Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif Teluk Layang: ‘Akses Pendidikan untuk Semua’ (Bahagian 2)

*Artikel ini merupakan sambungan dari Bahagian 1

Seterusnya, kajian ini mendapati bahawa impak positif Sekolah Alternatif kepada pelajar- pelajar serta komuniti mereka mengambil kira impak jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Perkongsian Mohamad Haziq Ikhsan (2022) mengenai impak dan isu yang berjaya ditangani di Kampung Teluk Layang dijelaskan dalam petikan berikut,

“…Impak positif jangka masa pendek terhadap kanak-kanak di Kampung Teluk Layang pula adalah kami berjaya mengurangkan ketakutan kanak-kanakterhadap orang luar dari kampung. Impak jangka masa pendek kepada komuniti Kampung Teluk Layang pula adalah mereka sedar akan kepentingan pendidikan bahawa pendidikan boleh mengubah mereka menjadi lebih baik. Impak jangka panjang pula yang saya lihat adalah dari segi penstrukturan organisasi dan kebersihan komuniti di sini. Memandangkan petempatan mereka yang boleh dikategorikan sebagai petempatan setinggan, mereka tidak mempunyai strata dan akses yang baik untuk pelupusan sampah atau pembinaan rumah. Selepas tertubuhnya Sekolah Alternatif di sini, kami boleh berkerjasama dengan komuniti kampung untuk mengajar mereka tentang kepentingan menyimpan sebarang bentuk dokumen serta meningkatkan kesedaran mereka untuk berusaha, serta tidak takut untuk berunding dengan pihak berkuasa…”.


Merujuk pemerhatian saudara Haziq Ikhsan, apabila sekolah alternatif wujud, tiada lagi penyekatan akses pendidikan kerana peluang untuk pendidikan telah diperluas oleh gerak kerja Borneo Komrad. Selain itu, kewujudan Sekolah Alternatif telah menyumbang kepada perubahan transformatif secara menyeluruh daripada segi sikap terhadap pendidikan dan kebolehan berorganisasi dalam kalangan komuniti Kampung Teluk Layang unutk memastikan akses pendidikan serta kampung mereka berada dalam keadaan yang lebih baik. Memetik perspektif saudara Haziq Ikhsan dan saudara Faiz Fadhlee (2022) berkenaan pelajar-pelajar Sekolah Alternatif amat gembira untuk hadir ke sekolah, pengkaji terpanggil untuk mendalami pedagogi serta silibus pendidikan di Sekolah Alternatif sehingga mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar dan komuniti Kampung Teluk Layang. Berikut ialah perkongsian guru-guru aktivis mengenai hal tersebut,

“…Silibus ditetapkan oleh guru, silibus organik. Silibus yang tidak tetap tetapi mengikut keperluan semasa, orientasi pelajar dan orientasi masyarakat. Para guru mempunyai autoriti utk mengajar mengikut keperluan mereka. Asas pengajaran tertentu dipatuhi oleh guru iaitu 3M, penilaian berasaskan guru, dan kami tiada peperiksaan setara. Untuk tempoh jangka masa panjang kelas utk pemerkasaan kemahiran akan dibangunkan…”.


Merujuk kepada istilah “silibus Organik” yang diungkapkan oleh kedua-dua guru-aktivis, ia merujuk kepada sebuah Pedagogi Responsif Komuniti. Menurut Tintiangco-Cubales, et al (2021) salah seorang akademik-aktivis di Amerika yang memperjuangkan pendidikan etnik untuk komuniti Filipina-Amerika, mereka menyatakan bahawa pedagogi ini merujuk kepada keperluan semasa komuniti tersebut, membangunkan kesedaran kritis melalui interaksi bersama pelajar dan komuniti di kampung mereka dan juga membangunkan dayausaha setiap pelajar-pelajar agar mereka mandiri dan menjadi pemimpin komuniti yang transformatif. Selain silibus asas seperti memastikan kadar literasi seperti membaca, mengira dan menulis (3M) dikuasai, pengkaji juga telah membuat pemerhatian terhadap usaha-usaha pengajaran berasaskan pengalaman sebenar dalam menyinggung realiti di komuniti mereka. Antaranya adalah, guru-aktivis Sekolah Alternatif juga memberi pendidikan alam sekitar dan mengajak pelajar-pelajar untuk keluar dari
ruang sekolah untuk melihat dan memikirkan isu kebersihan dikampung mereka dan cara-cara terbaik untuk mengatasi masalah tersebut. Ini adalah pendekatan pengajaran yang cukup baik dengan menggunakan pedagogi responsif komuniti namun ia amat jarang dilakukan oleh pendidikan arus perdana Malaysia.

Bagi aspek kedua pula, ia merujuk kepada falsafah advokasi pendidikan Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif. Pertanyaan ini diajukan oleh pengkaji kerana aspek ini tidak disentuh oleh mana-mana media arus perdana sekalipun. Daripada segi falsafah, Mohd Naiem Zikri (2022) telah menyatakan falsafah pendidikan mereka berasaskan seorang ahli falsafah-aktivis pendidikan tersohor dari Brazil iaitu Paulo Freire. Paulo Freire percaya bahawa pendidikan
merupakan alat pembebasan untuk golongan yang tertindas. Berikut perkongsian Mohd Naiem Zikri (2022) yang juga merupakan Pengerusi Suara Mahasiswa UMS, aktivis Borneo Komrad dan guru di Sekolah Alternatif,

“…Antara falsafah-falsafah pendidikan yang sentiasa dibincangkan bersama rakan-rakan mahasiswa adalah seperti falsafah pendidikan Paulo Freire iaitu pendidikan untuk golongan tertindas. Kami melihat komuniti tanpa dokumen ini khususnya anak-anak stateless adalah golongan yang tertindas…”.


Berdasarkan falsafah pendidikan yang telah ditetapkan, maka penetapan dasar-dasar, pengisian program pendidikan, penentuan isi kandungan kurikulum, aspek pelaksanaan kurikulum dan sebagainya akan berfokus dan menuju ke arah yang sama (Zaini et al. 2012:16). Jika dibandingkan Falsafah Pendidikan Malaysia yang hanya bertumpukan kepada pembangunan aspek (i) jasmani, (ii) emosi, (iii) rohani dan (iv) intelek (JERI), falsafah pendidikan golongan tertindas yang diketengahkan oleh Paulo Freire lebih bertumpukan kepada aspek sosial dan keterkaitan antara struktur kuasa dan institusi sosial yang menindas golongan yang tidak mempunyai kuasa. Pembangunan aspek sosial tidak jelas dalam Falsafah Pendidkan Malaysia dimana ianya tidak ditekankan secara khusus seperti aspek JERI yang lain (Ong et al, 2014: 38). Giroux (2021: 43) turut menyokong Pedagogi Kritikal yang diadvokasikan oleh Paulo Freire kerana pendidikan arus perdana pada zaman ini lebih menjurus kearah ideologi neoliberalisme dan juga positivisme yang melumpuhkan dan mengasingkan sifat demokrasi sesebuah pendidikan itu. Namun begitu di Sekolah Alternatif, sifat demokrasi dan pedagogi kritis sentiasa dititikberatkan agar pelajar-pelajar mandiri dengan pemikiran mereka dalam menyelesaikan pelbagai isu berkaitan komuniti mereka dan diri mereka sendiri.

Akhir sekali, pengkaji mengenal pasti cabaran dan harapan Borneo Komrad dalam hala tuju dasar pendidikan dalam menangani masalah akar iaitu ketiadaan dokumentasi agar ekuiti atau akses kepada pendidikan dapat dicapai oleh semua. Berikut adalah perkongsian saudara Haziq Ikhsan (2022) mengenai cabaran dan harapan dalam aktivisme yang mereka laksanakan,


“…Terdapat dua cabaran yang menjadi punca masalah stateless ini. Saya kongsikan persepsi komuniti sendiri. Pertama, susur galur sejarah yang panjang menyebabkan mereka merasakan Sabah ialah negeri mereka dan tiada konsep sempadan kerana mereka berkongsi zon budaya yang sama dengan Filipina. Ini berlaku dalam konteks warga stateless di Semporna. Namun,di Kota Kinabalu pula, kejadian komuniti stateless berlaku kerana disebabkan sejarah yang panjang melibatkan pembentukan kerajaan di Malaysia dan Filipina yang telah tercetus peperangan territory. Akan tetapi, setelah bergenerasi, isu ini masih tidak diselesaikan oleh pihak kerajaan sama ada diperingkat Persekutuan atau negeri. Cabaran kedua pula ialah komuniti stateless ini langsung tidak mempunyai pengetahuan dan kefahaman konsep dokumentasi dan keperluan mempunyai dokumen pengenalan. Mereka juga mempunyai perasaan yang takut serta tidak percayakan pihak autoriti. Ini menyukarkan usahasama dalam proses memperoleh dokumentasi. Maka, kami cuba bantu dengan mendekati dan menyantuni mereka tentang hak mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan…”


Daripada perkongsian oleh Mohamad Haziq Ikhsan, amat jelas sekali bahawa tiada kesepaduan dalam usaha untuk memberikan hak kewarganegaraan kepada komuniti stateless ini. Walaupun isu ini dapat dilihat daripada perspektif sejarah wilayah yang kompleks, namun ia bukanlah alasan yang wajar untuk tidak menyelesaikan perkara ini. Perlunya data kualitatif seperti yang dinyatakan oleh Rodziana (2017:3) untuk mengesan dan menjejak sejarah asal-usul warga stateless.


Kesimpulannya, Naratif yang boleh dibina berdasarkan aktivisme Borneo Komrad ini ialah iltizam politik yang diambil oleh guru-aktivis dengan membangunkan Sekolah-sekolah Alternatif yang sedikit sebanyak membuka ruang hak pendidikan kepada anak-anak komuniti stateless. Justeru, rangka strategi yang berkesan diperlukan sebagai langkah ke hadapan bagi mengusulkan tindakan bersesuaian kepada pihak autoriti atau pemerintah agar iltizam politik bergerak seiring dengan masa hadapan kanak-kanak stateless untuk lebih terjamin dan dipenuhi sebagai kelaziman seorang manusia.

Rujukan:

Giroux, H. A. 2021. On Critical Pedagogy. New York: The Continuum International Publishing
Group.

Mohd Naiem Zikri. 2022. Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif Teluk Layang, Kota Kinabalu.
Temu bual, 2 Julai.


Ong Puay Liu, Ong Puay Hoon, Sivapalan Selvadurai, Marsitah Mohd Radzi, Badariah Saibeh
(2014). The making of Malaysian solidarity: A historical look at education and social
cohesion in Sarawak. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 10
issue 1 (36 – 48). Pautan di https://core.ac.uk/download/pdf/19790527.pdf Diakses pada
19 Oktober 2022

Tintiangco-Cubales, A., & Duncan-Andrade, J. (2021). Chapter 2: Still Fighting for Ethnic
Studies: The Origins, Practices, and Potential of Community Responsive Pedagogy.
Teachers College Record, 123(13), 1–28. Pautan di
https://doi.org/10.1177/016146812112301303 Diakakses pada 20 September 2022.

Zaini Abdullah, Mohd Norr Mohd Taib, Ikhsan Othman, Norila Md Saleh, Abu Bakar Yusuf &
Abdul Talib Mohamed Hashim. 2012. Perkembangan Pendidikan di Malaysia: Falsafah
dan Dasar Pautan di
https://www.academia.edu/23397249/ZAINI_BIN_ABDULLAH_MOHMAD_NOOR_BI
N_MOHMAD_TAIB_IKHSAN_BIN_OTHMAN_NORILA_BINTI_MD_SALLEH_ABU
_BAKAR_BIN_YUSUF_ABDUL_TALIB_BIN_MOHAMED_HASHIM . Diakses pada
10 September 2022

Ditulis oleh Fatimah Tajuddin

Fatimah Tajuddin, merupakan seorang calon PhD di Institut Kajian Etnik (UKM). Penyelidikan beliau memfokuskan pada memudahkan kesepaduan sosial dan penipisan batas antara etnik dengan menggunakan filem bebas dari Malaysia sebagai alat pendidikan kritis. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Sains Kemanusiaan, Psikologi (UIAM), dan juga Ijazah Sarjana dalam Kajian Media da Komunikasi Massa (UiTM). Beliau juga merupakan seorang pensyarah dalam bidang komunikasi antarabudaya dan sains sosial. Fatimah juga merupakan seorang aktivis- akademik dari Naratif Malaysia sebuah Organisasi sivil dalam advokasi pendidikan yang menggunakan kesarjanaan untuk aktivisme dan aktivisme untuk kesarjanaan. Akhir sekali, beliau adalah seorang tenaga pengajar untuk My Catalyz, sebuah pusat belia dan demokrasi dari Merdeka Center.

Leave a comment