Pengenalan Terapi Pemusatan Individu (PCT)
Terapi Pemusatan Individu (PCT) merupakan pendekatan psikoterapi humanistik yang diperkenalkan oleh Carl Rogers yang menumpukan kepada hubungan terapeutik dan potensi individu untuk berkembang secara kendiri. PCT percaya bahawa setiap individu mempunyai keupayaan semula jadi untuk pulih, berkembang dan mencapai potensi diri apabila diberikan persekitaran psikologi yang sesuai (Narknisorn, 2012). Pendekatan ini berpandukan tiga konsep utama, iaitu kongruen (klien berinteraksi dengan kaunselor yang tulen atau ikhlas), penerimaan tanpa syarat terhadap klien, serta pemahaman empati kaunselor terhadap pengalaman dan perasaan klien (Campbell, 2017). PCT berbeza daripada pendekatan kaunseling lain kerana ia meletakkan kaunselor sebagai tidak bersifat mengarah, membolehkan klien memimpin proses terapeutik dan ahli terapi tidak menentukan hala tuju rawatan (Ratnawati, 2017).
Aplikasi PCT terhadap klien kanak-kanak
Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa konsep utama (PCT) iaitu kongruen, penerimaan tanpa syarat serta empati turut diaplikasikan dalam sesi kaunseling kanak-kanak. Dalam sesi kaunseling berasaskan PCT, kaunselor menyediakan persekitaran yang selamat dan menerima agar kanak-kanak berasa bebas untuk mengekspresikan diri (Carmichael, 1994). Kaunselor menggunakan pelbagai medium seperti permainan, lukisan, boneka dan aktiviti seni bagi membantu kanak-kanak meluahkan perasaan serta pengalaman yang sukar dinyatakan secara verbal (Geldard & Geldard, 2008; Smith & Pereira, 2019). Semasa kanak-kanak bermain atau menghasilkan karya kreatif, kaunselor memberi perhatian sepenuhnya, mendengar secara aktif dan membuat refleksi perasaan bagi membantu mereka memahami emosi yang dialami (Carmichael, 1994). Kaunselor juga mengelakkan sikap mengarah dan memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk memilih permainan, aktiviti atau topik yang ingin diterokai mengikut kesediaan mereka (Geldard & Geldard, 2008). Sebagai contoh, dalam sesi kaunseling, kanak-kanak mungkin memilih untuk bermain dengan boneka atau melukis. Manakala kaunselor duduk bersama secara pasif, mendengar tanpa mengarah, dan menunjukkan empati dengan berkata, “Saya dapat lihat kamu rasa sedih dan mungkin agak kecewa dengan apa yang berlaku. Itu memang sesuatu yang sukar untuk kamu hadapi.” Seterusnya, kaunselor memberikan refleksi seperti “awak nampak sedih dengan apa yang berlaku” bagi membantu kanak-kanak meneroka emosi mereka dengan lebih mendalam. Melalui pendekatan ini, kanak-kanak dapat meneroka pengalaman diri, membina keyakinan serta mengembangkan keupayaan menyelesaikan konflik emosi dalam suasana yang menyokong dan tidak menghakimi (Carmichael, 1994; Smith & Pereira, 2019).
Walau bagaimanapun, tidak semua terapi kreatif dalam kaunseling kanak-kanak berasaskan PCT, kerana terdapat pendekatan lain yang berbeza dari segi teori dan aplikasi (Birch & Carmichael, 2009; Malchiodi, 2001; Mendoza & Bradley, 2021).
Keberkesanan PCT
Kajian berkaitan kesihatan mental kanak-kanak menunjukkan bahawa terdapat pelbagai masalah emosi dan tingkah laku seperti kebimbangan, tekanan emosi dan masalah tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak (Mulud et al., 2019; Taheri et al., 2021). Walau bagaimanapun, tidak semua kajian ini mengkaji PCT secara langsung, tetapi ia memberikan gambaran tentang keperluan intervensi psikologi yang berkesan bagi menyokong kesejahteraan emosi kanak-kanak. Kajian berkaitan aplikasi PCT terhadap kanak-kanak di Malaysia masih terhad dari segi bilangan kajian, saiz sampel dan kepelbagaian populasi (Mulud et al., 2019; Taheri et al., 2021). Oleh itu, lebih banyak kajian tempatan dengan sampel yang lebih besar dan pelbagai diperlukan bagi mengukuhkan bukti keberkesanan PCT terhadap populasi kanak-kanak Malaysia secara umum.
Kajian di luar negara menunjukkan bahawa aplikasi PCT dalam terapi bermain, berkesan untuk kanak-kanak yang mengalami kebimbangan, masalah tingkah laku dan tekanan emosi (Gupta et al., 2023; Hateli, 2022; Parker et al., 2021; Ray et al., 2015; Stulmaker & Ray, 2015). PCT menunjukkan keberkesanan yang memberangsangkan dalam meningkatkan kesejahteraan emosi dan tingkah laku kanak-kanak, walaupun bukti yang ada kebanyakannya berasal daripada kajian berskala kecil. Sebagai contoh, penyelidikan di Tehran menunjukkan hasil yang positif apabila terapi bermain menggunakan pendekatan berasaskan PCT dapat mengurangkan kebimbangan (Zarra-Nezhad et al., 2023). Selari dengan dapatan tersebut, data meta-analitik menunjukkan bahawa PCT adalah setara secara klinikal dengan pendekatan psikoterapi lain (Kocharian et al., 2023), namun kajian terkini berskala besar khusus terhadap kanak-kanak masih terhad.
Cabaran PCT terhadap klien kanak-kanak
Penyelidikan lepas telah mengenal pasti beberapa halangan dan cabaran melaksanakan PCT terhadap klien kanak-kanak. Misalnya, Costa dan Dias (2005) mendapati bahawa kaunselor di Brazil menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kerjasama yang baik daripada kanak-kanak dan ibu bapa dalam proses kaunseling.. Selain itu, kaunselor juga berasa kecewa dan kurang mampu membantu kanak-kanak apabila ibu bapa tidak memberi kerjasama dalam proses rawatan (Costa & Dias, 2005). Selain itu, kajian Gondek et al. (2017) mendapati bahawa penglibatan kanak-kanak dalam membuat keputusan semasa rawatan masih rendah, di samping mereka sering berasa tidak didengari. Kajian Gondek (2017) ini turut mengenal pasti masalah seperti perkongsian maklumat yang tidak berkesan, kelemahan kemahiran mendengar kaunselor, kurangnya sikap menghormati pandangan klien, serta kegagalan mengakui perasaan kanak-kanak. Oleh yang demikian, latihan profesional untuk kaunselor perlu diperkukuh dan pendekatan terapi perlu lebih fleksibel mengikut keperluan klien (Gondek et al., 2017).
Kesimpulan
Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) perlu mengukuhkan hubungan terapeutik dengan kanak-kanak melalui empati, penerimaan tanpa syarat, kongruen, serta kemahiran mendengar aktif dan refleksi perasaan tanpa sikap menghakimi. Pendekatan kaunseling juga perlu disesuaikan mengikut tahap perkembangan kanak-kanak dengan penggunaan teknik kreatif seperti terapi bermain serta disokong latihan profesional berterusan dan pendekatan yang fleksibel serta integratif. Di samping itu, penglibatan ibu bapa dan pihak sekolah serta kepekaan terhadap keperluan emosi dan perbezaan individu murid, khususnya murid berkeperluan khas, amat penting bagi memastikan intervensi yang lebih berkesan.
RUJUKAN
Birch, J., & Carmichael, K. D. (2009). Using Drawings in Play Therapy: A Jungian Approach. Alabama Counseling Association Journal, 34(2), 2–7. http://search.proquest.com/docview/61801196?accountid=25304
Campbell, J. A. (2017). Person Centered Theory and Considerations for Counseling Practice and Teaching. Journal of Global Engagement and Transformation, 1(2). https://doi.org/10.52553/10002e
Carmichael, K. . (1994). Play Therapy for Children with Physical Disabilities. Journal of Rehabilitation, University(3).
Costa, M. I. M., & Dias, C. M. S. B. (2005). A prática da psicoterapia infantil na visão de terapeutas nas seguintes abordagens: psicodrama, Gestalt terapia e centrada na pessoa. Estudos de Psicologia (Campinas), 22(1), 43–51. https://doi.org/10.1590/s0103-166×2005000100006
Geldard, K., & Geldard, D. (2008). Counselling children: a practical introduction. In Counselling children: a practical introduction.
Gondek, D., Edbrooke-Childs, J., Velikonja, T., Chapman, L., Saunders, F., Hayes, D., & Wolpert, M. (2017). Facilitators and Barriers to Person-centred Care in Child and Young People Mental Health Services: A Systematic Review. Clinical Psychology and Psychotherapy, 24(4), 870–886. https://doi.org/10.1002/cpp.2052
Gupta, N., Chaudhary, R., Gupta, M., Ikehara, L.-H., Zubiar, F., & Madabushi, J. S. (2023). Play Therapy As Effective Options for School-Age Children With Emotional and Behavioral Problems: A Case Series. Cureus. https://doi.org/10.7759/cureus.40093
Hateli, B. (2022). The effect of non-directive play therapy on reduction of anxiety disorders in young children. Counselling and Psychotherapy Research, 22(1), 140–146. https://doi.org/10.1002/capr.12420
Kocharian, O., Barinova, N., & Barinov, S. A. (2023). The Possibilities of Modern Client-Centered and Experiential Psychotherapy. Psychological Counseling and Psychotherapy, 20, 6–13. https://doi.org/10.26565/2410-1249-2023-20-01
Malchiodi, C. A. (2001). Using drawing as intervention with traumatized children. Trauma and Loss: Research and Interventions, 1(1), 21–28.
Mendoza, K., & Bradley, L. (2021). Using Storytelling for Counseling With Children Who Have Experienced Trauma. Journal of Mental Health Counseling, 43(1), 1–18. https://doi.org/10.17744/mehc.43.1.01
Mulud, Z. A., Sukardi, N., & Mohamad, N. (2019). Anxiety, Depression and Behaviour Problems among Preadolescent Primary School Children. Environment-Behaviour Proceedings Journal, 4(11), 3. https://doi.org/10.21834/e-bpj.v4i11.1724
Narknisorn, B. (2012). Person-Centered Therapy and Personal Growth. 3(9), 322–330.
Parker, M. M., Hollenbaugh, K. M. H., & Kelly, C. T. (2021). Exploring the Impact of Child-Centered Play Therapy for Children Exhibiting Behavioral Problems: A Meta-Analysis. International Journal of Play Therapy, 30(4), 259–271. https://doi.org/10.1037/pla0000128
Ratnawati, V. (2017). Penerapan Person Centered Therapy di Sekolah (Empathy, Congruence, Unconditional Positive Regard) dalam Manajemen Kelas. Journal of Education Technology, 1(4), 252. https://doi.org/10.23887/jet.v1i4.12862
Ray, D. C., Armstrong, S. A., Balkin, R. S., & Jayne, K. M. (2015). Child-centered play therapy in the schools: Review and meta-analysis. Psychology in the Schools, 52(2), 107–123. https://doi.org/10.1002/pits.21798
Smith, S., & Pereira, J. (2019). Getting Creative: Using Play and Expressive Arts. In Counseling at the Beginning: Interventions and Issues in Infancy and Early Childhood (pp. 168–194). https://doi.org/10.4324/9781315651934-8
Stulmaker, H. L., & Ray, D. C. (2015). Child-centered play therapy with young children who are anxious: A controlled trial. Children and Youth Services Review, 57, 127–133. https://doi.org/10.1016/j.childyouth.2015.08.005
Taheri, M., Mansor, M., & Madon, Z. (2021). A Qualitative Study among Refugee Children with Anxiety in Kuala Lumpur, Malaysia: The Effect of Child-Centred Play Therapy on the Social-Emotional Development. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 11(12). https://doi.org/10.6007/ijarbss/v11-i12/11787
Zarra-Nezhad, M., Pakdaman, F., & Moazami-Goodarzi, A. (2023). The effectiveness of child-centered group play therapy and narrative therapy on preschoolers’ separation anxiety disorder and social-emotional behaviours. Early Child Development and Care, 193(6), 841–853. https://doi.org/10.1080/03004430.2023.2167987

Mohamad Azizi bin Anding ialah Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling di SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan. Berpengalaman lebih 10 tahun, beliau pakar dalam intervensi kesihatan mental, disiplin dan pembangunan sahsiah murid. Aktif dalam penyelidikan, inovasi, penulisan profesional serta menerima pelbagai pengiktirafan peringkat negeri dan kebangsaan serta rujukan sejawat.