Pengaplikasian aneka teknik mudah dalam penghasilan karya seni visual yang bermutu untuk murid berkeperluan pendidikan khas

Meneropong ke dunia pendidikan khas, para pendidik yang mengajar dan membimbing murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) sememangnya berhadapan dengan satu bentuk cabaran yang menuntut kesabaran serta keikhlasan nurani dalam menyalurkan ilmu demi kemenjadiaan anak-anak ini. Namun alah bisa tegal biasa, cabaran akan menjadi satu keseronokan apabila episod didikan bersama golongan istimewa itu sudah sebati, molek kaedah penyampaiannya serta diiringi dengan niat yang murni.

Tidak dapat dinafikan, rata-rata MBPK yang berada di kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mempunyai kelemahan yang agak ketara dalam penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M). Oleh demikian, usaha mempersiapkan diri anak-anak ini dalam bidang kemahiran seperti kulinari, refleksologi, hospitaliti dan pertanian adalah sangat wajar dan perlu bimbingan yang berterusan. Kemahiran tersebut dapat dipraktikkan dalam bidang kerjaya apabila mereka telah tamat persekolahan kelak.

Melihat dari satu sudut yang berbeza, bidang seni visual juga mampu memberi impak positif dan pulangan yang lumayan kepada MBPK jika dijadikan produk kreatif. Bidang ini juga merupakan satu cabang kemahiran yang sesuai diceburi oleh mereka. Minat dan bakat mereka harus digilap melalui pendekatan yang sewajarnya agar mereka mampu bersaing secara sihat dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan murid-murid di aliran perdana.

Menyedari akan tahap dan penguasaan kebanyakan MBPK dalam bidang seni visual adalah terhad, ia berbalik kepada kreativiti dan kebijaksaan guru untuk mencari alternatif terbaik agar sesebuah karya seni itu dapat dihasilkan oleh mereka bersesuaian dengan tahap penguasaan kemahiran yang dimiliki. Hal ini demikian kerana seni itu suatu yang indah untuk diterokai. Karya seni yang tinggi nilainya bukan hanya dipandang pada catan yang bersifat realistik sahaja. Sebaliknya karya seni itu boleh dihasilkan dengan pelbagai kaedah dan teknik sama ada pada aras mudah, sederhana mahupun sukar.

Guru harus kreatif dalam menggabungkan aneka teknik mudah untuk diaplikasikan oleh MBPK. Antara teknik yang boleh digunakan ialah kolaj, percikan, gosokan, titisan, stensilan, basah atas basah, resis, capan dan sebagainya. Bimbingan yang baik dan bersesuaian daripada guru boleh membantu murid untuk mengolah idea yang sedikit menjadi besar nilainya. Persepsi dan gaya persembahan karya yang mungkin bermula dengan biasa-biasa mampu berubah kepada luar biasa sinarnya. Apa-apapun permulaan sebuah penerokaan anak MBPK dalam bidang seni visual ini harus dipimpin dan dicorakkan oleh guru.

Pengaplikasian aneka teknik dalam seni visual juga membantu guru untuk cuba jaya dalam mengenal pasti kekuatan seseorang murid itu untuk digilap potensinya. Contohnya; seseorang MBPK itu mungkin mudah mengikuti pembelajaran dan berbakat menggunakan teknik basah atas basah tetapi lemah dalam penggunaan teknik resis. Oleh itu, guru boleh mengasah kekuatan kemahiran murid tersebut pada teknik yang dilihat mampu menyerlahkan bakat seninya dengan olahan objek yang pelbagai dan menarik. Media yang digunakan juga boleh dicampurkan penggunaanya seperti warna pensel, krayon, warna air atau acrylic mengikut kepakaran.

Kaedah pengajaran yang menarik dan berkesan mampu merangsang minat mereka untuk menyerlah seterusnya mempamerkan minat sebenar dalam diri yang mungkin ibu bapa atau para guru tidak sedar. Contohnya : teknik kolaj bukan sekadar menampal kertas warna atau surat khabar dengan menggunakan gam pada helaian kertas lukisan sahaja. Malah bahan lain juga boleh digunakan seperti daun kering, kulit kacang, glitter form, flyers, majalah, kain perca dan tisu. Kepelbagaian idea dalam pemilihan dan penggunaan bahan serta alatan akan meningkatkan minat MBPK terhadap subjek seni visual. Mereka semestinya akan berasa teruja untuk menyiapkan tugasan dan mahu melakukannya secara berulang kali dengan olahan yang berbeza-beza sehingga terhasil sebuah karya yang bermutu.

Di samping mengasah bakat dan membina potensi, bidang seni visual ini sebenarnya mampu mengembangkan daya pemikiran MBPK. Mereka bukan sekadar perlu memegang pensel dan menconteng kertas lukisan semata-mata malah lebih daripada itu. Dalam penghasilan sesebuah karya, murid harus berimaginasi dan menterjemahkan buah fikiran mereka secara visual di atas kertas lukisan atau kanvas putih mahupun kayu bagi seni ukiran. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu berfikir tentang media dan olahan warna yang hendak digunakan agar hasil karya lebih cantik dan bermakna. Proses ini memerlukan kesungguhan, kreativiti, ketelitian, kesabaran dan keyakian diri yang tinggi. Penerapan nilai ini yang membuatkan sesebuah karya itu lebih bernilai dan mahal harganya apabila dikomersialkan.

Sebagai contoh, seseorang murid membayangkan alam safari atau hidupan liar di hutan sekaligus memikirkan watak-watak dengan sifat-sifat tertentu. Idea yang menjelma dalam fikiran murid itu akan diilustrasikan dalam sebuah karya seni visual. Di sinilah bermulanya cabaran dan perkembangan daya pemikiran murid.  Teknik paling mudah untuk diaplikasikan ialah teknik silhouette iaitu teknik bayangan objek utama dengan memberi kesan warna gelap. Dalam masa yang sama, tambahan teknik lain boleh digunakan seperti gosokan, percikan dan stensil dengan olahan warna yang sesuai mengikut kreativiti.

Kreativiti murid menghasilkan karya bertemakan fauna menggunakan teknik silhouette, stensil dan percikan

Di samping itu, aktiviti seni ini turut membantu meningkatkan penguasaan kemahiran motor halus dan motor kasar MBPK. Pelbagai bentuk kemahiran motor halus dipraktikkan seperti melakar, menggunting, menampal, mengoyak, merenyuk, melipat dan memegang alatan mewarna. Proses ini memberi impak yang positif terhadap kekuatan psikomotor dan kemenjadian murid. Walaupun nampak mudah pada mata masyarakat umum tetapi besar manfaatnya kepada mereka yang istimewa dari segi fizikal dan kognitifnya. Rangkuman kemahiran tersebut secara tidak langsung membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Dalam masa yang sama, kreativiti dan pemilihan pendekatan yang menarik juga boleh membantu meningkatkan fokus dan perubahan tingkah laku murid ke arah yang lebih baik. Lebih-lebih lagi bagi anak autisme dan hiperaktif. Sekiranya murid dalam golongan ini suka akan sesuatu teknik atau cabang seni, mereka akan melakukan secara berulang kali dan fokus terhadap tugasan seni sehingga terhasil sebuah karya. Biarlah mereka bertatih dengan penghasilan karya yang bersifat peniruan daripada karya asal yang diperoleh daripada mana-mana sumber. Lama-kelamaan hasil baharu yang dihasilkan akan wujud olahan yang berbeza mengikut daya imaginasi MBPK malah lebih baik lagi. Di situlah akan nampak magisnya pemikiran anak-anak ini.

Tambahan pula, harga sesebuah karya seni dalam pasaran boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit. Ia bergantung kepada mutu, keunikan dan nilai estetika karya yang dihasilkan. Kadangkala nilai tambah yang diberikan oleh masyarakat turut melihat kepada golongan pengkarya tambah-tambah lagi insan istimewa. Namun itu bukanlah tiket untuk melonjakkan harga sesebuah karya. MBPK harus membuktikan air tangan mereka mempunyai standard yang boleh dibanggakan. Di samping bimbingan guru, sokongan pelbagai pihak termasuk masyarakat, kerajaan dan swasta juga sangat penting dalam membantu pembangunan MBPK berada di mercu persada.

Cikgu Saifullah bersama MBPK terlibat dalam pameran seni sempena Eco School International Conference di Hotel Sentral Riverview, Melaka (2017)

MBPK terlibat dalam pameran sempena Karnival Transformasi Komuniti Pendidikan Khas melalui Keusawanan Sosial di UTeM (2019)

Pameran di booth Kementerian Pendidikan Malaysia sempena Jom Heboh TV3 di MITC, Melaka.

Ditulis oleh Cikgu Mohd Saifullah bin Abd Rahim

Mohd Saifullah bin Abd Rahim berasal dari Hulu Kinta, Perak. Mendapat pendidikan ijazah sarjana muda dalam bidang sastera di Universiti Kebangsaan Malaysia. Kemudian menyambung pengajian ikhtisas Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang Pendidikan Khas (Pembelajaran) di Universiti Kebangsaan Malaysia. Penempatan pertama beliau ialah di SMK Bukit Baru, Melaka dan kemudian telah bertukar ke SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput (U), Perak. Berpengalaman mengajar murid berkeperluan pendidikan khas dalam subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Seni Visual dan Kemahiran Vokasional Spesifik Asas Penyediaan Makanan. Pernah terlibat sebagai hakim dalam pertandingan NILAM, kaligrafi Islam, bercerita kisah nabi, nasyid, gerak kreatif dan tarian tradisional. Beliau juga terlibat dalam penulisan buku latihan tambahan bahasa Melayu Sekolah Rendah, Antologi puisi dan anekdot serta sumbangan bahan sastera di akhbar tempatan.

Leave a comment