APLIKASI TEORI GESTALT DALAM SESI KAUNSELING

Penguasaan teori kaunseling sangat penting untuk membantu  kelancaran sesi Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) bersama dengan klien. Teori kaunseling juga dibangunkan untuk memahami pergolakan dunia dan menjelaskan fenomena yang berlaku (Kottler, 2002). Dengan adanya teori, proses kaunseling akan lebih bermakna dan memberi kelegaan kepada klien seperti yang dijelaskan oleh Meier & Davis (2001) iaitu kaunselor harus mengetahui asas teori dan mempraktikkan banyak kaedah bagi memulakan langkah untuk meneroka bidang kaunseling. GBK di sekolah boleh membantu murid menggunakan Teori Gestalt. Matlamat utama teori ialah memberi penekanan terhadap perkembangan individu (Welfel & Patterson, 2005). Antara isu yang boleh dibantu menggunakan teori ini termasuklah:

ISU/MASALAH YANG BOLEH DIBANTU MENGGUNAKAN TEORI GESTALT

  1. Isu dalam meningkatkan kesedaran kendiri dan tanggungjawab murid


Teori ini membantu individu sedar terhadap pemikiran, emosi dan tingkah laku pada masa sekarang. Dengan memberi tumpuan kepada masa kini, seseorang individu dapat mengenal pasti corak dalam tingkah laku untuk membuat pilihan yang lebih sedar untuk berubah (Clarke, 2024).

  • Strategi daya tindak emosi


Murid dapat meluahkan emosi yang belum selesai melalui teknik ‘kerusi kosong’ yang membawa kepada kawalan emosi terutama sekali bagi murid yang mudah tertekan, berprestasi rendah dan suka menangguhkan tugasan akademik. Proses ini membantu individu memahami tindak balas emosi mereka dan membangunkan mekanisme daya tindak yang lebih sihat (Clarke, 2024).

  • Buli dan Tingkah Laku Agresif


Kes buli di sekolah boleh berlaku dalam bentuk lisan, fizikal atau emosi yang  memberi kesan negatif kepada mangsa serta pelaku. Pelaksanaan kaunseling kelompok menggunakan Teori Gestalt meningkatkan kawalan diri pelajar, sekali gus mencegah perlakuan buli (Firman et al., 2022). Satu kajian yang tertumpu kepada mangsa buli mendapati bahawa kaunseling individu menggunakan teknik kerusi kosong berkesan dalam mengurangkan tahap kebimbangan pelajar (Jannah & Wangid, 2023).

  • Konflik Rakan Sebaya dan Cabaran Perhubungan


Murid yang mengalami isu perhubungan dengan rakan sebaya akan mendatangkan konflik, pengasingan sosial dan kesukaran integrasi dalam kumpulan. Terapi Gestalt menekankan kesedaran masa kini membantu murid memahami peranan dalam dinamik interpersonal. Teknik seperti lakonan peranan (role-play) dan latihan dialog dapat meningkatkan empati dan kemahiran berkomunikasi.

  • Kebimbangan dan Harga Diri Rendah dalam Kalangan Pelajar dari Keluarga Bercerai
  • Kanak-kanak yang terkesan dengan penceraian ibu bapa sering berdepan dengan kebimbangan, kekeliruan dan harga diri yang rendah yang boleh menjejaskan tumpuan akademik dan perkembangan sosial mereka di sekolah. Kajian oleh Etemadi et al. (2015) membantu murid dari keluarga bercerai mengenal pasti keadaan emosi dalaman mereka dan menyatakan keperluan mereka dengan lebih terbuka. 

HALANGAN DAN LIMITASI

Teori Gestalt menurut Kottler (2002)  merupakan teori lama yang tidak mengambil kira aspek kepelbagaian multi-budaya. Selain itu juga, Teori Gestalt tidak berasaskan kepada pengalaman hidup pada masa lampau. Pengalaman hidup pada masa yang lepas hanya dianggap sebagai “unfinished business” dan mempengaruhi tingkah laku klien pada masa sekarang. Memandangkan teori ini menggunakan beberapa pendekatan teknik misalnya kerusi kosong “empty-chair techniques” dan teknik main peranan “role-play”, GBK yang mengamalkan Teori Gestalt seharusnya lebih aktif dan membimbing klien untuk merasai perasaan sebenar ketika menghadapi isu atau masalah yang dibincangkan. Teknik ini tidak akan berjaya jika GBK hanya bertindak pasif dan tidak ada kemahiran spesifik untuk menjayakan teknik tersebut.

RUJUKAN:

Clarke, J. (January, 2024). How Gestalt Therapy Works. Retrieved from Verywell Mind.

Etemadi, A., Hajihasani, M., Nadealipour, H., & Nazari, E. (2015). Effectiveness of group gestalt therapy on anxiety and self-esteem of students of divorce. Journal of Psychology, 438–452

Firman, Ersya, Z. L., & Karneli, Y. (2022). Bullying Prevention Through Gestalt Approach Using Group Setting In Increasing Self-Control. BISMA The Journal of Counseling, 431-437.

Jannah, Z., & Wangid, M. N. (2023). Empty Chair Technique to Overcome Anxiety of Bullying Victims. Proceedings of the International Seminar on Delivering Transpersonal Guidance and Counselling Services in School (pp. 2352-5398). Atlantis Press.

Kottler, J. A. (2002). Theories in Counseling and Therapy: An Experimental Approach. Boston: Allyn & Bacon Pearson Education Company

Meier, S. T and Davis, S. R. (2001). The Elements of Counseling (4th Ed.). Canada: Brooks & Cole Thompson Learning

Welfel, E. R. & Patterson, L. E., 2005. The Counseling Process: A Multitheoretical Integrative Approach (6th ed.).  Pacific Grove, CA: Brooks/Cole.

DITULIS OLEH DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN BERSAMA NUR NAHDATUL NADIA BT. GLADDY PETER

DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN

Guru Cemerlang

Bimbingan dan Kaunseling

SMK Padawan, Sarawak

dygrafidah_gacademia@yahoo.com

NUR NAHDATUL NADIA BT. GLADDY PETER

Guru Bimbingan dan Kaunseling

SMK Sri Sadong, Sarawak

NadiaGladdy@gmail.com

Leave a comment