PENGENALAN
Beberapa hari lagi, kita bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali -65 iaitu pada tanggal 31 Ogos. Sempena sambutan Hari kebangsaan kali ini, marilah sama-sama kita mengimbau hari yang bersejarah ini dan sudah pasti banyak sekolah, Jabatan dan agensi telah merancang acara dan aktiviti yang menarik sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan. Asas kepada kemerdekaan adalah pengorbanan pejuang-pejuang tanah melayu terdahulu.
Justeru, proses kemerdekaan Tanah Melayu ini perlu diingati. Semangat dan perjuangan yang kental penentangan penjajah oleh para pejuang, negarawan serta ulama perlu dikenang oleh semua. Kalau dilihat, setiap tahun kita meraikan tarikh keramat ini, namun nikmat rezeki kemerdekaan ini wajib disyukuri dan dihargai. Erti kemerdekaan ini perlu dihayati bukan sekadar dizahirkan melalui perbuatan, malah dijiwai berdasarkan syariat yang digariskan oleh Allah Azzawajalla.
MAKSUD KEMERDEKAAN

Dalam Islam, kemerdekaan bukan hanya kemenangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah semata-mata. Sebaliknya, ia bermaksud membebaskan cara hidup dari dibelenggu pemikiran, serta perilaku yang menyimpang dan mengundang kemurkaan Allah. Kemerdekaan dalam Islam juga bererti membebaskan diri dari mengikut telunjuk jahat hawa nafsu dan godaan syaitan, lalu patuh sepenuhnya apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan laranganNya.
Allah SWT berfirman dalam surah Al Hajj , Ayat 41: yang bermaksud:
Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (Ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Surah al-Haj(41)
Pendeta Za’ba pernah menyebut dalam menjelaskan kemerdekaan dalam konteks negara kita, “ Ia adalah perubahan daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan ; daripada I’tiqod-I’tiqod yang serong dan terpesong kepada I’tiqod yang subur dan merdeka; daripada fikiran-fikiran yang menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan..”
Dalam lipatan sejarah lalu, kemenangan perjuangan Islam yang dipimpian oleh Nabi Muhammad S.A.W. bermula dengan pembukaan Kota Mekah. Pembukaan Mekah menunjukkan bermulanya kemerdekaan warganya dari kegelapan jahiliyyah kepada hidup dengan aturan Islam yang konsisten dan sistematik.
PENDEKATAN YANG DIBAWA OLEH NABI MUHAMMAD SAW
Pendekatan yang dibawa oleh Baginda Nabi SAW turut terungkap dari ucapan seorang Pahlawan Islam yang bernama Rib’ei bin Amir R.A. Apabila ditanya oleh Rustum, seorang Panglima Perang Parsi. Lalu Rib’ei menjawab:
“Sesungguhnya kami adalah kaum yang diutuskan oleh Allah untuk membebaskan manusia daripada perhambaan sesame makhluk kepada menyembah yang Maha Pencipta. Daripada kekeliruan dan kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.
Dari ungkapan di atas, maka jelaslah kemerdekaan yang hakiki bukan sekadar membeaskan fizikal manusia untuk bergerak ke sana ke sini, tetapi ia bermaksud membebaskan rohani dan mental belenggu kejahilan an kekufuran kepada kehidupan berlandaskan syariat Islam.
CARA PENGHAYATAN KEMERDEKAAN OLEH WARGA SEKOLAH
- 1. Mengajak murid berpegang kepada Al Quran dan As Sunnah. Dalam Islam kemerdekaan itu suci maksudnya. Apabila jiwa kita kosong dan belenggu hawa nafsu, lalu disemai dengan cinta dan taqwa kepada Allah, maka kesejahteraan , keamanan dan kedamaian akan muncul dalam diri. Al Quran adalah pegangan kita sebagai umat Islam dan menjadi rujukan utama panduan hidup.
- 2. Mewujudkan nilai murni dan amalan harian di sekolah tanpa dipaksa. Sebagai contoh murid-murid di Sekolah sudah tahu rutin harian seperti mengutip sampah, memberi sapaan salam kepada guru, bercakap lemah lembut , bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain. Elemen dan nilai murni ini adalah amalan yang baik dan tidak dapat dijual beli. Ianya dapat memelihara keharmonian dan kesucian agama dan budaya.
- 3. Mewujudkan tanggungjawab sivik. Tanggungjawab ini adalah nilai sosial yang sangat penting dalam membentuk sebuah negara yang demokratik dan masyarakat yang pelbagai. Setiap murid harus bersikap cakna dan bertanggungjawab tehadap komuniti di tempat tinggal masing-masing. Dalam bidang kokurikulum di sekolah, penglibatan murid dengan pelbagai latar belakang kumpulan memberi pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap serta tanggungjawab sivik dalam kalangan pelajar. Hormat menghormati budaya agama masing-masing adalah suatu kelebihan yang harus diraikan oleh murid-murid.
- 4. Berazam untuk berhijrah dari budaya tidak baik kepada lebih baik. Murid-murid perlu bijak dalam menguruskan masa seharian. Kesibukan dan keletihan rutin harian menyebabkan masa tidak dapat diurus dengan baik. Semangat yang tinggi amat penting dan mengurus tadbir masa dengan lebih efisyen dan sistematik.

- 5. Cuba mengenali Tokoh Dan Informasi kemerdekaan. Pihak Sekolah boleh menganjurkan kuiz mini dengan rakan dan keluarga dengan topik kemerdekaan. Ini adalah sebagai ganjaran usaha murni untuk menaikkan semangat merdeka rakyat Malaysia.
- 6. Murid-murid boleh hiasi rumah dengan jalur gemilang. Ruangkan masa untuk menghias rumah dengan bendera Malaysia. Begitu juga boleh hiasi rumah dengan rona bendera Malaysia seperti merah, kuning dan biru.
- 7. Penganjuran pertandingan beragam sempena Hari Kebangsaan. Apabila adanya pertandingan ini , ibu bapa akan meneliti dalam segenap segi pakaian dan aksesori yang digunakan anak . Tema Hari kebangsaan perlu diteliti , dan perlu ada nilai tambah bagi menzahirkan ekspresi dan interpretasi semangaat patriotisme untuk dihayati Bersama.

Kesimpulannya, nikmat kebebasan dan kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dipertahankan sampai bila-bila. Ini adalah kerana nikmat ini mampu membebaskan diri dan pemikiran kita daripada perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Mencintai negara haruslah dibuktikan dengan azam dan usaha keras kita membangunkan negara mengikut syariat Islam. Semangat patriotism tidak cukup sekadar menyambut hari kemerdekaan dan mengibarkan jalur gemilang, akan tetapi , membangunkan negara menurut acuan yang diredhai oleh Allah dan Rasulullah SAW. Sesungguhnya, Syariat Islam akan lebih mudah terlaksana dalam keadaan negara aman dan damai.
Allah berfirman dalam surah Ibrahim (Ayat 7) yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya!Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada Kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” (Ibrahim: Ayat 7)
Ditulis oleh Ustaz Quszaini bin Abd Manan

Nama yang diberi Quszaini bin Abd Manan. Berasal dari Kampung Perlop Dua, Sungai Siput Utara Perak. Mendapat pendidikan dalam bidang Ijazah Syariah (Fiqh dan Usul) di University Of Mutah, Jordan. Kemudian menyambung pengajian Master Business Administration di Universiti Utara Malaysia. Selepas itu, menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI JQAF) dalam bidang Bahasa Arab di IPGM Kampus Tun Abdul Razak Kota Samarahan, Sarawak. Penempatan pertama beliau ialah di SK Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak dan kemudian telah bertukar sekolah ke SK Kenering, Gerik, Perak. Sekarang, beliau berkhidmat di Sekolah Pasukan Polis Hutan Hulu Kinta Ipoh, Perak. Guru subjek Bahasa Arab dan Pendidikan Islam ini sangat aktif di Hulu Perak dan Ipoh terutamanya dalam bidang ko-akademik dengan menjadi hakim dalam pelbagai kategori pertandingan antaranya bercerita, MQSS, pidato, cerpen dan sebagainya. Beliau terlibat secara aktif membina bahan pembelajaran Bahasa Arab bersama JPN Perak.
Alhamdulillah. Teruskan usaha dan semoga sukses di masa hadapan. Insha Allah
LikeLike