“Cikgu, Saya Janji Saya Akan Berubah…”: Mengapa Perubahan Tingkah Laku Murid Sukar Dikekalkan Selepas Kaunseling?

Pengenalan

“Cikgu, saya janji saya akan berubah.” Ungkapan seperti ini sering didengari oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) selepas sesi kaunseling bersama murid. Walaupun kata-kata tersebut menunjukkan kesediaan murid untuk berubah, realiti di sekolah menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku tidak semestinya berlaku dengan segera atau berkekalan. Ada murid yang kembali mengulangi tingkah laku lama selepas tempoh tertentu walaupun telah menerima bantuan dan bimbingan. Dalam perkhidmatan bimbingan dan kaunseling sekolah rendah, perubahan tingkah laku murid merupakan matlamat utama intervensi yang dilaksanakan. Namun, kejayaan perubahan bukan hanya bergantung kepada pendekatan kaunseling yang digunakan, tetapi turut dipengaruhi oleh kesediaan murid, motivasi diri, sokongan persekitaran dan faktor individu yang lain. Oleh itu, artikel ini membincangkan faktor yang mempengaruhi perubahan tingkah laku murid serta peranan GBK dalam membantu memastikan perubahan tersebut dapat dikekalkan.

Faktor-faktor yang Mempengaruhi Perubahan Tingkah Laku Murid dalam Proses Kaunseling

  1. Kurang kesediaan untuk berubah

“Cikgu, saya janji saya akan berubah.” Ungkapan seperti ini sering didengari oleh GBK selepas sesi kaunseling. Namun, adakah kesediaan untuk berubah benar-benar mencukupi untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang berkekalan? Perubahan tingkah laku sukar berlaku sekiranya murid belum mempunyai kesediaan, kesedaran dan motivasi untuk berubah. Menurut Diana Rezu Okti et al. (2025), kesediaan klien untuk berubah merupakan faktor penting yang mempengaruhi kejayaan proses bimbingan dan kaunseling. Kajian tersebut menjelaskan bahawa keterbukaan untuk berubah, keupayaan mengenal pasti masalah dan komitmen terhadap proses kaunseling merupakan petunjuk penting kesediaan murid. Selari dengan itu, Hidayatullah et al. (2024) mendapati bahawa motivasi meningkatkan efikasi kendiri dan penglibatan murid dalam proses perubahan, manakala Mahmudulhassan et al. (2024) menunjukkan bahawa motivasi intrinsik, persekitaran pembelajaran yang menyokong dan perkhidmatan kaunseling membantu mendorong serta mengekalkan perubahan positif. Walau bagaimanapun, Gimenez et al. (2023) mendapati bahawa kesediaan untuk berubah tidak semestinya menjamin berlakunya perubahan tingkah laku, sementara Abo Hamza et al. (2023) menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain, termasuk aspek kesedaran kendiri (mindfulness). Dapatan ini menunjukkan bahawa kesediaan murid merupakan langkah permulaan yang penting, tetapi bukan satu-satunya penentu kejayaan perubahan tingkah laku. Oleh itu, GBK tidak seharusnya terus memberi fokus kepada perubahan tingkah laku semata-mata, sebaliknya perlu terlebih dahulu membantu murid mengenal pasti masalah, membina kesedaran diri dan menilai tahap kesediaan mereka sebelum menetapkan sasaran serta merancang intervensi yang sesuai dengan keperluan dan tahap penerimaan murid.

2. Kurang sokongan daripada keluarga dan persekitaran sosial

Kanak-kanak memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga, rakan dan orang sekeliling untuk mengekalkan perubahan. Namwai Ngambi et al. (2023) menegaskan bahawa sokongan keluarga dan rakan merupakan faktor penting dalam proses perubahan. Tanpa sokongan tersebut, perubahan yang berlaku semasa sesi kaunseling mungkin sukar dikekalkan. Hal ini kerana murid banyak dipengaruhi oleh persekitaran sekeliling yang membentuk cara mereka berfikir dan bertindak dalam kehidupan harian. Dalam konteks sekolah rendah, sokongan daripada persekitaran terdekat seperti guru dan ibu bapa amat penting kerana murid masih berada dalam tahap perkembangan yang memerlukan bimbingan dan pemantauan berterusan. Washington-Nortey et al. (2023) mendapati bahawa guru sekolah rendah masih meneruskan amalan sokongan seperti hubungan positif dan peneguhan selepas intervensi, yang berkaitan dengan peningkatan penglibatan serta tingkah laku murid. Selain itu, Amerol dan Basmayor (2025) serta Yasin, Ahmad dan Irshad (2024) menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa mempunyai hubungan dengan pematuhan tingkah laku dan pengurangan masalah tingkah laku murid. Oleh itu, GBK perlu membina jaringan sokongan bersama guru kelas dan ibu bapa agar perubahan murid tidak bergantung kepada sesi kaunseling sahaja.

3. Sukar menerima teguran

Murid mungkin sukar menerima teguran atau nasihat apabila mereka menganggapnya sebagai kritikan terhadap diri, bukannya sebagai bantuan untuk berubah. Merrick dan Fyfe (2023) mendapati bahawa murid sekolah rendah menunjukkan emosi negatif yang lebih tinggi apabila menerima teguran negatif, yang boleh menjejaskan motivasi untuk berubah. Selain itu, Yang et al. (2023) menunjukkan bahawa pendekatan yang memberi ruang kepada murid untuk bersuara dapat meningkatkan kesediaan mereka untuk berubah, manakala hubungan positif antara guru dan murid pula membantu mengurangkan masalah tingkah laku (Hasty et al., 2023). Dapatan ini menunjukkan bahawa penerimaan teguran dipengaruhi bukan sahaja oleh kandungannya, tetapi juga oleh emosi murid dan hubungan dengan individu yang memberi bimbingan. Oleh itu, GBK perlu membina hubungan yang selamat dan menyokong agar murid lebih terbuka menerima teguran serta bersedia melakukan perubahan.

4. Tingkah laku menjadi sebahagian daripada konsep kendiri

Tingkah laku yang sering dilakukan boleh mempengaruhi cara kanak-kanak melihat diri mereka. Wikman et al. (2022) mendapati bahawa konsep kendiri berkait rapat dengan kesejahteraan dan tingkah laku positif murid. Selain itu, Mendrofa, Damanik, Munthe dan Lase (2024) menunjukkan bahawa kaunseling kelompok dapat membantu meningkatkan konsep kendiri positif murid. Dapatan ini menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku bukan hanya memerlukan murid mengubah tindakan, tetapi juga mengubah cara mereka melihat diri sendiri. Oleh itu, GBK perlu membantu murid membina keyakinan dan pandangan positif terhadap diri agar mereka percaya bahawa perubahan adalah sesuatu yang boleh dicapai.

5. Kesesuaian pendekatan kaunseling

Pendekatan kaunseling bukanlah punca utama murid tidak berubah selepas sesi kaunseling. Kajian menunjukkan bahawa pelbagai pendekatan kaunseling berkesan dalam membantu perubahan positif murid. Sri Hariati Harahap et al. (2024), Bunda et al. (2024), Fitriyanti et al. (2024) dan Rathore (2024) mendapati bahawa intervensi kaunseling dapat meningkatkan konsep kendiri, kawalan emosi, kemahiran komunikasi, keyakinan diri serta mengurangkan kebimbangan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Walau bagaimanapun, keberkesanan sesuatu pendekatan bergantung kepada kesesuaiannya dengan umur, tahap perkembangan, keperluan murid dan jenis masalah yang dihadapi. Edy et al. (2024) mendapati bahawa intervensi yang disesuaikan dengan umur dapat meningkatkan efikasi kendiri murid sekolah rendah, manakala Xie et al. (2025) menunjukkan bahawa intervensi yang disesuaikan dengan tahap perkembangan memberikan hasil yang lebih baik. Selari dengan itu, Schmidt et al. (2026) menegaskan bahawa kaunselor perlu memilih pendekatan yang sesuai dengan umur, tahap perkembangan dan keperluan murid. Dapatan ini menunjukkan bahawa tiada satu pendekatan yang sesuai untuk semua murid. Oleh itu, GBK perlu memilih dan menyesuaikan teknik kaunseling mengikut keperluan setiap murid kerana keberkesanan sesuatu teknik bergantung pada kesesuaiannya dengan perkembangan dan keperluan individu.

    Apakah yang perlu dilakukan oleh GBK selepas sesi kaunseling?

    Bagi memastikan perubahan tingkah laku murid dapat dikekalkan selepas sesi kaunseling, GBK perlu melaksanakan intervensi yang berterusan dengan sokongan guru dan ibu bapa. Indari (2023) mendapati bahawa kontrak tingkah laku berkesan membantu perubahan murid apabila disepadukan dengan program sekolah serta disokong oleh peneguhan yang jelas. Astutik et al. (2025) pula menunjukkan bahawa kaedah kaunseling interaktif seperti kad emosi, main peranan dan perbincangan situasi harian dapat meningkatkan kefahaman murid serta membantu mereka mengamalkan perubahan secara konsisten. Selain itu, Fitriyanti et al. (2024) menegaskan bahawa kesedaran kendiri merupakan langkah awal perubahan tingkah laku, manakala Habsy et al. (2024) mencadangkan penggunaan kontrak tingkah laku dan peneguhan positif bagi mengurangkan tingkah laku negatif serta mengekalkan tingkah laku positif.

    Dapatan ini menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku bukan berlaku dalam satu sesi, tetapi memerlukan latihan, pemantauan dan pengukuhan yang berterusan. Sebagai contoh, seorang murid yang sering mengganggu rakan semasa PdPc dibantu melalui kontrak tingkah laku dengan sasaran tidak mengganggu rakan selama 20 minit pertama pembelajaran. Guru kelas merekod pencapaiannya setiap hari dan memberikan pujian apabila sasaran dicapai, manakala ibu bapa meneruskan peneguhan positif di rumah. Pada minggu pertama, murid hanya berjaya mengawal tingkah laku pada beberapa hari tertentu, namun selepas beberapa minggu pemantauan yang konsisten, tingkah laku tersebut semakin berkurangan. Situasi ini menunjukkan bahawa perubahan tingkah laku berlaku secara berperingkat dan lebih berkesan apabila GBK, guru dan ibu bapa bekerjasama secara berterusan.

    Kesimpulannya, perubahan tingkah laku murid selepas sesi kaunseling bukan hanya bergantung kepada intervensi yang diberikan, tetapi turut dipengaruhi oleh kesediaan diri, motivasi, sokongan persekitaran dan faktor individu yang lain. Oleh itu, peranan GBK bukan sekadar membantu murid berubah semasa sesi kaunseling, tetapi membina kesedaran, menyediakan sokongan berterusan dan mewujudkan persekitaran yang membantu perubahan tersebut kekal dalam kehidupan harian murid. Sebagai GBK, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, adakah kita menilai perubahan murid hanya berdasarkan hasil akhirnya, atau turut menghargai setiap kemajuan kecil yang berlaku sepanjang proses perubahan tersebut?

    RUJUKAN

    Abo Hamza, E., Yoon, A., Liu, L., Garg, A., Richard, Y., Frydecka, D., Helal, A., & Moustafa, A. A. (2023). The Relationship between Mindfulness and Readiness to Change in Alcohol Drinkers. International Journal of Environmental Research and Public Health, 20(9). https://doi.org/10.3390/ijerph20095690

    Amerol, J., & Basmayor, E. (2025). Parental Involvement on Learners’ Behavior in the Classroom. Psychology and Education: A Multidisciplinary Journal, 33(3), 366–390. https://doi.org/10.70838/pemj.330308

    Astutik, W. D., Sadiyah, V. K., & Siswanto, D. H. (2025). Counseling on Clean and Healthy Living Behavior in Improving Public Health Levels. Journal of Social and Community Development, 2(01), 38–50. https://doi.org/10.56741/jscd.v2i01.889

    Bunda, I. P., Karneli, Y., & Netrawati, N. (2024). Penerapan Pendekatan Kelompok dalam Konseling Remaja: Evaluasi terhadap Perubahan Perilaku. Indo-MathEdu Intellectuals Journal, 5(3), 3777–3787. https://doi.org/10.54373/imeij.v5i3.1378

    Diana Rezu Okti, Mudjiran, & Yeni Karneli. (2025). Client Readiness Indicators in Counseling Guidance: A Literature Review and Implications for Counseling Practice. Manajia: Journal of Education and Management, 3(3).

    Edy, E. I., Syarifuddin Dahlan, Farida Ariyani, & Een Yayah Hanillah. (2024). Empowering Elementary School Children: Increasing Self-Efficacy Through Traditional Game-Based Counseling. International Journal of Multicultural Counseling and Development, 1(2), 51–58. https://doi.org/10.31960/ijomcd.v1i2.2520

    Fitriyanti, R., Nasution, S. I., & Mawarni, A. (2024). Konseling Individu dengan Pendekatan Behavioral bagi Pelaku Kekerasan Seksual di UPTD PKS Insan Berguna. Islamic Counseling: Jurnal Bimbingan Konseling Islam, 8(2), 169–184. https://doi.org/10.29240/jbk.v8i2.11145

    Gimenez, P. V., Conde, K., Peltzer, R. I., Brandariz, R., & Cremonte, M. (2023). Brief intervention and the Theory of Planned Behavior: A randomized controlled trial among adolescents. Revista de Psicologia Clinica Con Ninos y Adolescentes, 10(3). https://doi.org/10.21134/rpcna.2023.10.3.2

    Hasty, L. M., Quintero, M., Li, T., Song, S., & Wang, Z. (2023). The longitudinal associations among student externalizing behaviors, teacher-student relationships, and classroom engagement. Journal of School Psychology, 100. https://doi.org/10.1016/j.jsp.2023.101242

    Hidayatullah, A., Abidin, R., & Muqit, A. (2024). Motivation and Behavioral Engagement: The Mediating Role of Mathematics Self-Efficacy In Primary Education. Journal on Efficiency and Responsibility in Education and Science, 17(3), 237–246. https://doi.org/10.7160/eriesj.2024.170306

    Indari, T. (2023). Konseling Individu Teknik Behavior Contract untuk Mengurangi Perilaku Membolos Sekolah di SMK. Jurnal Pembelajaran, Bimbingan, Dan Pengelolaan Pendidikan, 3(1), 12–21. https://doi.org/10.17977/um065v3i12023p12-21

    Mahmudulhassan, Abuzar, M., Ahmed Khondoker, S. U., & Rahman, O. (2024). Exploring the Dynamics of Student Motivation and Behavior: A Qualitative Analysis of Influencing Factors and Effective Interventions. Solo Universal Journal of Islamic Education and Multiculturalism, 2(03), 195–206. https://doi.org/10.61455/sujiem.v2i03.202

    Mendrofa, J. K., Damanik, H. R., Munthe, M., & Lase, J. F. E. (2024). Efektivitas Layanan Konseling Kelompok Terhadap Peningkatan Konsep Diri Positif Peserta Didik. Conseils : Jurnal Bimbingan Dan Konseling Islam, 4(2), 103–113. https://doi.org/10.55352/bki.v4i2.1107

    Merrick, M., & Fyfe, E. R. (2023). Feelings on feedback: Children’s emotional responses during mathematics problem solving. Contemporary Educational Psychology, 74. https://doi.org/10.1016/j.cedpsych.2023.102209

    Namwai Ngambi, S., L. Mpolomoka, D., Chikopela, R., & Mushibwe, C. (2023). Counseling Practices that Promote Behaviour Change: A Case of Drug and Alcohol Dependent Youths in Lusaka, Zambia. Research in Psychology and Behavioral Sciences, 11(1), 28–38. https://doi.org/10.12691/rpbs-11-1-5

    Rathore, U. (2024). Counselling Interventions for Children with Learning Disabilities: A Systematic Review. RESEARCH REVIEW International Journal of Multidisciplinary, 9(10), 22–33. https://doi.org/10.31305/rrijm.2024.v09.n10.004

    Schmidt, C. D., Misurell, J. R., Feder, M. A., Peffer, A., & Grigg, J. (2026). Helping Children Heal: Counseling Interventions for Divorce-Related Family Disruption. Family Journal, 34(1), 170–180. https://doi.org/10.1177/10664807251360788

    Sri Hariati Harahap, Alfin Siregar, & Ali Daud Hasibuan. (2024). Pengaruh Pendekatan Client Centered terhadap Konsep Diri Siswa di Sekolah SMP Islam Al-Ulum Terpadu Medan. Sosial Simbiosis : Jurnal Integrasi Ilmu Sosial Dan Politik, 1(4), 01–22. https://doi.org/10.62383/sosial.v1i4.691

    Washington-Nortey, M., Granger, K., Sutherland, K. S., Conroy, M., Kaur, N., & Hetrick, A. (2023). Sustaining BEST in CLASS: Teacher-Reported Evidence-Based Practice Use with Students at Risk for Emotional and Behavioral Disorders Amidst the COVID-19 Pandemic. School Mental Health, 15(2), 470–483. https://doi.org/10.1007/s12310-022-09561-y

    Wikman, C., Allodi, M. W., & Ferrer-Wreder, L. A. (2022). Self-Concept, Prosocial School Behaviors, Well-Being, and Academic Skills in Elementary School Students: A Whole-Child Perspective. Education Sciences, 12(5). https://doi.org/10.3390/educsci12050298

    Xie, C., Zhang, Z., Zhang, X., Li, Y., Shi, P., & Wang, S. (2025). Effects of interventions on physical activity behavior change in children and adolescents based on a trans-theoretical model: a systematic review. BMC Public Health, 25(1). https://doi.org/10.1186/s12889-025-21336-z

    Yang, D., Cai, Z., Wang, C., Zhang, C., Chen, P., & Huang, R. (2023). Not all engaged students are alike: patterns of engagement and burnout among elementary students using a person-centered approach. BMC Psychology, 11(1). https://doi.org/10.1186/s40359-023-01071-z

    Yasin, S., Ahmad, S., & Irshad, A. (2024). Effect of parental involvement on students’ behavioral adjustment at primary school level in Khyber Pakhtunkhwa. Research Journal of Social Sciences and Economics Review, 5(2), 45–53.

    DITULIS OLEH MOHAMAD AZIZI BIN ANDING

    Mohamad Azizi Bin Anding adalah seorang guru Bimbingan dan Kaunseling berpengalaman lebih 14 tahun dalam bidang pembangunan sahsiah, disiplin dan kesihatan mental murid sekolah rendah. Beliau mempunyai kepakaran merancang, melaksana dan menilai program intervensi berimpak tinggi, teori kaunseling dan keperluan semasa murid. Aktif dalam penyelidikan, inovasi, penulisan profesional serta menerima pelbagai pengiktirafan peringkat negeri dan kebangsaan serta rujukan sejawat.

    Leave a comment