Tajuk Ikatan Kimia merupakan tajuk asas dalam SPM yang dipelajari semasa tingkatan 4 yang melibatkan dua jenis ikatan iaitu ikatan ion dan ikatan kovalen. Bagi ikatan kovalen, murid menghadapi masalah melukis susunan elektron yang melibatkan lebih daripada dua atom.
Objektif inovasi ini ialah untuk meningkatkan penguasaan murid dalam melukis susunan elektron melalui Teknik Super For The Best melalui pembelajaran aktif. Sebelum aktiviti pembelajaran bermula, murid ditanya unsur apa yang membina ikatan kovalen.
Menerusi soal selidik ini, guru dapat menyimpulkan pengetahuan sedia ada murid-murid tentang konsep asas ikatan kovalen adalah pada tahap yang tidak begitu merisaukan. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah mengapa murid masih belum mendapat markah yang baik sewaktu menjawab soalan akhir tahun, terutama soalan yang melibatkan perkongsian lebih satu jenis atom. Kesinambungan daripada itu, guru meneruskan kajian secara melaksanakan praujian sebelum melaksanakan Teknik Super For The Best dengan pembelajaran aktif, dan seterusnya ujian post, setelah teknik tersebut diimplementasikan
Soalan praujian digarap bertepatan dengan Teknik Super For The Best, iaitu membantu kemahiran murid untuk menentukan susunan elektron setiap atom, melukis bilangan atom yang dikongsi, mengenal pasti atom mana yang harus diletakkan di tengah-tengah sebatian dalam pembinaan lukisan susunan elektron dan berapa elektron yang harus dikongsi bagi setiap atom-atom dalam sebatian.
Ujian ini terdiri daripada soalan melukis susunan elektron bagi sebatian kovalen, yang mana murid diminta untuk melukis susunan elektron bagi empat sebatian, iaitu i) Air (H2O) ii) Ammonia (NH3) iii) Metana (CH4) dan iv) Karbon dioksida (CO2) Keempat-empat sebatian ini terpilih kerana susunan elektronnya menepati kriteria yang dikaji dalam kajian ini, iaitu menguji kemahiran murid menghubungkait pengetahuan yang mereka telah belajar sebelum ini untuk melukis susunan elektron bagi sebatian kovalen yang terbentuk, apabila melibatkan lebih daripada dua atom.
Murid memberitahu unsurnya terdiri daripada unsur bukan logam dan bukan logam. Guru menerangkan teknik ‘Super For The Best’ ialah satu akronim untuk mengingat langkah- langkah melukis susunan elektron.
Akronim SUPER FOR THE BEST merujuk kepada : SU – susunan elektron, PER- perlu berapa elektron, FOR- formula kimia, THE- tengah iaitu atom tengah dan BEST- bahagi elektron. 8 Murid perlu mengikut turutan ‘Super For The Best’ sebelum melukis susunan elektron. Seterusnya murid dalam kumpulan melukis petala pada plastik laminate dan meletakkan sticker sebagai elektron. Setelah ‘Super For The Best’ diteruskan murid telah mengetahui formula kimia molekul dan mengetahui elektron yang perlu diagihkan kepada semua petala. Selain itu, mereka juga perlu menghubungkaitkan pengetahuan yang sedia ada. Aktiviti ini melibatkan pembelajaran aktif di mana setiap murid menyusun sticker pada plastik laminate dan dapat melihat dengan lebih jelas pembentukan ikatan kovalen.
Semasa murid menjalankan aktiviti, guru berperanan sebagai fasilitator. Kami memantau murid menggunakan teknik Super For The Best dan seterusnya menjalankan pembelajaran aktif. Apabila selesai menyusun sticker pada plastik laminate murid mendapat gambaran sebenar susunan elektron bagi sebatian kovalen dan melukis kembali pada kertas.
Selepas aktiviti “hands on” melalui kumpulan melalui pembelajaran aktif, akhirnya murid dapat membentuk lukisan susunan elektron dengan jayanya. Pada awal PdP, murid diajar menggunakan Teknik Super For The Best. Kemudian, menerusi pembelajaran aktif, murid membuat rajah struktur atom-atom yang berkaitan, sebelum melekatkan stiker berwarna yang mewakili elektron. Dalam kumpulan (2 atau 3 orang satu kumpulan), murid-murid seakan bersaing antara satu sama lain. Persaingan yang sihat berlaku di antara kumpulan untuk mencari jawapan yang betul.
Setiap kumpulan dapat membentuk rajah susunan elektron yang boleh ditunjukkan dengan jelas. Penggunaan sticker sebagai ‘elektron’ yang dilekatkan pada ‘petala’ atom yang dilukiskan pada plastik (set laminate) juga adalah sangat praktikal kerana murid dapat menampal dan menanggalkan stiker dengan mudah, dalam usaha mereka untuk memastikan bilangan elektron yang dikongsikan antara atom-atom adalah betul. Terdapat juga segelintir murid yang sentiasa mencuba jaya dalam menghasilkan rajah susunan elektron sebatian kovalen tersebut, kerana masih kabur sewaktu Teknik Super For The Best diterangkan. Namun, didapati menerusi pembelajaran aktif tersebut, murid masih berkesempatan menggarap konsep secara ‘self-learning’ dengan kaedah cuba jaya.
Pada waktu ini, guru hanya menjadi fasilitator yang meronda dan melihat murid-murid berbincang sesama sendiri. Suasana kelas menjadi seronok disebabkan perbincangan dan suara memanggil fasilitator untuk pengesahan jawapan. Murid kelihatan gembira sebaik sahaja berjaya menyelesaikan tugasan yang diberikan. Sebagai guru, kami berbangga melihatkan penglibatan aktif mereka serta sifat ingin mencuba mencari jawapan, sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Sememangnya tujuan aktiviti pembelajaran aktif ini ialah menyediakan platform kepada murid supaya mencari jawapan sendiri dengan bantuan Teknik Suer For The Best. Murid dilatih ke arah kebolehan belajar kendiri, bekerjasama di antara kumpulan dan kreatif dalam menyelesaikan masalah.

Daripada hasil perbincangan antara guru dan murid, sebuah dapatan telah diperoleh. Mereka berpendapat aktiviti secara berkumpulan menggunakan Super For The Best merupakan kaedah yang sesuai digunakan untuk memahami cara melukis susunan elektron dengan mudah, cepat, lagi menjimatkan masa. Selain itu, pembelajaran secara berkumpulan membantu murid berfikir di luar kotak dan menjadi lebih kreatif. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mereka lebih memahami bagaimana pembentukan sebatian kovalen.
Secara am, murid berpendapat aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman murid terhadap pembentukan ikatan kovalen, malahan murid juga berpendapat aktiviti berkumpulan ini amat menyeronokkan serta dapat mengembangkan pemikiran mereka. Secara keseluruhannya, sebagai guru yang menjalankan aktiviti ini, kami berpendapat aktiviti ini dapat membantu murid dari segi proses visualisasi pembentukan ikatan kovalen serta menguasai teknik melukis susunan elektron dengan betul, terutama ikatan kovalen yang melibatkan lebih daripada dua atom yang berlainan jenis.
Proses perbincangan secara berkumpulan bukan sahaja meningkatan pemahaman mereka malah ia memberi peluang kepada murid berbincang serta bekerjasama untuk mencari jawapan. Selain itu, menerusi aktiviti hands on dan perbincangan secara berkumpulan, proses pembelajaran dan pengajaran menjadi bertambah mantap. Murid juga akan menguasai konsep dengan baik menerusi perbincangan. Menurut Sesen dan Tarhan (2010), implementasi pembelajaran aktif dalam pembelajaran kimia dapat meningkatkan pemahaman konsep kimia lebih kukuh dan dapat meningkatkan perlakuan yang positif terhadap pembelajaran kimia berbanding kaedah pembelajaran tradisonal.
Kebaikan teknik ‘Super For The Best’ dan pembelajaran aktif menggunakan set kertas laminate dan sticker yang diperkenalkan ialah bahan penghasilan yang mudah diperoleh serta kos penghasilan yang rendah menjadikan teknik ini mampu disediakan oleh pendidik. Bahan lutsinar serta berwarna-warni membantu menarik minat pelajar untuk melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti tersebut.
Pada masa yang sama ia membantu menghasilkan pembelajaran berpusatkan murid yang dapat meningkat lagi kreativiti, semangat inkuiri di kalangan murid ketika menyelesaikan soalan yang diberikan. Secara kesimpulannya, kajian pembelajaran aktif memberi impak yang positif kepada guru dan murid, ia bukan sahaja meningkatkan tahap profesionalisme guru malah ia memberi peluang kepada guru untuk mengenalpasti masalah murid menerusi ujian dan pentaksiran serta menyediakan satu platform pembelajaran yang menyeronokkan.
Ditulis oleh Cikgu Saibahtul dan Cikgu Rajiha

Cikgu Saibahtul dan Cikgu Rajiha merupakan guru Kimia di SMK Sungai Pusu, Selangor. Kedua-dua guru ini telah menerima Anugerah Guru Inovatif Peringkat Negeri Selangor pada 24 Mei 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor.