Intervensi psikopendidikan dalam menangani isu berkaitan keremajaan

Cabaran dalam dunia pendidikan masa kini bukan sahaja untuk memastikan murid-murid mendapat keputusan cemerlang malahan kesejahteraan diri juga menjadi salah satu elemen penting dalam memastikan semua murid sejahtera dari aspek psikologi.

Perkembangan remaja bermula pada usia 13 tahun iaitu murid akan mengalami proses transisi daripada zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Pada peringkat usia sebegini juga seringkali dikaitkan dengan pelbagai isu seperti akil baligh, isu percintaan, kekeliruan peranan (gender), hamil pada usia muda, isu pengurusan diri dan sebagainya.

Lantaran itu, tugas sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) di sekolah semestinya penuh pancaroba dan cabaran untuk membimbing anak-anak murid mempersiapkan diri dengan pelbagai strategi daya tindak bagi mendepani isu dalam kehidupan seharian.

Memanfaatkan slot ‘Teach-in’ dengan intervensi psikopendidikan

Sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling, slot ‘teach-in’ akan diisi dengan pelbagai aktiviti mengikut tema 4 bidang dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling iaitu (1) Pembangunan & Perkembangan Sahsiah Murid, (2) Psikososial & Kesejahteraan Mental Murid, (3) Pengurusan Kerjaya dan (4) Peningkatan Disiplin Murid.

Intervensi psikopendidikan merupakan salah satu usaha GBK menyebarkan pelbagai maklumat berdasarkan keperluan semasa murid. Dalam sesi perkongsian maklumat, murid-murid digalakkan untuk memberi respon dan GBK juga boleh membuat aktiviti peneguhan seperti melaksanakan “Pop-Quiz”, mencatat isi-isi penting yang telah dikongsikan serta membuat pembentangan kumpulan bagi meningkatkan pemahaman murid terhadap maklumat yang disampaikan.

Guru Sebagai Pakar Rujuk Utama

          Keperluan untuk warga pendidik dalam menuntut ilmu, pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing adalah sangat diperlukan. Seiring dengan arus pemodenan dalam bidang pendidikan, setiap guru semestinya berpengetahuan luas kerana guru merupakan sumber rujukan utama bagi semua murid, rakan sekerja, ibu bapa / waris murid serta komuniti setempat dalam menjawab pelbagai persoalan dan keraguan.

          Oleh yang demikian, para guru juga perlu bersedia untuk menambah nilai segala ilmu dan kepakaran dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, menghadiri bengkel / kursus berkaitan bidang kepakaran di sekolah, aktif dalam membuat kajian tindakan serta inovasi bagi membantu kemenjadian murid-murid di sekolah.

          Selain itu juga, sebagai warga pendidik haruslah proaktif dalam membina jaringan kolaboratif dengan pelbagai agensi dan komuniti setempat untuk memperluaskan khidmat psikopendidikan serta membantu dalam menyebarkan maklumat terutama sekali dalam bidang pendidikan agar profesion ini dipandang sebagai salah satu profesion yang membantu kesejahteraan masyarakat dan memberi manfaat kepada semua orang.

 “Kerja itu merupakan satu ibadah”

           Dalam menjalani tugas sebagai seorang guru mahupun apa jua bidang kerjaya sekalipun, semua itu merupakan sumber rezeki dan ibadah atau amalan sepanjang kehidupan. Jadikan apa juga pekerjaan yang kita lakukan agar memanfaatkan dan memberi sinar dalam kehidupan orang lain. Sentiasa percaya bahawa setiap amal baik yang kita lakukan seharian akan menjadikan kita insan yang sentiasa bersyukur dan belajar untuk membina kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya.

          Intervensi psikopendidikan bukan sahaja penting untuk memberi edukasi kepada orang lain malah menjadikan kita orang yang sentiasa “dahagakan ilmu” untuk dikongsikan kepada orang lain. Semoga segala usaha kita mendapat keberkatan Illahi.

Gambar Hiasan 1: Pengisian slot psikopendidikan khas untuk memberi bimbingan kepada penghuni asrama Tingkatan 1 tentang cara-cara penggunaan dan membersihkan tuala wanita
Gambar Hiasan 2: Slot psikopendidikan untuk murid lelaki mengenai peranan lelaki sebagai pelindung dan hero kepada diri sendiri

Ditulis oleh Cikgu Dayang Rafidah binti Awang Osman

Cikgu Dayang Rafidah merupakan seorang guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa di SMK Padawan, Sarawak.

Leave a comment