Langkah Bermakna, Impak Maksima: Transformasi Perkhidmatan Kaunseling Sekolah

Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah Rendah dan Menengah sebenarnya bukanlah satu perkhidmatan yang asing dalam dunia pendidikan. Perkhidmatan ini mula berkembang secara sistematik pada awal abad ke-20 di Amerika Syarikat melalui gerakan bimbingan vokasional yang dipelopori oleh Frank Parsons sekitar tahun 1908. Di Malaysia, perkhidmatan ini diperkenalkan secara formal pada tahun 1960-an dan diperkukuhkan melalui dasar Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga menjadi komponen penting dalam pembangunan sahsiah, emosi dan kerjaya murid. Bagi menyokong kefungsian serta kemenjadian sahsiah murid, Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) memainkan peranan dalam mengoptimumkan sumber dan peluang yang ada untuk memaksimumkan perkhidmatan. Antara aspek penting dalam perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang berkesan termasuklah:

  1. Penyediaan fasiliti dan ruang sesi yang terapeutik

Ruang bilik Bimbingan dan Kaunseling yang bersih, selesa dan terapeutik memainkan peranan penting untuk menarik minat murid dan warga sekolah untuk berkunjung dan menerima perkhidmatan yang ditawarkan. Menurut Okken et al. (2013) dalam penulisan Taiwo dan rakan-rakan (2023), rekabentuk bilik memainkan peranan dalam hubungan terapeutik yang membantu klien membuat pendedahan kendiri dan berkomunikasi. Suasana bilik yang kondusif dan terapeutik juga boleh menenangkan klien dengan hiasan yang minimalis.

  • Pengurusan sumber dan kemudahan yang sedia ada

GBK juga perlu menguruskan sumber kewangan PCG (Bantuan Geran Per Kapita) untuk membeli bahan rujukan, inventori habis guna, program lawatan sambil belajar, bayaran penceramah luar, penyelenggaraan inventori serta perolehan harta modal yang dibincangkan bersama pentadbir sekolah. Kemudahan seperti perabot dan kelengkapan pejabat yang asas perlu dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya.

  • Aplikasi ilmu dan kemahiran Guru Bimbingan dan Kaunseling

Selain menguasai teori dan praktis kaunseling, Guru Bimbingan dan Kaunseling juga perlu menghadiri kursus, seminar, bengkel, membuat kajian tindakan, inovasi serta berkongsi amalan terbaik perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di pelbagai peringkat sebagai nilai tambah kepada diri. Ini selaras dengan pendekatan Teori Pemusatan Klien oleh Carl Rogers yang jelas menyokong bahawa pembangunan profesional berterusan adalah keperluan asas untuk memastikan GBK mampu memberikan perkhidmatan kaunseling yang berkualiti tinggi.

  • Promosi khidmat bimbingan dan kaunseling

GBK juga perlu aktif dalam mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua murid, warga sekolah, ibu bapa, alumni dan komuniti setempat untuk memberi kefahaman berkenaan sokongan psikososial, bimbingan serta bantuan yang ditawarkan. Dengan ini, pihak sekolah jelas dengan tugas dan peranan GBK dalam membantu kemenjadian murid secara holistik.

  • Penganjuran intervensi dan program berimpak tinggi

GBK perlu merancang aktiviti, program serta intervensi yang bersesuaian dengan keperluan dan budaya di sekolah berdasarkan 4 bidang perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling iaitu Pembangunan & Perkembangan Sahsiah Diri Murid, Pendidikan Kerjaya Murid, Peningkatan Disiplin Murid dan Psikososial & Kesejahteraan Diri Murid. Program berimpak tinggi mampu memberi manfaat kepada murid dalam mengembangkan bakat, potensi serta kebolehan yang dimiliki.

  • Jaringan kolaboratif pelbagai pihak

GBK yang berkesan hendaklah mempunyai nilai, etika dan sahsiah diri yang tinggi dan mampu berkolaboratif dan membina hubungan yang baik dengan pihak pengurusan tertinggi sekolah, rakan guru, murid-murid, kakitangan sekolah, pihak ibu bapa dan penjaga murid, komuniti setempat serta rakan strategik yang berkenaan terutama sekali pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) termasuklah agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain (NGO). Kerjasama jitu diperlukan bagi menjayakan aktiviti, program serta intervensi bermakna untuk menyokong kesejahteraan murid dari aspek emosi, sahsiah dan kemenjadian murid secara menyeluruh.

  • Pelaporan dan pengurusan fail secara sistematik

Setiap intervensi, perancangan serta pelaporan program di bawah kelolaan Unit Bimbingan dan Kaunseling perlu didokumentasikan secara sistematik. Perkara ini penting bagi menyimpan rekod untuk rujukan dan tindakan lanjut. Penyimpanan rekod dan fail yang kemas dan tersusun juga memudahkan GBK membuat rujukan apabila diminta oleh pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dari semasa ke semasa.

Secara keseluruhannya, transformasi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah menuntut pendekatan yang sistematik, holistik dan berfokus kepada impak melalui pengurusan fasiliti, kompetensi GBK, program berkualiti serta jaringan kolaboratif yang kukuh. Usaha ini berupaya memperkukuh kesejahteraan emosi, sahsiah dan kemenjadian murid secara menyeluruh selaras dengan aspirasi pendidikan negara. Diharapkan semua pihak terus komited dalam memperkasakan perkhidmatan ini agar ia kekal relevan, responsif dan berimpak tinggi dalam menghadapi cabaran pendidikan masa kini.

Rujukan:

Taiwo, A., Chinyio, E., Hewson, H., & Agberotimi, S. (2023). Client and therapists’ subjective understanding of an ideal therapy room: A divergent reflection of experience. The European Journal of Counselling Psychology. https://doi.org/10.46853/001c.91127

American School Counselor Association (2019). ASCA National Model: A Framework for School Counseling Programs (4th ed.). Alexandria, VA: American School Counselor Association.

Stone, C. B., & Dahir, C. A. (2016). The Transformed School Counselor (3rd ed.). Boston, MA: Cengage Learning.

DITULIS OLEH MAJANI BINTI HOSSEN BERSAMA DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN

MAJANI BINTI HOSSEN

KETUA NAZIR CAWANGAN MIRI

DAYANG RAFIDAH BINTI AWANG OSMAN

Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling

SMK Padawan, Sarawak

Leave a comment