Stefanus Lucas: “Focus on ABILITY, not disability…”

Seorang graduan guru Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah, namun Cikgu Stefanus Lucas lebih dikenali sebagai seorang seorang guru Pendidikan Khas yang sangat cemerlang dan terkenal dalam bidangnya. Beliau telah memenangi banyak anugerah dan penghargaan atas pencapaian dan dedikasinya dalam membantu anak-anak yang memerlukan sokongan khas.

Beliau bukan sahaja memiliki kebolehan untuk mengajar anak-anak dengan keperluan pendidikan khas, tetapi juga mempunyai keupayaan untuk membantu mereka membangunkan potensi mereka yang sebenar. Keperihatinan beliau terhadap kebajikan dan kesejahteraan murid-muridnya memastikan bahawa setiap murid menerima perhatian yang sama dan menjadi individu yang lebih berdaya saing.

Kepakaran beliau dalam bidang ini telah dikenali oleh banyak pihak, termasuk agensi kerajaan, organisasi bukan kerajaan, dan komuniti pendidikan. Beliau telah memenangi banyak anugerah seperti Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Inovasi Pendidikan, dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dalam Pendidikan Khas. Ini membuktikan bahawa beliau bukan sahaja dikenali oleh rakan sekerja, tetapi juga masyarakat yang lebih luas. Dengan motonya ‘focus on ability, not disability’, kami berpeluang untuk menemu ramah Cikgu Stefanus Lucas!

Perkenalkan diri anda.

Kopisanangan dan Salam Sejahtera,

Nama saya Stefanus Lucas dan berasal dari Kampung Togop, Tamparuli, Sabah. Saya berbangsa etnik Dusun yang merupakan salah satu puluhan etnik yang ada di negeri Sabah. Saya memiliki ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (Pendidikan Muzik Pendidikan Rendah) dari Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang. Kini, saya sedang menyambung pendidikan di peringkat Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas tajaan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia bagi program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Sebelum ini, saya bertugas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Tuaran, Sabah bermula pada tahun 2016 sehingga 2022. Sekolah ini merupakan tempat penempatan saya yang pertama sebagai seorang cikgu dan di sinilah bermulanya saya mengenali dunia pendidikan khas. Sebelum ditempatkan di sekolah ini, saya tidak mempunyai sebarang pengalaman atau pengetahuan tentang pendidikan khas atau apa-apa yang berkaitan dengan golongan orang kurang upaya OKU atau murid berkeperluan pendidikan khas MBPK. Di Institut Pendidikan Guru, saya dilatih untuk menjadi guru muzik di sekolah aliran perdana, tetapi apabila di tempatkan di SKPK Tuaran, semuanya berubah menjadi 360 darjah. Setelah beberapa tahun mengajar di sekolah ini, saya merasa sangat-sangat bersyukur kerana sekolah ini khususnya melalui anak murid dan rakan sekerja saya, mereka banyak mengajar saya tentang erti kehidupan yang lebih bermakna dan membentuk saya untuk menjadi seorang guru yang lebih baik dan kreatif.

Kalau bukan mereka, khususnya anak murid saya di SKPK Tuaran, tidak mungkin saya mampu untuk mencipta idea pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik, kreatif dan mesra pengguna OKU, khususnya dalam bidang pendidikan muzik (idea PdP menggunakan Puppet, buku cerita, alat mainan, alatan teknologi, bahan inovasi dan banyak lagi). Paling menarik, semangat dan keterujaan yang ditunjukkan oleh mereka ketika dalam kelas ataupun di luar kelas, sangat menyentuh hati saya dan ini memberi saya semangat untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik lagi kepada mereka hari demi hari. Saya berpegang kepada kenyataan ini, Focus on ABILITY, not disability kerana saya percaya semua kita boleh berjaya sekiranya diberikan peluang yang sewajarnya tanpa mengabaikan ketidakupayaan yang dimiliki, termasuklah murid berkeperluan pendidikan khas. Menumpang atas rezeki anak murid, saya diberi peluang untuk menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas peringkat Kebangsaan pada tahun 2022 dan peringkat Negeri Sabah pada tahun 2021.

Catatan: Menerima Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan pada tahun 2022.

Sebagai seorang guru pendidikan khas, apakah yang cikgu ingin guru-guru lain dan orang awam tahu mengenai pelajar pendidikan khas?

Banyak, dan sangat banyak yang perlu diketahui oleh guru-guru lain dan orang awam mengenai pelajar pendidikan khas.

  • Pertama, Jenis-jenis Sekolah atau Program Pendidikan Khas

Sekolah atau program pendidikan khas di Malaysia terbahagi kepada beberapa jenis, yang pertama adalah Sekolah Pendidikan Khas (SPK). Terdapat 34 buah sekolah jenis SPK di Malaysia, rujuk pautan yang berikut untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang SPK https://www.moe.gov.my/pendidikan/khas/sekolah-pendidikan-khas/senarai-sekolah-pendidikan-khas. Sekolah saya, SKPK Tuaran merupakan salah satu SPK di Malaysia. SPK ditadbir terus oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPKhas, KPM). Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa SPK boleh berdiri sendiri dan berbeza daripada program pendidikan khas yang lain? Ini pendapat saya secara peribadi, ini disebabkan SPK kebiasaannya banyak memfokuskan keperluan peralatan dan kemudahan pendidikan yang secara khusus kepada beberapa jenis ketidakupayaan, contohnya bagi murid OKU penglihatan memerlukan peralatan seperti Braille, mesin Embosser, mesin Thermoform, kawasan sekolah mempunyai laluan kuning atau hitam yang dinamakan Guidance Bloc, tongkat putih dan sebagainya. Kalau difikirkan secara logik, agak sukar dan mustahil untuk semua sekolah memiliki semua alatan khusus seperti yang telah saya nyatakan, itulah antara sebab tertubuhnya SPK untuk memastikan semua murid OKU mendapatkan pendidikan yang disesuaikan dengan keperluan, ketidakupayaan dan potensi mereka. Jenis program pendidikan khas yang kedua ialah program yang dilaksanakan di sekolah aliran perdana iaitu Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI). Saya percaya kebanyakan kita biasa dengan terma PPKI kerana banyak sekolah terlibat dengan program pendidikan khas ini sama ada di peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah. Kebiasaannya murid PPKI atau PPI adalah di kalangan murid masalah pembelajaran (Autism, Down Syndrome, Dyslexia dan lain-lain), walau bagaimanapun ada juga murid kategori OKU lain selain daripada murid masalah pembelajaran menyertai program PPKI atau PPI. Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut bagi program pendidikan khas ini, bolehlah mengakses pautan tersebut;

PPKI: https://www.moe.gov.my/muat-turun/pendidikankhas/program-pendidikan-khas-integrasi
PPI: https://www.moe.gov.my/muat-turun/pendidikankhas/program-pendidikan-inklusif

  • Kedua, Terdapat Pelbagai Kategori Murid MBPK

Selama saya mengajar di sekolah pendidikan khas, ramai yang keliru dan beranggapan bahawa golongan OKU hanya satu jenis sahaja. Ramai yang beranggapan bahawa murid saya bukan sekadar buta tetapi ada yang beranggapan mereka juga pekak bisu. Malah ada yang beranggapan bahawa golongan OKU hanya di kalangan Autism sahaja dan ada yang beranggapan bahawa semua murid masalah pembelajaran adalah Autism. Sebenarnya ada 6 kategori murid MBPK;

Bagi maklumat lebih lanjut boleh akses pautan ini; https://www.spa.gov.my/spa/panduan/kategori-orang-kurang-upaya-oku

  • Ketiga, Pengajaran dan Pembelajaran Murid MBPK

“Oh! Murid kamu pun ada belajar itu juga?” “Oh! Mereka pun belajar muzik. Apalah yang mereka boleh belajar kalau mereka tidak boleh nampak?” “Eee… Sama pula cara mereka belajar macam murid sekolah biasa.” Itulah antara persoalan dan kenyataan yang sering kali saya terima daripada pelbagai pihak apabila mengetahui saya mengajar di sekolah pendidikan khas. Murid MBPK belajar sama seperti murid di sekolah aliran perdana, bagi murid bukan kategori masalah pembelajaran, guru berpandukan Dokumen KSSR yang sama seperti di sekolah aliran perdana kecuali beberapa mata pelajaran yang disesuaikan dengan keperluan OKU. Manakala bagi murid masalah pembelajaran, mempunyai rujukan dokumen yang tersendiri iaitu Dokumen KSSR Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran. Boleh rujuk pautan yang berikutnya untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan dengan dokumen KSSR Pendidikan Khas; http://bpk.moe.gov.my/index.php/terbitan-bpk/pendidikan-khas/category/68-kurikulum-standard-sekolah-rendah-kssrkssr

  • Keempat, Murid MBPK Turut Terlibat dengan Peperiksaan Awam

Saya banyak diajukan persoalan sama ada murid MBPK terlibat dengan peperiksaan awam, seperti SPM, STPM dan beberapa peperiksaan lain yang telah dimansuhkan seperti UPSR atau PMR @ PT3, dan jawapan saya adalah YA. Murid MBPK mempunyai hak untuk mengambil peperiksaan awam dan didaftar sebagai Calon Berkeperluan Khas (CBK) untuk melayakkan mendapatkan keistimewaan, kemudahan dan perkhidmatan yang diperuntukkan oleh Lembaga Peperiksaan berdasarkan Panduan Pengurusan Peperiksaan bagi CBK.

  • Kelima, Murid MBPK Tidak Lari daripada Isu Disiplin

Pengalaman mengajar dan menjadi guru pendidikan khas selama 6 tahun, seperkara yang boleh saya kongsikan ialah murid MBPK juga tidak lari daripada isu-isu disiplin seperti yang berlaku di sekolah aliran perdana. Jangan kerana mereka murid MBPK dan berada sekolah pendidikan khas, mereka innocent. Masalah disiplin seperti membuli, malas, tidak membuat kerja sekolah, tidak hadir ke sekolah tanpa sebab dan sebagainya memang berlaku dalam kalangan murid MBPK.

Bagaimanakah cikgu mengaplikasikan konsep keterangkuman di dalam kelas cikgu terutama sekali dalam kelas pendidikan khas?

Secara peribadi, saya beranggapan bahawa melalui perlaksanaan aktiviti Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) banyak membantu untuk menerapkan konsep keterangkuman. Dalam kelas pendidikan khas saya, murid MBPK terdiri daripada pelbagai latar belakang keluarga, jantina, bangsa, agama dan jenis ketidakupayaan. Sekiranya saya tidak menumpukan secara terperinci latar belakang murid saya, sudah pasti akan ada murid akan merasa tersisih dan tidak selesa berada di dalam kelas saya. Bagi mengatasi perasaan tersisih dan penglibatan kesemua murid saya di dalam kelas, saya melaksanakan aktiviti PBL di mana saya akan meminta murid melaksanakan sesuatu tugasan dalam tempoh tertentu dan apabila selesai, mereka akan mendapat ganjaran dan penghargaan atas usaha yang mereka telah lakukan. Dalam tempoh melaksanakan projek tersebut, saya akan mewajibkan setiap individu menyumbangkan sesuatu idea atau mempunyai peranan tersendiri dan bagi murid yang lemah secara akademik atau mengalami kesukaran untuk melaksanakan projek tersebut, murid lain wajib membantukannya. Sepanjang pengalaman saya melaksanakan PBL, murid sentiasa bersemangat untuk melakukan yang terbaik secara berpasukan kerana didorong dengan ganjaran yang diperoleh pada akhir projek dan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Selain itu, cara lain saya mengaplikasikan konsep keterangkuman dalam kelas saya adalah melalui aktiviti membuat refleksi secara bersama atau berkongsi sesuatu dengan pelbagai cara (sama ada menyanyi, bercerita, menari, melukis dan sebagainya) secara bersama. Aktiviti ini saya jalankan seminggu sekali atau sebulan sekali sama ada dilaksanakan sepanjang kelas atau di penghujung kelas. Aktiviti memberi peluang setiap individu menyatakan sesuatu dengan bebas tanpa sebarang diskriminasi atau ejekan daripada rakan-rakan sekelas.

Catatan: Salah satu aktiviti Pembelajaran Berasaskan Projek yang telah dijalankan oleh murid MBPK saya ‘Don’t Throw, Make Music’, dan projek ini telah mendapat Anugerah EMAS peringkat negeri Sabah melalui penyertaan mereka ke pertandingan Kecemerlangan Inovasi Pendidikan Sabah pada tahun 2019

Apakah cabaran yang dialami oleh cikgu sebagai seorang guru pendidikan khas yang mengajar subjek pendidikan muzik dan bagaimana cikgu mengatasi cabaran tersebut?

Cabaran yang paling besar adalah bagaimana saya dapat menyampai ilmu pendidikan muzik yang sangat praktikal, menyeronokkan dan mudah untuk difahami oleh murid MBPK saya. Saya tidak ada pengalaman dan pengetahuan mengajar murid berkeperluan khas sepanjang belajar di institut pendidikan guru dan apabila ditempatkan di sekolah pendidikan khas, saya bermula daripada zero. Tetapi, saya berasa bersyukur kerana mempunyai rakan sekerja yang baik dan mempunyai pengalaman luas dalam mengajar murid OKU penglihatan, mereka banyak membimbing dan mengajar saya untuk menjadi seorang guru yang lebih baik. Selain itu, murid MBPK saya sendiri antara pencetus utama saya untuk mengatasi cabaran ini, saya tersentuh dengan semangat dan keterujaan yang mereka tunjukkan kepada saya, walaupun sukar untuk mencapai sesuatu dalam bidang muzikal, tetapi mereka sentiasa cekal dan bersemangat tinggi untuk belajar. Jika mereka boleh melakukan sesuatu dalam bidang muzikal walaupun pada mulanya agak sukar dan mempunyai banyak halangan akibat daripada ketidakupayaan mereka, dan apa alasan saya untuk berputus asa serta tidak memberi perkhidmatan yang terbaik untuk mereka. Semakin saya mengenali mereka, semakin banyak maklumat yang saya peroleh untuk menghasilkan bahan bantu mengajar yang lebih praktikal, menyeronokkan dan mesra pengguna OKU. Selain itu, saya juga banyak menghadiri konferensi, bengkel atau kelas luar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan mendapatkan pelbagai idea yang menarik serta praktikal untuk dilaksanakan di dalam kelas saya.

Catatan: Salah satu inovasi yang telah saya hasilkan dalam membantu murid buta mengenal pasti perbezaan antara ruang dan garis pada baluk.
Catatan: Bengkel Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Muzik Pendidikan Khas Ketidakupayaan Penglihatan dan Kod Braille Muzik anjuran Malaysian Association of Blind (MAB), Selangor, Malaysia. 2019
Catatan: International Rhythm and Melody Adventure Workshop (IRAMA) 2019, Ipoh, Perak. Anjuran Universiti of Hawaii, Manoa dan Universiti Malaysia Sabah.
Catatan: Dalcroze Workshop, Kuala Lumpur, Malaysia. 27 – 29 December 2019

Apakah tanggapan yang salah mengenai pelajar pendidikan khas yang cikgu hendak perbetulkan di kalangan masyarakat? Bagaimana cara cikgu perbetulkan tanggapan-tanggapan tersebut?

Stigma negatif terhadap golongan OKU atau murid berkeperluan khas di kalangan masyarakat masih tinggi. Masih ramai masyarakat beranggapan bahawa golongan OKU tidak mampu atau tidak berupaya melakukan sesuatu kerana faktor kecacatan yang dimiliki oleh mereka. Anggapan masyarakat terhadap murid MBPK menyebabkan ramai beranggapan bahawa mengajar di sekolah pendidikan khas adalah senang kerana murid tidak mampu melakukan sesuatu kerana faktor kecacatan dan beranggapan bahawa guru tidak perlu mengajar seperti di sekolah aliran perdana. Percayalah, sekiranya diberi peluang untuk membuat pilihan, saya akan memilih mengajar di sekolah aliran perdana berbanding mengajar di sekolah pendidikan khas kerana ianya sangat-sangat memenatkan jiwa, fizikal dan emosi. Walau bagaimanapun, kini, jiwa saya sudah jatuh cinta dengan dunia pendidikan khas kerana telah banyak mengajar saya erti kehidupan dan memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi cikgu yang lebih baik lagi.

Stigma yang timbul ini telah menyebabkan murid MBPK tidak diberi peluang yang sama rata dan sewajarnya dalam apa sahaja bidang yang ingin mereka ceburi. Saya masih teringat kisah bagaimana anak murid saya dinafikan hak untuk bertanding dalam satu acara muzikal kerana tiada kategori pendidikan khas walaupun saya telah meminta pihak penganjur untuk menilai persembahan anak murid saya sama seperti penilaian yang dilakukan dengan murid sekolah aliran perdana, malangnya permintaan saya ditolak mentah-mentah. Kisah ini tidak menghalang saya untuk terus mencari peluang dan ruang untuk berkongsi kemampuan murid MBPK saya, khususnya dalam bidang muzikal sama ada melalui penyertaan pertandingan atau persembahan di pelbagai peringkat. Saya percaya melalui usaha kecil ini membantu membuka mata dan minda masyarakat luar bahawa semua insan termasuklah murid MBPK boleh berjaya sekiranya diberi peluang dan ruang untuk berkarya sesuai dengan keupayaan dan potensi mereka tanpa mengabaikan ketidakupayaan dan kekurangan yang dihadapi oleh mereka. Kesempatan yang ada ketika bersama-sama sekolah SKPK Tuaran, melalui kejayaan luar biasa anak murid MBPK saya, telah menginspirasikan dan menyedarkan banyak pihak akan keupayaan mereka walaupun memiliki ketidakupayaan serta kekurangan diri. Saya percaya apabila kita fokus kepada potensi dan kekuatan murid MBPK berbanding kekurangan yang mereka miliki, kita akan sedar bahawa mereka dan kita tidak ada bezanya, kita semua sama dan saling memerlukan satu sama lain.

Catatan: Antara sijil pengiktirafan kejayaan murid MBPK saya di peringkat antarabangsa

Kami di pihak HIVE Educators percaya bahawa Cikgu Stefanu Lucas adalah contoh yang baik bagi sesiapa yang ingin mempelajari lebih lanjut tentang pendidikan khas. Saya berharap bahawa beliau akan terus berjaya dalam perjalanan kariernya dan terus memberikan impak yang positif terhadap masyarakat pendidikan.

Leave a comment