Tips Guru Menangani Kanak-Kanak Sekolah Rendah Generasi Alpha

Pada masa kini, pelbagai isu dan cabaran melibatkan kanak-kanak semakin mendapat perhatian masyarakat, khususnya dalam konteks pendidikan di sekolah. Ada antara murid yang dilihat tidak mendengar kata, sering mengulangi kesalahan yang sama, bersikap degil serta kadangkala menunjukkan tingkah laku yang dianggap kurang beradab. Keadaan ini boleh menimbulkan tekanan kepada guru kerana usaha menasihati dan menegur seolah-olah tidak memberi perubahan yang diharapkan. Sebenarnya, kebanyakan kanak-kanak yang bersekolah rendah pada masa kini tergolong dalam generasi baharu yang dikenali sebagai Generasi Alpha. Menurut Hofrova et al., (2024) generasi ini merujuk kepada kanak-kanak yang lahir sekitar tahun 2010 hingga 2025 dan merupakan generasi pertama yang membesar sepenuhnya dalam persekitaran teknologi digital serta terdedah secara intensif kepada peranti pintar dan internet sejak kecil . Keadaan ini menjadikan cara mereka berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi agak berbeza berbanding generasi sebelumnya. Oleh itu, guru perlu memahami ciri-ciri serta keperluan generasi ini agar pendekatan yang digunakan lebih sesuai, empati dan berkesan dalam membimbing mereka dari segi emosi, sahsiah dan pembelajaran.

1. Tidak menghakimi terlalu awal

Guru perlu banyak mendengar terlebih dahulu sebelum membuat penilaian. Tunjukkan bahawa kita benar-benar berminat mendengar luahan mereka. Elakkan menzahirkan sikap menghakimi kerana hal ini boleh menyebabkan kanak-kanak berasa tidak selamat dan enggan berkongsi cerita dengan lebih lanjut.

2. Berikan pujian atas usaha mereka walaupun kecil

Berikan penghargaan terhadap usaha yang dilakukan oleh murid walaupun sedikit. Contohnya seperti “Bagusnya awak”, “Cikgu suka cara awak buat begitu”, atau “Awak nampak segak hari ini”. Kata-kata positif seperti ini dapat meningkatkan motivasi murid untuk melakukan perubahan yang lebih baik. Menurut Rogers (1961)hal ini berkait dengan potensi individu yang boleh berkembang apabila mereka diterima dan dihargai. Rogers menekankan bahawa apabila seseorang individu berada dalam persekitaran yang mempunyai penerimaan, empati, dan ketulenan, mereka akan bergerak ke arah kesempurnaan kendiri (self-actualization). Beliau berpendapat bahawa manusia mempunyai kecenderungan semula jadi untuk berkembang jika diberikan sokongan emosi yang betul tanpa sebarang syarat atau penghakiman.

3. Membimbing murid berfikir secara lebih matang

Setelah murid berasa selesa dengan guru, barulah guru boleh membantu mereka mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki. Mulakan dengan menyatakan perkara positif yang telah dilakukan, kemudian barulah menyentuh perkara yang perlu diperbaiki. Contohnya:

“Cikgu nampak awak seorang murid yang baik. Awak juga rasa malu apabila tidak dapat menyiapkan kerja sekolah. Ini menunjukkan awak sebenarnya seorang yang bertanggungjawab. Cuma awak mungkin perlukan perancangan yang lebih baik supaya perkara ini tidak berulang lagi.” Pendekatan ini membantu murid berfikir secara lebih rasional dan matang.

4. Menggunakan kemahiran melayan sepanjang perbincangan

Sepanjang perbincangan dengan murid, guru perlu menggunakan kemahiran melayan seperti mengulang semula perasaan murid berdasarkan pemahaman guru. Contohnya:

“Oh… awak berasa sangat tidak puas hati dengan sikap dia.”

Guru juga boleh menggunakan pernyataan empati seperti “Cikgu memahami situasi awak.” Pendekatan ini membantu murid berasa diterima dan difahami.

5. Menggunakan komunikasi yang santai dan mesra

Kanak-kanak Generasi Alpha lebih selesa dengan pendekatan komunikasi yang tidak terlalu formal. Guru boleh menggunakan bahasa yang mudah, nada suara yang lembut dan sikap yang mesra supaya murid berasa lebih selesa untuk berinteraksi.

6. Memanfaatkan teknologi secara positif

Generasi Alpha sangat dekat dengan teknologi. Oleh itu, guru boleh menggunakan video pendek, kuiz interaktif, aplikasi pembelajaran atau permainan pendidikan bagi menarik minat murid dan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan. Misalnya, penggunaan video kreatif atai filem pendek data memberikan pengajaran kepada anak-anak ini untuk belajar tentang kehidupan. Kemudian, guru boleh memimpin perbincangan dengan bertanyakan soalan yang dapat merangsang pendapat mereka seperti, bagaimanakah pendapat awak tentang kelakuan Ali dalama melayan ibunya? Apa yang dapat awak perhatikan?

7. Memberi peluang murid menyuarakan pendapat

Dalam hal ini, tugas guru bukanlah untuk menentukan idea murid  adalah betul atau salah. Guru perlulah membuka ruang kepada murid ini menyuarakan pendapat. Guru mungki tidak tahu bahawa murid berkenaan selama ini tidak yakin dengan diri sendiri untuk menyuarakan pendapat. Apabila guru membuka ruang, ia akan membuka perubahan kepada murid untuk menjadi berani bersuara. Murid Generasi Alpha suka didengar dan dihargai pandangan mereka. Oleh itu, guru boleh memberi ruang kepada murid untuk berkongsi idea atau pendapat dalam kelas. Hal ini dapat meningkatkan keyakinan diri dan rasa tanggungjawab mereka terhadap pembelajaran.

8. Menetapkan peraturan yang jelas dan konsisten

Walaupun pendekatan mesra penting, guru tetap perlu menetapkan peraturan yang jelas. Murid perlu mengetahui batas tingkah laku yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Apabila peraturan disampaikan secara adil dan konsisten, murid lebih mudah memahaminya.

9. Memahami latar belakang emosi murid

Setiap murid mempunyai latar belakang keluarga dan pengalaman yang berbeza. Ada murid yang mungkin menghadapi tekanan di rumah atau kurang perhatian. Guru yang memahami keadaan ini akan lebih mudah menangani tingkah laku murid dengan empati.

10. Menjadi contoh teladan yang baik

Guru merupakan model kepada murid. Sikap seperti sabar, menghormati orang lain, jujur dan bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh guru akan menjadi contoh kepada murid dalam membentuk sahsiah mereka.

11. Menggunakan aktiviti pembelajaran yang aktif dan interaktif

Generasi Alpha mudah hilang fokus jika hanya mendengar penerangan yang panjang yang sering dikaitkan dengan tempoh tumpuan (attention span) yang lebih pendek disebabkan pendedahan awal kepada teknologi digital yang pantas. (McCrindle Research, 2024). Oleh itu, guru boleh menggunakan aktiviti seperti perbincangan kumpulan, permainan pendidikan, simulasi atau lakonan bagi meningkatkan penglibatan murid.

12. Membantu murid mengurus emosi dengan baik

Guru juga boleh membimbing murid mengenali emosi mereka, mengawal kemarahan serta menyelesaikan konflik secara positif. Aktiviti refleksi diri, perbincangan situasi atau teknik menenangkan diri boleh membantu murid mengurus emosi dengan lebih baik.

Rujukan

Höfrová, A., Balidemaj, V., & Small, M. A. (2024). A systematic literature review of education for Generation Alpha. Discover Education, January. https://doi.org/10.1007/s44217-024-00218-3

McCrindle Research. (2024). Perceptions of Generation Alpha Who is Generation Alpha ? McCrindle Research., August.

Rogers, C. R. (1961). On becoming a person: A therapist’s view of psychotherapy. Houghton Mifflin.

Ditulis oleh Mohamad Azizi bin Anding

Mohamad Azizi bin Anding ialah Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling di SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Berpengalaman lebih 10 tahun, beliau pakar dalam intervensi kesihatan mental, disiplin dan pembangunan sahsiah murid. Aktif dalam penyelidikan, inovasi, penulisan profesional serta menerima pelbagai pengiktirafan peringkat negeri dan kebangsaan serta rujukan sejawat.

Leave a comment