Isu Warden Asrama: Realitinya Sekarang

Ringkasan

Isu lantikan warden dalam kalangan guru dan kenaikan elaun warden akan timbul dalam ruangan media secara bermusim. Namun, isu ini akan tenggelam setelah berapa ketika kerana tiada ‘political will’ untuk mengambil tindakan yang berimpak. Walau bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi memperjuangkan nasib guru-guru yang seringkali diberikan pelbagai tugas termasuklah warden asrama. Harus diakui bahawa tanggungawab ini bukanlah mudah digalas kerana ia memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi. Bukan semua guru mahu memegang jawatan sebagai warden kerana tugas ini  memerlukan komitmen yang tinggi daripada seseorang guru termasuklah  mengorbankan masa bersama-sama keluarganya dan mengorbankan kepentingan peribadinya. Setelah segala tugas yang dilakukan di sekolah, tanggungjawab tambahan ini hanya boleh dilihat sebagai ‘extra luggage’. Apa yang pasti, tanggungjawab sebagai warden ini bukanlah diingini oleh semua guru.

Saya telah menjadi warden asrama harian selama 8 tahun dan banyak menimba pengalaman dalam hal ehwal pengurusan asrama dan pelajarnya. Berdasarkan pengalaman yang telah dilalui, boleh dikatakan bahawa kesibukan tugas sebagai warden melebihi kesibukan tugas di sekolah. Pengurusan di asrama memerlukan guru memantau keadaan asrama dan pelajar, membuat pelaporan, menganjur dan mengurus aktiviti, menguruskan kes-kes disiplin pelajar asrama, dan pelbagai lagi. Satu persoalan timbul, tidakkah guru-guru lain patut turut serta mengurus asrama? Jawapannya, ‘tidak semestinya’; rata – rata untuk sekolah harian yang mempunyai asrama, pengurusan asrama dan sekolah seolah – olah terasing. Mungkin ada antara mereka yang mempersoalkan tidak adakah lantikan warden – warden lain untuk membantu mentadbir asrama? Jawapannya ‘ya ada’, namun lantikan warden adalah berkuota satu orang warden untuk 50 orang pelajar. Berdasarkan pemerhatian saya, nisbah 1:50 tidak mencukupi. Mengikut kebiasaan, warden akan bergilir-gilir untuk bertugas pada waktu petang dan malam. Tugasan ini tidak mengambil kira jika ada pelajar yang sakit dimana warden harus membawa pelajar tersebut ke hospital atau klinik dan perlu menunggu proses rawatan pelajar sehingga selesai. Ada banyak lagi situasi yang unik yang boleh diperkatakan untuk setiap asrama tetapi cukuplah setakat ini untuk memberi gambaran asas kepada permasalahan yang berlaku.

Skop Kerja Warden

Realitinya, untuk mengejar kecemerlangan bagi sesebuah asrama dari segenap aspek, tidak cukup untuk warden menjalankan tugas secara ‘laissez-faire’. Ia memerlukan komitmen yang jitu, gaya kerja yang konsisten, dan kesefahaman pentadbir sekolah. Namun, dalam era pendidikan yang kian mencabar dan pembaharuan yang datang melalui   Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), warden yang juga guru di sekolah terpaksa menongkah arus dan menggembleng tenaga siang dan malam untuk kemenjadian pelajar di institusi pendidikan yang berkenaan. Dalam kata lain, kecemerlangan sesebuah asrama hanya boleh terjadi apabila warden merancang program – program yang relevan untuk pengisian pelajar-pelajar yang tinggal di asrama. Seperti contoh, program-program haruslah dianjurkan di bawah inisiatif unit pentadbiran asrama (warden bertindak sebagai perancang dan penggerak) untuk memastikan pelajar – pelajar bukan sahaja cemerlang dari segi intelek tetapi juga jasmani, emosi, rohani, dan sosial.  Kebetulan pula, di bawah kriteria – kriteria yang digariskan oleh unit asrama sekolah harian di peringkat atasan, sesebuah asrama juga harus menjalankan program – program yang meliputi akademik, hal ehwal murid, dan kokurikulum. Pendek kata, sesebuah asrama mempunyai KPI-nya yang tersendiri yang harus dilaksanakan oleh warden-warden. Pada masa yang sama, KPI hakiki sebagai guru di sekolah juga harus digalas oleh mereka.

Untuk asrama harian, pengisian yang dianjurkan harus berasingan dari apa sekolah anjurkan. Secara dasarnya, unit asrama harian dari sektor Hal Ehwal Murid (HEM) mahukan program – program yang khusus untuk penghuninya. Ini mewujudkan dilema dalam pengurusan asrama dan sekolah. Guru – guru secara amnya tidak mahu melakukan kerja dua kali, maka penganjuran jatuh ke bahu warden – warden (yang juga guru) yang telah dilantik. Anggapan warden telah dibayar elaun sekali gus menguatkan alasan hanya warden – warden sahaja yang perlu menjalankan program – program yang berkait dengan asrama. Bagi warden yang mampu, maka berjalanlah program yang dirancang, tapi ianya memerlukan kesungguhan dengan bantuan pelajar – pelajar asrama itu sendiri. Boleh dikatakan dari pengalaman, unit asrama harian mempunyai hala tuju dan matlamatnya tersendiri untuk kemenjadian pelajar – pelajar asrama. Walaubagaimanapun, adakah tugas merancang dan menganjur itu jatuh pada warden – warden asrama sahaja? Untuk pengetahuan umum, kebanyakan aspirasi dan matlamat unit asrama harian juga mempunyai persamaan dengan apa yang sekolah anjurkan dalam program – program mereka.

Berbaloikah Elaun?

Saya faham soal kenaikan elaun warden adalah satu perkara yang sukar dilaksanakan oleh pihak – pihak berkenaan kerana ia melibatkan perbelanjaan, birokrasi, dan timbang – tara skop kerja. Ada kemungkinan, usul untuk menaikkan elaun warden ini pun tidak layak dipertimbangkan kerana ada perkara yang lebih penting yang harus didahulukan. Namun begitu, jika soal elaun tidak dapat ditambah baik, warden yang juga guru harus mendapat sedikit kelongggaran untuk tugasan di sekolah. Sehingga kini, tiada apa – apa pekeliling atau memo yang rasmi dari unit – unit tertentu yang menggariskan skop tugas guru yang dilantik sebagai warden asrama. Sebaliknya, kebanyakan daripada mereka yang menyandang jawatan warden turut memegang jawatan – jawatan kritikal di sekolah. Dalam sesetengah senario, elaun warden akan ditolak bersama dengan elaun perumahan kerana mereka harus duduk di kuarters asrama. Hal ini sekali gus akan menyebabkan kesukaran bagi guru – guru untuk menyandang jawatan ini. Dalam erti kata lain, tawaran untuk menjadi warden kurang menarik dan tidak mengarah kepada menambah baik kualiti kehidupan malah lebih menyukarkan guru. Hal ini  menimbulkan persoalan; apakah keistimewaan menjadi warden?

Hakikatnya, tugasan warden menyebabkan guru itu bertugas hampir 24 jam sehari. Jika warden duduk di dalam asrama (di bilik warden/kuarters,) pelajar – pelajar tidak lekang datang untuk berjumpa warden. Dengan bayaran elaun sebanyak RM240 untuk warden biasa dan RM 250 untuk ketua warden, jumlah ini mungkin tidak setimpal dengan masa yang diberikan dan perih yang dilalui. Menariknya, ada guru yang boleh mengajar kelas tuisyen dan mendapat lebih daripada jumlah tersebut.  Apakah yang membuatkan guru – guru kekal menjadi warden dengan bayaran yang sedemikian? Hal   ini mungkin disebabkan arahan, pujukan, dan rundingan pentadbir.  Akhirnya, biar apapun direktif yang menyebabkan guru itu menjadi warden, tugas itu akhirnya disandang kerana mengenangkan kemenjadian anak bangsa.  Persoalannya, setakat mana seorang guru mampu bertahan atas keikhlasan dan motivasi kendiri apabila panggilan tugas warden menjangkau tanggungjawab pada diri dan keluarga? Mungkin, kenaikan elaun warden boleh dibincangkan setelah mengkaji semula spesifikasi tugas – tugas sebagai warden. Jika elaun itu wajar dinaikkan maka baguslah, jika tidak, mungkin pihak yang berkaitan boleh memikirkan langkah tertentu untuk mengurangkan beban tugas guru sebagai warden di asrama atau sekolah itu sendiri.

Konklusi

Apa–apa perubahan dalam sistem perguruan adalah suatu perkara yang sukar berlaku. Perkara ini adalah resam bagi bidang yang konservatif. Secara spesifiknya, dialog dan siri perjumpaan mungkin  berlaku bagi memperbaiki isu warden dan asrama tetapi secara amnya respon kepada situasi ini mengambil masa yang lama. Jika ada kesannya, ia tidak ‘terasa’. Pembaca hanya perlu menaip dalam ruangan carian di internet tentang isu warden dan pembaca boleh melihat isu ini telah ‘diangkat’ oleh media lebih dari sekali selama beberapa tahun. Seperti yang saya katakan pada awal penulisan ini, pihak yang terlibat harus ada ‘political will’ untuk menyelesaikan polemik ini secara berkesan. Harus diakui, terdapat pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM yang membolehkan pentadbir sekolah melantik anggota kumpulan pelaksa (AKP) menjadi warden tetapi rata – rata pilihan kebanyakan pentadbir sekolah adalah tidak lain dan tidak bukan, ialah guru juga. Antara alasan popular yang diberikan termasuklah; (1) Guru mempunyai ilmu pengurusan murid, (2) dilengkapi ilmu psikologi , dan (3) lebih dekat dengan pelajar. Mungkin institusi pendidikan negara menganggap isu warden ini tidak kritikal dan mereka yang dilantik menjadi warden masih boleh ‘ditenangkan’. Walau apapun, yang pasti isu ini sekali lagi diungkitkan oleh media dan lebih menarik lagi untuk kita lihat apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkenaan.


Nota Kaki: Penulisan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis sebagai warden dan juga guru di institusi pendidikan yang mempunyai asrama selama 8 tahun. Pendapat yang dilontarkan mungkin tidak menggambarkan situasi di semua asrama di bawah selian KPM.


Ditulis oleh Mohd Al Lamare Abu Husain

Mohd Al Lamare Abu Husain merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di Kemaman, Terengganu.

2 comments

  1. Aku sekarang ni duduk depan asrama jam 1216 pagi tunggu ibu pelajar bawa balik anaknya yang histeria. Dah dekat 6 tahun dah penghuni asrama 550 orang dan warden 7 orang sahaja, kekurangan 4 orang… ikhlas hati je ni.. nak harap orang kesian… mimpi la…

    Like

Leave a comment