Bermula tahun 2021, secara rasminya pelaksanaan Program Minda Sihat telah diperkenalkan di sekolah rendah bertujuan menangani isu kesihatan mental murid dalam norma baharu. Pendemik Covid-19 menjadi titik utama kepada pelaksanaan program tersebut. Keprihatinan dan kebimbingan mengenai status emosi murid pada ketika itu menjadi sebahagian fokus para pendidik. Pembugaran emosi dan saringan kesihatan mental antara pengisian yang perlu dilaksana oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah.
Sejajar dengan itu, pada tahun 2026 program minda sihat diteruskan dengan melihat banyak manfaat dan kesan positif kepada murid. Melihat kepada keperluan murid dan situasi semasa, instrumen yang diguna pakai turut diperbaharui agar lebih mudah dan efisien namun tetap ke arah objektif yang sama iaitu memelihara kesejahteraan psikologi murid.
Pelaksanaan saringan minda sihat di peringkat sekolah rendah memberi peluang kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling lebih memahami emosi murid yang pelbagai. Tidak semua murid dapat mempamerkan emosi dan berkongsi rasa secara terbuka. Mereka hadir ke sekolah seperti biasa dan masih meneruskan rutin dalam kelas. Namun kunci seorang GBK yang empati dapat memanfaatkan peluang melalui saringan minda sihat ini untuk mengenalpasti murid yang mempunyai kecenderungan gangguan emosi. Di sinilah peranan Guru Bimbingan dan Kaunseling mencari punca dan memahami keperluan emosi murid, sekaligus memikirkan intervensi sesuai buat murid dalam kategori khusus dan krisis.
Bagi tahun 2026, pelaksanaan saringan minda sihat perlu dibuat dua kali setahun dan empat kali bagi murid kategori khusus dan krisis. Murid sekolah rendah tidak terkecuali dalam arahan baharu tersebut. Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah rendah samada lantikan sepenuh masa atan lantikan dalaman wajib melaksanakan di sekolah masing – masing.
Kebijaksanaan Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam mentadbir untuk menerangkan setiap soalan dalam instrumen tersebut membawa jawapan besar bagi mewakilkan emosi murid. Murid sekolah rendah dalam aras pemikiran dan pemahaman berbeza perlu bimbingan dalam menjawab soalan. Jika dibiarkan tanpa bimbingan akan menjejaskan keputusan saringan. Dalam usaha GBK menerangkan dalam kelompok yang kecil, kita turut menyelami emosi mereka.
Pengurusan emosi, sesi kaunseling, konsultasi ibu bapa dan teknik relaksasi antara kaedah intervensi yang boleh digunakan oleh GBK kepada murid yang dalam krisis. GBK kena mendalami emosi murid sebelum menentukan kaedah intervensi agar lebih produktif. Keberkesanan intervensi akan di nilai melalui saringan minda sihat kedua dalam fasa 1 dan saringan minda sihat fasa 2 sebanyak dua kali juga.
Secara umumnya, saringan minda sihat ini sangat membantu Guru Bimbingan dan Kaunseling dalam memahami situasi, personaliti dan emosi murid itu sendiri. Murid sekolah rendah dalam usia 10, 11 dan 12 tahun tidak sepatutnya dibiarkan tenggelam dalam gangguan emosi yang berpotensi mengubah pemikiran dan tingkahlaku tidak seimbang. Mereka berhak untuk dibantu, difahami dan disayangi. Sokongan keluarga iaitu ibu bapa dan adik beradik sangat penting dalam persekitaran mereka. Di sekolah, bimbingan dan keperihatinan guru amat dititik beratkan dan sekaligus rakan yang sentiasa menemani mereka dalam kelas. Emosi yang sihat akan menentukan pemikiran yang positif dan membentuk tingkahlaku yang baik.
Ditulis oleh COROLINE LANTAU ANAK RENGGA @ NURUL ATIQAH ABDULLAH

Coroline Lantau Anak Rengga @ Nurul Atiqah Abdullah merupakan guru bimbingan dan kaunseling sepenuh masa di SK Batu Putih Baru, Sandakan, Sabah.