Tip mendidik anak menjadi sebaik-baik manusia dalam pendidikan

  1. PENGENALAN

”Cikgu, tengok Shahir ni. Dia pijak kaki saya!”jerit Khalil yang berusia enam tahun.”Bukan saya. Safarman yang pijak,”. Balas Shahir geram.”Oh, saya minta maaf,” pinta Khalil insaf. Ah, bermacam-macam kerenah anak-anak kecil!Ada yang tidak boleh terpijak kaki, terlanggar atau tersiku.Ada yang mengadu kepada ayah dan ibu seolah-olah perbuatan itu disengajakan. Kemudian si ibu dan ayah yang kurang usul periksa terus memberi amaran kepada si pesalah kecil yang tidak tahu apa-apa. 

Memang ada anak-anak yang gemar mengusik rakan-rakannya, mungkin sudah terbiasa dibuli oleh kakak atau abangnya di rumah. Ada juga anak-anak yang tidak banyak kerenah. Mari kita lihat sejenak, adakah sikap ini sesuatu yang semulajadi? Tidak, ia mesti dipupuk di rumah dan bermula daripada peranan ibu dan ayah. Mengapa?Hal ini kerana tujuan manusia diciptakan adalah untuk sentiasa beribadah kepada Allah S.W.T. Jadi, mereka perlu tahu bahawa belajar itu merupakan satu ibadah dan perlu patuh pada disiplin dan syarat-syarat.  Bermain juga boleh menjadi ibadah jika mengikut syaratnya. Begitu juga berkawan dan bermasyarakat merupakan ibadah.

Dalam konteks ini, biarlah anak-anak mengetahui bahawa mereka hidup bukan semata-mata untuk makan, minum, tidur dan berkahwin sahaja. Mereka mempunyai tugas yang besar kepada Allah S.W.T. dan akan ditanya setiap perkara dilakukannya.  Mereka perlu tahu dengan jelas tujuan hidup. Apabila mereka tahu dengan jelas tujuan hidup, mereka tidak akan mensia-siakan waktu dengan membuat keburukan dan dosa. Sabda nabi Muhammad SAW: ”Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain”( HR Ibn Hibban). Berdasarkan hadis ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang dimuliakan Allah SWT ialah manusia sentiasa berbuat baik kebaikan yang memberi manfaat kepada orang sekelilingnya.

MENJADI SEBAIK-BAIK MANUSIA

Marilah kita berusaha menjadikan ahli lembaga tadbir keluarga menjadi sebaik-baik manusia sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda S.A.W.  Apakah yang boleh kita sumbangkan untuk menjadikan anak-anak sebaik-baik manusia?

  1. TIP UNTUK MENJADI SEBAIK-BAIK MANUSIA DARI PENDIDIKAN
  1. Betulkan niat . Jauhi daripada sifat khianat dalam pembelajaran seperti manipulasi atau meniru.Hal ini yang menjadikan pelajar sukar untuk memahami ilmu yang dipelajari kerana hilangnya keberkatan daripada Allah SWT. Semuanya ini kembali niat asal kita menuntut ilmu. Tajdid niat dan ikhlaskan hati dalam menuntut ilmu kerana secara tidak langsung ia akan menjauhkan daripada melakukan perkara mazmumah. Pelajar hendaklah amanah menunaikan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya. Oleh itu sebagai pelajar, mereka perlu jujur menimba ilmu pengetahuan serta melaksanakan tugasan diberi.
  2. Jangan kedekut ilmu.Berbekalkan ilmu diperoleh, menjadi tugas kita untuk menyampaikan kepada mereka yang memerlukan bimbingan dan dari situ jugalah lahirnya kumpulan pelapis yang melengkapkan proses pembelajaran dan pengajaran.Pepath arab ada mengatakan , ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah.
  3. Jadikan anak sebagai rakan akrab. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan kepada anak-anak. Misalnya, bawalah anak-anak ke masjid, tempat pengajian ilmu, dan teruskan amalan bersedekah. Jadi, sekiranya amalan ini dilakukan kerap, jadi, suatu hari nanti anak-anak akan ikut amalan membuat membuat perbandingan langsung dengan perkara-perkara positif yang pernah dilakukan.
  4. Selalu Berpesan. Berpesan kepada anak-anak; Jika inginkan kebaikan, kita mestilah terlebih dahulu menjadi baik. Manakala jika hendak menjadi baik, kita mesti berbuat baik kepada orang lain. Apabila berbuat baik kepada orang lain, barulah kita mendapat kebaikan. Kita tidak boleh berharap supaya orang lain berbuat baik kepada kita. Misalnya di sekolah anak-anak mungkin bertemu dengan rakan-rakan yang suka mengambil barang orang , cepat marah , suka bergaduh dan sebagainya (Akhi, 2018). Kita perlu jelas dengan mereka bahawa dalam berkawan banyak menguji kesabaran. Anak-anak perlu selesaikan masalah dengan sebaik-baiknya.
  5. Membanding-bandingkan. Elakkan membuat perbandingan antara anak-anak. Ibu bapa sering membanding-bandingkan kebolehan atau kelemahan anaknya dengan orang lain. Memang diketahui tujuan perbandingan itu dibuat bagi mendorong atau memberi semangat anak-anak. Tetapi, kerap kali anak-anak menyalah tafsir tujuan ibu bapa berbuat demikian. Contoh yang terbaik semasa perbincangan berlaku secara terbuka ialah mengambil orang lain sebagai contoh teladan tanpa membandingkannya dengan anak kita. Barulah anak mudah menerimanya. Cuba lihat contoh perbualan di bawah: 

“Contoh 1: Apa hendak jadi kamu ni…lihat si Husni itu, tiap petang pasti dia balik awal. Lepas itu terus mandi, solat  dan belajar. Tidak macam kamu, entah apa hendak jadi nanti.”

Ini adalah contoh ibu bapa yang membuat perbandingan langsung antara anak dengan si Husni. Anak kita pasti tidak menggemarinya.

Contoh 2: “Orang berjaya adalah orang yang sentiasa menepati waktu. Waktu main, mainlah sepuas-puasnya tetapi bila tiba waktu belajar, waktu solat dan sebagainya, mereka lakukan secara seimbang. Ini adalah contoh yang tiada langsung unsur perbandingan. Tujuannya tetap sama iaitu menegur kesilapan anak.

  1. Memberi Salam. Memberi salam termasuk dalam perkara yang amat digalakkan oleh Rasulullah S.A.W. Sebagaimana sabda Baginda, maksudnya: “sebarkan salam, nescaya kamu semua akan selamat.(”Riwayat Ahmad). Cuba nasihati anak-anak agar memberi salam kepada ibu, ayah, guru, abang, kakak, pada setiap pagi. Jika bertembung dengan jiran apabila keluar rumah , ringankan mulut memberi salam. Begitu juga apabila bertembung dengan guru-guru, dengan orang yang lebih tua di sekolah. Bagaimana pula dengan orang yang tidak dikenali, adakah perlu memberi salam kepada mereka? Rasulullah S.A.W. pernah ditanya apakah amalan yang terbaik. Baginda menjawab, maksudnya: “Berikan makan dan ucapkan salam, baik kepada orang kenal atau tidak.”(Riwayat al-bukhari dan Muslim).
  2. Berkongsi. Adakalanya berkongsi adalah perkara yang sukar bagi anak-anak. Pernah seorang ibu terpaksa membeli buku ceritayang sama tajuknya bagi ketiga-tiga anaknya.Begitu juga dalam soal makan, mereka selalu bergaduh jika tidak mendapat seketul ayam seorang. Begitu juga Si ibu tadi terpaksa menurut kemahuan mereka kerana tidak sanggup mendengar pertelingkahan setiap hari. Amalan tidak boleh berkongsi ini di bawa juga ke sekolah seperti tidak boleh berkongsi tempat duduk, pensel warna, pembaris dan sebagainya.

Jadi, Katakanlah pada Si anak, berkongsi melatih diri supaya mementingkan diri orang lain. Jika melihat kawan tidak makan, ajak mereka makan bersama. Allah S.W.T. memberkati hidangan yang banyak tangan di dalamnya. Bagi Si ibu, rajin-rajinlah menyediakan bekalan makanan makanan yang lebih supaya boleh dikongsi.

Kesimpulannya, kita hendaklah sentiasa berazam untuk menjadi lebih baik. Semoga cara didikan di atas dapat mendidik anak-anak kita menjadi sebaik-baik manusia.Jika misi ini berjaya, masalah gejala sosial dapat dikurangkan. Semuanya perlu berbalik kepada agama sentiasa benar iaitu Islam. 

RUJUKAN

Akhi, K. (2018). Nabi (SAW)Juga Seorang Manusia. Kuala Lumpur: Iman Publication.

Gilbert, L. K. (March,2019). Seni Berbicara. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama.

Grindrod, J. (2013). Concretopia: A Journey Around the rebuilding of Postwar Britain’. Old Street Publishing.

Richard R.Bootzin, G. H. (November 13,1990). Psycology Today:An Introduction. McGraw-Hill Higher Education.

Wildan, A. D. (2003). Prinsip-prinsip Komunikasi di dalam Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.

Leave a comment