Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan yang mesra kepada murid, rakan-rakan guru, ibubapa dan juga komuniti setempat. Di peringkat sekolah, objektif utama pelaksanaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang perlu disampaikan oleh guru bimbingan dan kaunseling ialah memenangi jiwa seseorang murid sebagai klien dalam menghadapi isu permasalahan yang dikongsikan. Seterusnya, membimbing klien untuk membuat keputusan dan tindakan yang betul ke arah perkembangan kehidupan yang baik dan emosi yang sejahtera.
Proses perkembangan murid yang sihat secara khususnya di peringkat sekolah rendah dipengaruhi oleh sistem kekeluargaan yang berkualiti. Sistem kekeluargaan yang dibina dengan asas yang kukuh ini akan membantu perkembangan fizikal, emosi, sosial dan pemikiran yang positif diri murid. Jika seseorang murid mempunyai sistem kekeluargaan yang positif, akan membentuk sistem kepercayaan diri dan kemahiran bersosial yang baik. Peranan ahli keluarga yang positif akan menjadi panduan dan mengajar seseorang murid itu nilai-nilai murni yang boleh mempengaruhi pembentukan personaliti murid. Murid akan menjadi lebih bermotivasi dalam pembelajaran dan perkembangan kemahiran sosial murid menjadi lebih sihat. Justeru, murid mampu mencapai kejayaan dalam akademik dan kesejahteraan mental diri menjadi lebih sihat dan sejahtera.
Kebiasaannya isu permasalahan murid di peringkat sekolah rendah ialah murid-murid belum mampu untuk menguruskan emosi dengan baik. Corak permikiran murid yang masih belum matang mempengaruhi tingkah laku dan reaksi emosi murid apabila berhadapan dengan permasalahan dari segi interaksi dengan diri ataupun orang lain. Di samping itu, antara salah satu sebab yang lain ialah murid-murid di sekolah rendah ini masih berada di fasa peralihan daripada seorang kanak-kanak kepada seorang remaja di mana pengaruh rakan sebaya itu mudah menjadi dominan.
Bagi memastikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling lebih berkesan, kami menggunakan pendekatan kekeluargaan dengan konsep ‘Keluarga Besar’ diterapkan dalam aktiviti, program serta sesi kaunseling individu dan kelompok. Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang mesra bagi membantu klien menghadapi cabaran emosi dan sosial mereka. Klien diberikan sokongan emosi dan pilihan strategi untuk mengatasi tekanan dan kebimbangan dengan lebih berkesan. Pilihan dan tindakan yang dipilih ialah tanggungjawab klien sendiri dengan bimbingan guru bimbingan dan kaunseling. Apabila klien merasa diterima dan dihargai, mereka lebih cenderung untuk berkongsi perasaan dan masalah yang dihadapi tanpa rasa takut atau malu. Ini juga membolehkan kami membentuk hubungan yang lebih kukuh dengan klien, sekaligus membantu klien untuk membangunkan kemahiran sosial yang lebih baik.
Selain daripada itu, untuk memenangi jiwa murid supaya merasa lebih selesa semasa sesi individu dan kelompok ialah kami menyediakan ruang sesi dalam keadaan kondusif dan teraputik. Kami mempraktikkan amalan ‘Seiza’ iaitu cara tradisional Jepun dengan duduk di atas lantai beralaskan alas yang lembut semasa menjalankan sesi individu dan kelompok. Suasana ini membantu untuk mewujudkan emosi yang lebih tenang dan santai. Perkara ini juga membantu untuk mewujudkan sikap keterbukaan dan rasa selesa antara klien atau ahli kelompok bersama guru bimbingan dan kaunseling.
Melalui pendekatan kekeluargan dalam amalan Seiza ini, klien merasa lebih selesa dan nyaman semasa meluahkan permasalahan yang mereka hadapi. Kedudukan duduk yang sama antara guru bimbingan dan kaunseling dengan klien memberi kesan psikologi positif kerana ia menunjukkan kesetaraan dan menghapuskan jurang kuasa antara kami. Klien juga akan merasa lebih berfokus dalam mengekspresikan emosi mereka tanpa takut dinilai. Ini membantu sikap keterbukaan perkongsian masalah yang lebih dalam. Kajian menunjukkan bahawa postur tubuh mempengaruhi keadaan emosi dan kognitif seseorang. Duduk dalam posisi Seiza membantu meningkatkan fokus, menenangkan sistem saraf serta mengurangkan kebimbangan (Kawakami, 2019). Selain itu, Seiza juga dikaitkan dengan peningkatan kesedaran kendiri dan keseimbangan emosi yang sangat bermanfaat dalam sesi kaunseling (Yoshida, 2021). Keadaan emosi yang lebih stabil membolehkan klien lebih terbuka dalam sesi perbincangan serta memberi ruang kepada guru bimbingan dan kaunseling untuk memberikan bimbingan secara lebih berkesan.
Apabila klien merasa selesa, sesi kaunseling akan menjadi lebih mesra dan santai serta dapat membantu murid dalam proses penemuan diri dan pembentukan identiti yang lebih positif. Suasana yang santai turut membantu murid untuk menyusun pemikiran murid dengan lebih baik, membolehkan murid menyatakan isu yang dihadapi dengan lebih jelas dan mendalam (Tanaka & Nakamura, 2020). Maka, melalui pendekatan kekeluargaan dalam bimbingan dan kaunseling bukan sahaja mengukuhkan kepercayaan dan sokongan sosial klien tetapi juga meningkatkan motivasi mereka untuk mencapai potensi diri. Kajian juga menunjukkan bahawa intervensi bimbingan yang menekankan aspek kekeluargaan dan keterhubungan sosial lebih berkesan dalam membentuk kesejahteraan psikologi murid (Tanaka & Nakamura, 2020). Oleh itu, dengan adanya pendekatan ini, klien bukan sahaja mendapat manfaat dalam sesi kaunseling tetapi juga membina keyakinan diri dan kemahiran sosial yang lebih baik.
Kesimpulannya, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling memainkan peranan penting dalam perkembangan murid yang optimum dengan menyediakan sokongan emosi, pembinaan kemahiran sosial dan penyelesaian masalah yang berkaitan dengan perkembangan murid. Pendekatan kekeluargaan sebagai sebahagian daripada strategi kaunseling juga terbukti membantu meningkatkan fokus dan kestabilan emosi murid. Oleh itu, untuk memastikan perkembangan murid secara holistik ia memerlukan peranan kekeluargaan yang sihat supaya kemenjadian murid-murid dapat berkembang dengan sihat dari pelbagai aspek. Dengan gabungan pendekatan kekeluargaan dan intervensi yang sesuai dengan keperluan murid, dapat membantu klien menjadi individu yang lebih matang, bertanggungjawab dan berjaya dalam kehidupan mereka.
Rujukan :
Kawakami, T. (2019). The Psychological and Physiological Effects of Seiza Sitting Posture. Tokyo University Press.
Yoshida, K. (2021). Postural Influence on Emotional Regulation. Kyoto Journal of Psychology, 38(2), 145-162.
Tanaka, H., & Nakamura, Y. (2020). Family-Oriented Counseling Approaches and Their Impact on Student Well-being. Journal of Child Psychology, 45(3), 215-230.
Ditulis oleh Cikgu Dyg Norazalina binti Awg Junaidi @ Razali bersama Cikgu Malik Faisal bin Abdul Wahab

Cikgu Dyg Norazalina binti Awg Junaidi @ Razali
Guru Bimbingan dan Kaunseling
SK Kampung Jepak, Bintulu

Cikgu Malik Faisal bin Abdul Wahab
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid
SK Kampung Jepak, Bintulu