Apabila Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) meletakkan reformasi pendidikan sebagai tunjang kepada perubahan struktur negara, ia menandakan satu pemahaman penting bahawa pendidikan bukan sekadar alat pembangunan tetapi ianya juga merupakan asas kepada mobiliti sosial, perpaduan rakyat, dan keupayaan negara untuk berinovasi.
Lapan strategi pendidikan yang digariskan di bawah RMK13 yang meliputi aspek tadbir urus, kurikulum, kompetensi guru, akses pendidikan, TVET dan pembelajaran sepanjang hayat. Strategi-strategi tersebut merupakan satu usaha menyeluruh ke arah memodenkan sistem pendidikan negara. Namun, cita-cita besar ini hanya akan menjadi kenyataan sekiranya reformasi tersebut benar-benar berpijak di bumi nyata di mana dasar bertemu dengan pelajar, guru, dan komuniti.
Sebagai sebuah NGO pendidikan yang bekerja rapat dengan guru dan pelajar di pelbagai peringkat, kami melihat RMK13 bukan sekadar pelan dasar, tetapi satu peluang untuk menyatukan dasar dengan pelaksanaan. Berikut tiga tumpuan utama yang perlu diberi perhatian agar reformasi ini benar-benar berkesan di peringkat akar umbi.
1. Tadbir Urus Baharu Perlu Disertai Desentralisasi Kepercayaan
Strategi B1.1 dan B1.2 menekankan usaha memperkukuh tadbir urus sistem pendidikan termasuk penubuhan Majlis Pendidikan Negara dan rasionalisasi fungsi institusi pendidikan. Langkah ini wajar dipuji. Namun, tadbir urus yang baharu tidak seharusnya hanya bermakna penyusunan semula struktur birokrasi. Ia mesti bermaksud pengagihan kuasa dan kepercayaan kepada pelaksana di lapangan.
Di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, keperluan pendidikan berbeza dengan Semenanjung. Oleh itu, reformasi hanya akan berkesan jika mekanisme pentadbiran negeri dan daerah diberikan ruang untuk menyesuaikan dasar mengikut konteks setempat. Majlis Pendidikan Negara misalnya, wajar merangkumi wakil guru, NGO, pemimpin komuniti, dan ibu bapa, agar suara pelaksana tidak diketepikan.
Tadbir urus baharu seharusnya memerlukan penyertaan pelbagai pihak supaya ianya tidak hanya akan menjadi satu lagi reformasi dari atas ke bawah, iaitu cekap di atas kertas, tetapi jauh daripada realiti bilik darjah.
2. Guru Sebagai Pemangkin, Bukan Sekadar Pelaksana
Komitmen RMK13 melalui Strategi B1.5 untuk memperkasa kompetensi guru merupakan satu pengiktirafan bahawa kualiti pendidikan terletak pada kualiti pendidik. Inisiatif seperti pengambilan terbuka, latihan berterusan dan penambahbaikan laluan kerjaya menunjukkan usaha memartabatkan profesion ini.
Namun, fokus terhadap kompetensi perlu diperluas kepada agensi (teacher agency) iaitu peranan guru sebagai ejen perubahan di lapangan. Guru bukan sekadar pelaksana dasar, mereka juga inovator yang menyesuaikan pengajaran mengikut keperluan murid dan konteks sekolah. Ciri-ciri ‘keusahawanan’ sebagai guru juga perlu diperkasakan sepertimana ianya termaktub di dalam dokumen Standard Guru Malaysia 2.0 – Elemen 4.3.4 (Memanfaatkan peluang melalui penerapan nilai keusahawanan).
Apabila guru dilatih bukan sahaja dalam pedagogi tetapi juga dalam kefahaman dasar dan advokasi pendidikan, mereka menjadi lebih berdaya untuk memimpin perubahan. RMK13 boleh terus memperkukuh aspek ini dengan mewujudkan kerjasama sistematik antara NGO dan institusi latihan guru, agar inovasi yang lahir dari sekolah dapat diiktiraf dan dikembangkan di peringkat nasional. Antara contoh inisiatif yang wujud di lapangan yang diterajui oleh golongan guru ialah Tenom Innovation Centre dan EduCARE.
Sekiranya guru dianggap sebagai pemangkin sebenar kepada reformasi, maka autonomi profesional dan kepercayaan mesti menjadi sebahagian daripada pelaksanaannya.
3. Akses, Inklusiviti dan Semangat Sekolah Berasaskan Komuniti
Strategi B1.3 dan B1.6 yang memperkenalkan pendidikan prasekolah wajib, perluasan pendidikan khas serta pembinaan sekolah berasaskan komuniti untuk masyarakat Orang Asli dan kawasan pedalaman adalah langkah progresif dan inklusif.
Namun, akses pendidikan tidak seharusnya diukur hanya pada bilangan sekolah atau kemasukan murid. Ia mesti melibatkan kandungan dan pendekatan yang sensitif kepada budaya dan bahasa setempat. Pendidikan yang benar-benar inklusif memerlukan pengiktirafan terhadap pelbagai identiti linguistik dan sosio-budaya pelajar, terutama untuk masyarakat Orang Asli.
Dalam hal ini, sekolah berasaskan komuniti berpotensi menjadi model pendidikan yang berpaksikan masyarakat. NGO atau organisasi bukan berasaskan keuntungan boleh memainkan peranan penting dalam membantu membina kapasiti pendidik tempatan, menyokong penglibatan ibu bapa, dan mengintegrasikan nilai serta pengetahuan tempatan ke dalam proses pembelajaran. Ini menjadikan pendidikan bukan sahaja untuk komuniti, tetapi oleh komuniti.
4. TVET dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Sebagai Laluan Bermaruah
Tumpuan terhadap TVET (Strategi B1.8) dan pembelajaran sepanjang hayat (Strategi B1.7) menunjukkan kefahaman bahawa pendidikan bukan berakhir di sekolah, tetapi berterusan sepanjang hayat. Penubuhan Suruhanjaya TVET dan peluasan Sistem Persijilan Kemahiran TVET ialah satu pilihan yang seharusnya dapat dibuat oleh pelajar sekolah dalam mencapai matlamat hidup mereka melalui laluan pendidikan yang sesuai dengan minat, kecenderungan dan akhirnya aspirasi mereka.
TVET juga merupakan peluang pembelajaran sepanjang hayat bagi masyarakat daripada pelbagai peringkat umur untuk memperoleh kemahiran vokasional melalui institusi bertauliah serta mendapatkan kelayakan tambahan bagi meningkatkan prospek kerjaya mereka.
Namun, nilai sebenar TVET dan PSH terletak pada memberi peluang kedua kepada mereka yang terpinggir sama ada belia luar bandar, wanita, atau pekerja tidak formal untuk memperbaharui masa depan mereka melalui kemahiran dan ilmu.
Stigma terhadap TVET sebagai pilihan alternatif untuk pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik atau dianggap sebagai “peluang kedua” semata-mata sama ada untuk pelajar mahupun masyarakat secara umum perlu dihapuskan supaya ia benar-benar diiktiraf sebagai laluan pendidikan yang setara dan berprestij.
Institusi yang terlibat dalam pendidikan dewasa dan latihan komuniti boleh memainkan peranan penting dalam memastikan pembelajaran sepanjang hayat menjadi realiti untuk semua lapisan masyarakat.
Dari Reformasi ke Hubungan
Reformasi pendidikan tidak akan bertahan sekiranya ia hanya dilihat sebagai perubahan struktur. Ia perlu dilihat sebagai proses membina hubungan iaitu antara kerajaan dan guru, antara sekolah dan komuniti, antara dasar dan realiti.
RMK13 memberi kerangka dasar yang kukuh. Namun, pelaksanaannya memerlukan kepercayaan dan kolaborasi. Dalam hal ini, organisasi dan inisiatif di peringkat akar umbi bukan sekadar pelengkap, tetapi rakan strategik yang mampu menjembatani dasar dengan masyarakat.