabahasa Terhadap Murid Aliran Sains

“Tak kenal maka tak cinta”, demikianlah pepatah Melayu yang menjadi ilham lahirnya satu inovasi pengajaran tatabahasa yang menyentuh akal dan emosi murid aliran Sains.

Tatabahasa sering dianggap sebagai aspek yang paling membebankan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Bagi murid-murid aliran Sains, mereka lebih cenderung untuk mempelajari mata Pelajaran seperti Kimia, Fizik dan Matematik sehinggakan sebahagian daripada mereka menganggap bahawa ilmu tatabahasa merupakan cabang ilmu yang kurang digemari. Sehubungan dengan itu, dalam usaha mengubah persepsi ini, saya selaku guru Bahasa Melayu menghasilkan sebuah modul yang direka khusus bagi memecahkan persepsi negatif ini dengan menggabungkan elemen pengiraan Matematik, morfologi bahasa serta penggunaan kalkulator. Hal ini demikian boleh dikatakan sebagai pendekatan berani yang merangsang murid-murid untuk menggunakan otak kanan dan kiri malah bukan sekadar melibatkan kognitif tetapi juga emosi murid.

Modul ini memfokuskan aspek Golongan Kata, iaitu Kata Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif dan Kata Tugas. Namun untuk membezakan modul ini dengan bahan biasa yang lain adalah disebabkan penggunaan kaedah pengiraan jumlah perkataan morfologi dalam satu-satu kumpulan sekali gus menjadikan sesi pembelajaran lebih interaktif dan bersifat permainan bahasa. Bagi setiap latihan yang disusun dengan strategi operasi tambah dan murid diminta menjumlahkan bilangan perkataan dalam kumpulan morfologi tertentu dan menyemak jawapan menggunakan kalkulator. Saya percaya bahawa strategi ini bukan sekadar pemahaman semata-mata tetapi satu bentuk latihan pemikiran aras tinggi (KBAT) yang menarik perhatian murid-murid.

Lampiran Nota Golongan Kata dalam Modul Pecutan Kognitif Morfologi

Modul ini juga dimulai dengan nota tulisan tangan berkaitan empat Golongan Kata oleh guru mata pelajaran mereka sebagai elemen personal dan sentuhan emosi. Hal ini bersesuaian dengan pandangan Munsyi Dewan, Noor Suraya yang juga penulis buku terbitan Jemari Seni mengatakan bahawa, “Tulisan tangan ialah lambang keikhlasan hati. Oleh hal yang demikian, hubungan guru dan murid yang erat diharapkan dapat dilahirkan melalui modul ini.

Isu dan Cabaran

Walaupun golongan kata telah dipelajari sejak sekolah rendah lagi, masih banyak murid tingkatan lima yang gagal membezakan bentuk morfologi dengan betul, misalnya, ‘bersih’ (Kata Adjektif) berubah kepada ‘membersihkan’ (Kata Kerja) dan ‘pembersih’ (Kata Nama). Perubahan bentuk ini sering menyebabkan murid terkeliru. Sebahagian murid cenderung mengabaikan aspek bahasa kerana menganggap tidak penting selagi penyampaian makna berjalan dengan baik. Akibatnya, pembentukan ayat yang dihasilkan menjadi tidak gramatis sehingga mengganggu proses penulisan jawaban dalam peperiksaan.

Objektif Modul

Modul ini dihasilkan untuk menarik minat murid aliran Sains terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya aspek tatabahasa. Sehubungan dengan itu, modul ini menggabungjalinkan unsur pengiraan yang menggunakan kalkulator dengan tatabahasa untuk mendapatkan jawaban yang tepat. Murid juga dapat mengklasifikan golongan kata dengan tepat menggunakan konsep pengiraan yang dijumlahkan. Secara tidak langsung, perkara ini dapat menyuntik elemen keseronokan melalui pendekatan Matematik yang disukai oleh kebanyakan murid aliran Sains ketika PdPC mata pelajaran Bahasa Melayu berlangsung. Hal ini ada kebenarannya kerana guru mendapati penggunaan kalkulator dan latihan berpandukan nombor bukan sahaja dapat membina logik berfikir murid bahkan mengurangkan kebosanan yang sering dikaitkan dengan pembelajaran tatabahasa. Kesannya, murid dapat meningkatkan penguasaan mereka dalam penulisan ayat yang gramatis sama ada dalam Kertas 1 atau Kertas 2 Bahasa Melayu.

Saranan dan Implikasi Pendidikan

Modul ini dilaksanakan untuk mewujudkan pendekatan pengajaran bahasa yang lebih kreatif dan merentasi bidang lain iaitu dengan menggabungkan elemen STEM dalam PdPC Bahasa Melayu. Guru boleh menggunakan modul ini sebagai cetusan idea untuk membina Bahan Bantu Mengajar yang bersifat pelbagai deria dan menyeronokkan. Penerbit boleh membangunkan modul ini dalam versi digital agar boleh diakses dalam bentuk interaktif atau gamifikasi. Walau bagaimanapun, pendedahan modul ini semestinya bukanlah sekadar bersifat akademik tetapi bertujuan menyentuh akar jati diri dan patriotism dalam kalangan murid.

Penutup

Modul Pecutan Kognitif Morfologi ini bukan sekadar bahan bantu mengajar tetapi diharapkan dapat menyemarakkan minat murid terhadap bahasa kebangsaan terutamanya dalam kalangan generasi STEM. Modul ini membuktikan bahawa dengan pendekatan yang kreatif dan segar, tiada subjek yang membosankan sebaliknya hanya kaedah pengajaran yang perlu diperbaharui. Saya berharap agar modul ini dapat dikembangkan dan digunakan seluruh negara. Dengan itu, bahasa Melayu bukan sekadar menjadi alat komunikasi sebaliknya sebagai medium cinta akan negara.

Rujukan

Abdul Rashid Jamian & Hasmah Ismail (2013). Pelaksanaan Pembelajaran Menyeronokkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran.

Dewan Bahasa dan Pustaka (2009). Tatabahasa Dewan.

Contoh latihan morfologi dalam modul adalah seperti berikut. Murid dikehendaki menulis nombor kod pada ruangan kiri manakala perkataan pada ruangan kanan. Senarai nombor yang berada pada kolum akan dijumlah menyamai jumlah kod yang dipaparkan untuk mendapat jawaban yang tepat.

C:\Users\ADMIN\Desktop\359008604_6613122038709199_2153137460306682207_n.jpg

Contoh jawaban hasil kerja murid

C:\Users\ADMIN\Desktop\360103723_7216055245087548_2404032168379661749_n.jpg
C:\Users\ADMIN\Desktop\359842950_7216055451754194_4317609283451790447_n.jpg

Penggunaan Modul Pecutan Kognitif Morfologi di SMK Batu Kikir (Model Khas)

Ditulis oleh Zafirah binti Zaidi

Zafirah binti Zaidi bertugas di SMK Batu Kikir (Model Khas), Negeri Sembilan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Ijazah Sarjana Pendidikan Bahasa Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Zafirah berpengalaman menghasilkan beberapa penulisan artikel dan karya kreatif yang telah diterbitkan dalam akhbar tempatan serta majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Leave a comment