ADAPTASI MUZIKAL UNTUK MENINGKATKAN MINAT DAN INGATAN MURID DALAM MATA PELAJARAN SEJARAH

“Muzik akan mengubah dunia kerana muzik mampu mengubah manusia.”

Ungkapan Paul David Hewson atau lebih dikenali dengan Bono ini menatijahkan bahawa muzik bukan semata-mata alat hiburan halwa telinga, tetapi sebuah instrumen penting dalam sesebuah perubahan. Muzik ialah seni yang menggunakan gabungan bunyi, irama, melodi yang disusun dengan harmoni sehingga mampu menyampaikan emosi, idea atau mesej tertentu. Dalam Kamus Dewan, muzik diistilahkan sebagai gubahan bunyi yang menyenangkan.

Penerapan elemen atau pengadaptasian seni muzikal dalam pembelajaran bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran sejarah misalnya, ada disebutkan perihal peranan bahasa serta kreativiti dan inovasi yang menjadi elemen nilai tambah merentas kurikulum dalam mengukuhkan pengetahuan murid. Malah dalam buku teks sejarah sendiri ada diselitkan elemen PAK-21 yang menggunakan lirik lagu sebagai aktiviti pembelajaran seperti Lagu Jong Inai pada unit 10 Sejarah tahun 4. Justeru, muzik tidak sewajarnya dipandang sebagai sebuah mata pelajaran tambahan yang berdiri sendiri, tapi menjadi pelengkap kepingan jigsaw dalam menjadikan mata pelajaran yang lain menarik dan interaktif, termasuk mata pelajaran sejarah yang sering dilihat sebagai membosankan dan kaku.

Najwa Abdul Aziz, Anuar Ahmad & Norasmah Othman (2024) dalam artikel bertajuk Kekerapan Penggunaan Buku Teks dengan Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah Rendah dalam Mata Pelajaran Sejarah, menjelaskan bahawa murid memandang mata pelajaran sejarah sebagai membosankan kerana kandungan fakta yang terlalu padat dan memerlukan hafalan yang banyak. Sebab itulah guru digalakkan mempelbagaikan pendekatan pengajaran supaya ia mampu menarik minat murid dan salah satunya ialah pengadaptasian muzik. Hal ini dikuatkan dengan artikel The Science Behind Music and Memory: How It Helps Kids Learn Faster’, bahawa unsur irama pengulangan dalam muzik membantu murid untuk menyimpan maklumat dengan lebih berkesan. Tambahan pula, muzik mampu merangsang pelbagai bahagian otak secara serentak (simultaneously) yang akhirnya akan menguatkan hubungan saraf kognitif sekaligus meningkatkan keupayaan kefahaman dan hafalan.

Menerusi kajian neurosains yang bertajuk ‘Neural Dynamic of Improved Bimodal Attention and Working Memory in Musically Trained Children’, mendapati bahawa kanak-kanak berusia 10 hingga 13 tahun yang menjalani latihan muzik secara konsisten menunjukkan prestasi yang baik dalam tugasan hafalan berbanding sebaliknya. Penggunaan teknologi seperti Functional Magnetic Resonance Imaging (fMRI) juga membuktikan perubahan kecil dalam pengaliran darah dalam otak terhadap kanak-kanak yang membantu mereka menumpukan perhatian, memproses maklumat serta menghafal sesuatu secara lebih berkesan. Kajian serta penelitian berkaitan keberkesanan lagu dalam proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) sememangnya bukanlah perkara baru.

Reney Pantun (2016) dalam kajiannya yang bertajuk Penggunaan ‘Teknik Nyanyian dalam Meningkatkan Kefahaman Murid Tahun Dua dalam Topik Pembundaran ‘ yang memfokuskan murid tahap satu ialah pelajar dua khususnya yang telah lulus daripada Literacy dan Numeracy Screening (LINUS). Kajian beliau mendapati bahawa terdapat implikasi positif dua hala yang besar antara guru dan pelajar selepas proses PdPc. Muzik sememangnya memberikan suasana yang gembira dalam bilik darjah dan ini akan membangkitkan semangat pelajar. Maka, pengintegrasian nyanyian dan muzik semasa PdPc sekaligus meningkatkan kefahaman pelajar dalam jangka masa yang singkat.

Kajian Muhammad Alif Redzuan Abdullah dan Sanimah Hussin (2018) yang bertajuk ‘Penggunaan Lagu dalam Meningkatkan Penguasaan Kosa Kata dalam Kalangan Pelajar Bahasa Jepun di Universiti Putra Malaysia’ pula mendapati bahawa isu kesukaran menghafal dapat diatasi dengan pengimplementasian kaedah pengajaran berasaskan lagu. Sebuah lagi kajian yang menarik untuk diperhatikan ialah kajian Zaharah Osman (2016) yang bertajuk ‘Perkembangan Emosi Kanak-Kanak Menggunakan Lagu Didi & Friends’. Walaupun kajian ini memfokuskan kanak-kanak berusia taska sebagai sampel kajian, namun ia sedikit-sebanyak memberikan gambaran menyeluruh terutama perihal emosi pelajar. Kajian ini mendapati bahawa penggunaan lagu semasa PdPc dapat menunjukkan peningkatan yang positif terhadap perkembangan kanak-kanak.

Muzik sememangnya menjadi medium berkesan dalam proses pembelajaran murid, namun persoalannya bagaimanakah kaedah yang lebih berkesan? Lambakan kemudahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) sepatutnya menjadi pemangkin yang memudahkan dan menjadikan pendekatan muzik lebih menarik. Di samping bantuan teknologi seperti media interaktif, guru sejarah khususnya boleh memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti Suno, Gemini dan ChatGPT untuk menjana lirik berasaskan fakta sesuatu tajuk dalam silibus. Misalnya Lagu Zaman Prasejarah, Kronologi Peristiwa berfokuskan Zaman Kesultanan Melayu Melaka atau Kronologi Perubahan Institusi Raja dan sebagainya yang memerlukan murid memahami peta alir atau turutan peristiwa yang banyak. Lirik lagu ini boleh diolah dari lagu-lagu semasa yang trendy dan catchy sesuai dengan minat mereka.

Walau bagaimanapun, garis panduan dan etika dalam pengolahan lagu hendaklah dipatuhi terutama dalam penggunaan AI. Mengubah lirik lagu untuk tujuan pengajaran dalam sejarah seperti tadi adalah dibenarkan selagi ia kekal di dalam ruang lingkup pendidikan, tidak mencari keuntungan kewangan, tidak menggunakan AI untuk mencuri identiti suara (voice cloning) penyanyi asal, dan kredit penuh hendaklah diberikan kepada pencipta melodi tersebut. Berikut ialah contoh lirik lagu yang dijana daripada Gemini, kemudian dijalinkan menggunakan Suno AI (makebestmusic.com) berdasarkan silibus sejarah tahun 5, Unit 4 (Campur Tangan dan Penjajahan Kuasa Asing):

Rangkap lagu;

Mari belajar dan mula bertanya,

Kisah sejarah awal mulanya,

Kuasa asing tiba, mula intai kita,

Tanah Melayu Kaya, hasil bumi nyata,

Bijih timah lalu? Emas dan rempah,

Siam di utara ancam negeri kita,

Portugis dan Belanda tawan kota Melaka,

British campur tangan jajah negara kita,

Jepun datang pula, Perang Dunia Kedua.

Secara tuntasnya, muzik bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, malah menjadi medium yang berkesan untuk meningkatkan daya ingatan dan perkembangan kognitif. Justeru, pengadaptasian muzik dalam mata pelajaran khususnya sejarah sangat membantu untuk meningkatkan keberkesanan dan kefahaman kandungan di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang menarik.

RUJUKAN:

Abdul Aziz, N., Ahmad, A., & Othman, N. (2024). Kekerapan penggunaan buku teks dengan strategi pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah dalam mata pelajaran Sejarah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities, 9(1), e002677. https://doi.org/10.47405/mjssh.v9i1.2677.

Hennessy et al. (2020). Music training enhances attention and working memory in children. Frontiers in Neuroscience, 14, 554731. https://doi.org/10.3389/fnins.2020.554731

Kausel, L., Zamorano, F., Billeke, P., Sutherland, M. E., Larrain-Valenzuela, J., Stecher, X., Schlaug, G., & Aboitiz, F. (2020). Neural Dynamics of Improved Bimodal Attention and Working Memory in Musically Trained Children. Frontiers in neuroscience, 14, 554731. https://doi.org/10.3389/fnins.2020.554731

Muhammad Alif Redzuan Abdullah & Sanimah Hussin. (2018). Penggunaan Lagu dalam Meningkatkan Penguasaan Kosa Kata dalam Kalangan Pelajar Bahasa Jepun di Universiti Putra Malaysia: The Sultan Alauddin Sulaiman Shah Journal (JSASS), 5(2), 279-288.

Reney Pantun. (2017). Penggunaan teknik nyanyian dalam meningkatkan kefahaman murid tahun dua dalam topik pembundaran. Proceedings of the ICECRS, 1(1).

Zaharah Osman. (2016). Perkembangan emosi kanak-kanak menggunakan lagu Didi & Friends. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan, 5, 49-60.

Ditulis Oleh: Ilham Yusuf

Ilham Yusuf, merupakan seorang pengarang muda yang berasal dari Tawau, Sabah dan kini sedang bertugas sebagai pendidik di SK Pandan, Sebauh, Sarawak. Ilham Yusuf juga telah menulis tiga buah buku kumpulan cerpen yang berjudul ‘Mimpi-Mimpi Kebebasan’, ‘Bercakap-cakap dengan Waktu yang Tiga’ dan ‘Sayapku Sudah Lama Hilang’. Ilham Yusuf juga aktif menulis karya-karya kreatif (cerpen) di pelbagai media. Sebagai pendidik, Ilham Yusuf telah mengasaskan Teladan (instagram: @teladancikgu) sebagai platform perkongsian dan pemikirannya.

Leave a comment