Awal Disember 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan kerangka kurikulum kebangsaan baharu yang akan digunakan pada 2027. Seperti yang sedia maklum, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bakal berakhir pada tahun hadapan semenjak ia dibentuk semenjak tahun 2013 lagi. Maka, kurikulum persekolahan pada tahun 2027 ini akan dibentuk sebagai halatuju baharu bagi KPM dalam mencorakkan sistem pendidikan kebangsaan Malaysia pada masa akan datang.
Antara pendekatan baharu yang akan dilaksanakan dalam kerangka kurikulum 2027 ialah penekanan kepada asas literasi dan numerasi serta penggunaan pendekatan bersepadu dalam proses pengajaran pembelajaran di dalam kelas. Suatu perkara yang menarik perhatian apabila Menteri Pendidikan mengumumkan bahawa kerangka kurikulum 2027 akan menekankan karakter sebagai asas kepada kurikulum yang dirangka. Hal ini dapat dilihat dalam kerangka yang dibentuk memfokuskan kepada pembinaan karakter serta sosioemosi murid dalam segenap tahap bermula dari prasekolah hingga peringkat menengah.
Menjelang pembangunan teknologi yang berkembang luas selaras dengan kepesatan pelbagai bidang yang wujud, aspek nilai sentiasa relevan untuk dibincangkan dalam mengembalikan penghayatan seorang insan kepada tuhan, masyarakat dan alam. Oleh itu, persoalan karakter sememangnya menjadi keutamaan dalam merangka sesebuah halatuju pendidikan lebih-lebih lagi kurikulum dan kandungan pengajaran murid. Kemenjadian murid yang saban hari semakin merudum dengan pelbagai kes dan masalah yang berlaku sepatutnya harus dirangka sebuah penyelesaian tuntas dalam mengatasi hal-hal ini. Penyelesaian yang dirangka haruslah bersifat top-down seperti kerangka kurikulum ini agar halatuju pendidikan yang digagaskan melalui kurikulum ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.
Karakter; sebagaimana didefinisikan oleh Aristotle merupakan suatu keadaan dari jiwa manusia yang melahirkan tindakan atas keputusan yang dilakukan samada baik mahupun buruk. Pendidikan karakter sudah dirangka secara sistematik seawal tahun 2000an di negara- negara maju. Ia bertujuan bagi membentuk murid yang mempunyai etika, nilai sosial yang tinggi serta mempunyai semangat warganegara yang baik kepada masyarakat dan negara.
Dari perspektif islam, karakter disebut sebagai akhlak. Antara sarjana islam terkemuka, al- Ghazali memberi takrifan akhlak dengan membawa maksud suatu kestabilan jiwa dalam diri manusia dalam menghasilkan suatu tingkah laku yang baik tanpa paksaan dari sesiapa.
Pendidikan karakter sememangnya menjadi suatu keutamaan dalam tradisi pendidikan islam oleh kerana matlamat pendidikan di dalam islam bukan hanya menjadikan sesorang murid berada pada tahap intelektual yang baik namun ia bertujuan menerapkan karakter yang baik dalam membentuk insan yang sempurna sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.
Maka, penumpuan terhadap usaha membangunkan karakter bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan ia menjadi keutamaan dalam membangunkan manusia melalui proses pendidikan sedia ada berdasarkan nilai-nilai universal samada dari pandangan islam mahupun barat.
Usaha yang cuba diangkat oleh pihak KPM dalam membangunkan karakter, sahsiah dan sosioemosi sebagai dasar penting dalam membangunkan kurikulum baharu ini sangat bagus dan wajar untuk disokong secara penuh. Namun begitu terdapat beberapa hal penting yang harus dilihat dalam proses pelaksanaannya:
- Dalam membangunkan karakter, peranan guru sangat penting sepanjang proses PdPc berlangsung. Guru sebagai model atau ikutan yang baik seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada murid. Konsep lihat dan tiru sangat memberi impak besar dalam diri murid kerana pada usia mereka yang masih muda, daya psikologi masih mencari dan meniru tindakan yang dianggap sesuai dengan mereka. Sekiranya guru bertindak dengan tingkah laku yang kurang baik, menjadi keperluan bagi guru menerangkan tindakan tersebut merupakan perkara yang tidak baik untuk dicontohi. Hal ini penting agar daya intelektual mereka cepat matang dalam menimbang sesuatu tindakan baik mahupun buruk.
- Proses pembangunan karakter dalam diri seseorang murid bukanlah sesuatu proses yang
mudah. Ia harus dibangunkan dengan kaedah pembiasaan(habituation) agar ia kekal sebati dalam jiwa murid tersebut. Oleh yang demikian, amalan baik yang berlaku di sekolah seperti membuang sampah, memberi salam perlu diberi penghayatan serta perlu dilibatkan semua pihak di dalam sekolah agar ia menjadi kebiasaan dalam diri murid samada di dalam mahupun di luar sekolah. - Satu hal yang perlu jelas dalam membangunkan karakter murid adalah perlunya kepada
usaha intergrasi antara bidang mata pelajaran yang terdapat di dalam kelas dengan nilai-nilai universal yang dibincangkan. Usaha ini tidak perlu dibebankan semata-mata terhadap subjek pendidikan islam, moral atau pendidikan sivik sahaja. Ia harus terjalin secara sebati dalam subjek lain seperti bahasa, matematik, sains dan sebagainya. Hal ini disebut sebagai hidden curriculum di mana nilai-nilai kemenjadian murid yang ingin dipupuk akan terhasil melalui sesi pengajaran yang disampaikan. Semua guru tidak kira dari bidang mahupun aliran harus mempunyai tanggungjawab dalam membentuk kemenjadian murid di samping melonjakkan pencapaian akademik dan kemahiran mereka di dalam kelas.
Kita sedar bahawa proses membangunkan manusia ini memerlukan suatu proses yang panjang bahkan ia proses pembelajaran yang tidak terhenti pada peringkat sekolah sahaja. Memetik kata pepatah, ‘It takes a village to rasie a child’. Oleh itu, pembangunan karakter merupakan suatu usaha bersepadu yang harus diambil tanggungjawab oleh seluruh lapisan masyarakat dari pihak ibu bapa, guru, pentadbir serta pihak kementerian. Guru sebagai tonggak utama perlu bersedia serta sentiasa mempersiapkan diri bagi membentuk karakter murid di era kemajuan global yang memuncak namun kemerosotan nilai dan peradaban.
Ditulis oleh NIK MUHAMAD AMAL BIN MOHD ASRI

Seorang guru pendidikan khas dari SMK Simunjan No.1, Sarawak. Lulusan sarjana pendidikan serta ijazah sarjana muda dari kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Malaya. Pernah terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dalam pendidikan awal kanak-kanak dan pengurusan pendidikan anak-anak pelarian dan migran.
*Pendapat yang diutarakan oleh penulis ini tidak mewakili HIVE Educators.